Skip to main content
UMP E-Newsletter

Jalinan Kerjasama

UMP dan PERHEBAT bantu perkasa bakal pesara tentera

BIL. 13 JAN 2019

Oleh: MOHD. FERDAUS MUSA, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) dalam menyediakan program kemahiran dan latihan yang bersesuaian bagi memperkasakan pembangunan sosioekonomi veteran dan bakal pesara tentera.
 
Program yang bakal dijalankan UMP melalui anak syarikatnya, iaitu UMP Advanced Education (UMPA) ini tidak hanya mencakupi program pembangunan modal insan termasuk program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) malah ianya melibatkan kerjasama lain seperti perundingan, kepakaran UMP dan apa jua bidang yang diperlukan bagi menyokong keperluan tenaga kerja terlatih yang diperlukan oleh industri. 
 
Melalui latihan peralihan ini, anggota tentera tersebut mempunyai nilai tambah untuk menyokong keperluan dalam pasaran pekerjaan di pelbagai industri atau memilih untuk bekerja sendiri sebagai kelangsungan hidup sejurus tamat perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kelak.

BIL. 13 JAN 2019

Berlangsung baru-baru ini, Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengerusi PERHEBAT, Lt. Jen. Dato’ Sri Abdul Aziz Ibrahim (B) dengan disaksikan Menteri Pertahanan Malaysia, Yang Berhormat Mohamad Sabu yang hadir mewakili YAB Perdana Menteri Malaysia bersempena Majlis Konvokesyen PERHEBAT ke-52 yang berlangsung di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia Kuala Lumpur pada 23 Disember 2018 yang lalu. 
 
Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, melalui kerjasama strategik ini, UMP juga akan mewujudkan kampus satelit PERHEBAT di UMP bagi tujuan penyelarasan segala aktiviti latihan bagi tujuan manfaat bakal pesara dan veteran ATM.

BIL. 13 JAN 2019

“Kampus ini juga bertindak sebagai Pusat Sehenti untuk pengurusan program latihan kepada veteran tentera khusus bagi mereka di negeri Pahang. 

“UMP menawarkan kepakaran dalaman bagi melaksanakan program latihan termasuk kepakaran pensyarah berpengalaman,” katanya. 

Turut hadir sama dalam majlis, Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced Education, Dr. Mohamad Rozi Hassan dan pegawai universiti.
 
Program kerjasama ini juga menyasarkan 400 hingga 500 orang bakal pesara dan veteran ATM yang akan menjalani latihan sosioekonomi dan program PSH di UMP Advanced bagi tahun 2019 ini.


Jejak Alumni

Jelajah Alumni UMP erat hubungan, kembali berbakti

BIL. 13 JAN 2019

Oleh: NURIZZATUL ALIN AHMAD BASTANI, JABATAN HAL EHWAL PELAJAR DAN ALUMNI

Seramai 124 orang alumni Universiti Malaysia Pahang (UMP) hadir dalam Program Jelajah Alumni - Alumni Industry Networking Hi-Tea bagi Zon Barat yang dianjurkan Unit Perhubungan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam pada 22 Disember 2018 yang lalu. 

Pertemuan ini memberi peluang para alumni bertemu dengan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim bersama pengurusan universiti bagi  berkongsi perkembangan dan informasi terkini tentang UMP. 

Ianya termasuklah perbincangan berkaitan Previu Industry Network Alumni Platform (INAP) dan mengumpulkan idea baharu daripada para alumni untuk sama-sama berusaha terhadap kecemerlangan universiti.

BIL. 13 JAN 2019

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, UMP kini boleh berbangga dengan pertambahan bilangan alumninya yang kini telah mencapai jumlah 24,786 orang. 

“Kini para graduan dan alumni juga telah berjaya membuktikan bahawa mereka bukan sahaja boleh menjadi jurutera atau teknologis yang kompeten, namun turut berkeupayaan menjadi usahawan dengan syarikat dan rangkaian perniagaan masing-masing.

“Alumni perlu memainkan peranan dan diberi ruang dan peluang yang seluasnya untuk kembali menyumbang kepada UMP sebagai alma mater mereka dalam pelbagai kapasiti dan platform, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

“Justeru, pihak pengurusan sentiasa membuka ruang kepada Persatuan Alumni UMP untuk meneroka peluang untuk membawa para graduan ini kembali ke kampus bagi memberi inspirasi kepada para juniors anda yang masih menuntut. Selain itu, berperanan aktif dalam membantu fakulti untuk memperkukuhkan lagi jaringan industri, kolaborasi strategik dan jalinan profesional masing-masing,” katanya.

BIL. 13 JAN 2019

Dalam pada itu, inisiatif Industry Network Alumni Platform (INAP) yang dirintis pihak JJIM juga dilihat sangat signifikan dalam memberi nilai tambah yang tidak sedikit terhadap usaha-usaha berkaitan yang sedang dirancang dan bakal dijalankan pihak universiti.

Majlis turut menyaksikan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat & Kualiti (JHKK) Dr. Irene Ting Wei Kiong berkongsi tentang pencapaian UMP dalam penarafan universiti manakala Ahli Majlis Tindakan INAP, Mohd Faiz Zulkifli juga berkongsi maklumat tentang struktur jawatankuasa INAP dan perancangan kerjasama antara alumni dengan universiti. 

Melalui sesi perkongsian ini juga mereka berpeluang mengemas ini data Sistem e-Graduan yang telah dibangunkan sejak tahun 2012 sebagai medium carian data alumni.

Hadir dalam majlis Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail dan Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA),  Abd Rahman Haji Safie.


Pembangunan Insan

Program Pensijilan Tahfiz Ulul Albab UMP lahir teknokrat hafiz

BIL. 13 JAN 2019

Program Pensijilan Tahfiz Ulul Albab yang diperkenalkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal melahirkan golongan profesional, teknokrat dan usahawan hafiz yang memiliki pelbagai kemahiran ilmu kepada mahasiswa. 

Dengan matlamat memberikan pendidikan seimbang dunia dan ukhrawi kepada mahasiswa, program Perintis Jurutera Huffaz yang dijalankan oleh Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) ini melibatkan seramai 41 orang mahasiswa membabitkan dua kohort pengambilan bagi mengikuti program ini selama empat tahun.

Dengan sasaran hafaz 30 juzuk al-Quran, mahasiswa ini juga perlu mengikuti modul yang ditetapkan antaranya, Adab Hamalatul Quran, Asas Qiraat, Asbabun Nuzul, Tafsir Ayat-ayat Pilihan dan Kursus Asas bahasa Arab.

Pada 28 Disember 2018 yang lalu telah berlangsung Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Kepada Peserta Ulul Albab UMP bersempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat UMP tahun 2018/ 1440 H yang disambut dengan perarakan 29 kontinjen yang berarak dari Kompleks Sukan UMP menuju ke Masjid UMP Kampus Gambang. 

BIL. 13 JAN 2019

Hadir merasmikan program adalah Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin, Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar, Abd Hamid Majid dan Pengurus Besar Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang juga Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd. Rahman Hj. Safie.

Dalam majlis ini, Profesor Dato' Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, penganjuran sambutan yang merupakan program tahunan universiti ini menunjukkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W sebagai junjungan besar lagi agung yang dizahirkan melalui sambutan dan perhimpunan ini turut menuntut warga UMP untuk mencontohi segenap aspek akhlak dan kehidupan Baginda sepanjang hayatnya.

“Dalam konteks perkhidmatan kita sebagai staf atau pengajian para mahasiswa sebagai penuntut ilmu, ternyata banyak pengajaran dan hikmah yang boleh diambil daripada sirah Rasulullah S.A.W untuk diterjemahkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Antara aspek akhlak Rasullullah yang penting untuk kita hayati adalah cara pengurusan dan pendekatan kepimpinan Baginda dalam mengendalikan organisasi dan pengikut yang dipimpinnya dengan berkesan,” katanya.

Ujarnya, sekali pun kampus universiti agak sepi pada penghujung Disember 2018 dan minggu persediaan peperiksaan akhir Semester 1 ini, namun kita masih dapat mengimarahkah sambutan pada hari ini walaupun dalam suasana yang serba sederhana. 

“Selain itu, melalui pelbagai kisah dan riwayat, kita telah dikhabarkan mengenai keunggulan nilai integriti Baginda sebagai pemimpin yang sewajarnya turut mendasari peranan kita sebagai penjawat awam di universiti ini.

Program turut menampilkan penceramah terkenal, Ustaz Muhadir Haji Joll yang membicarakan tentang kepimpinan Nabi Muhammad SAW yang boleh dijadikan teladan umat Islam masa kini. 

Lebih 600 warga universiti hadir meraikan Sambutan Maulidur Rasul pada kali ini.  


Penyelidikan dan Inovasi

Persidangan Antarabangsa RiTA fokus penyelidikan teknologi aplikasi robot masa depan

BIL. 13 JAN 2019

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Penganjuran Persidangan 6th International Conference on Robot Intelligence Technology and Applications (RiTA) yang bertemakan “Robotics and Machine Intelligence: Building Blocks for Industry 4.0" berjaya mengumpul lebih 60 penyertaan termasuk penyertaan dalam dan luar Negara pada 20 Disember 2018 yang lalu di Putrajaya. 

Penyertaan terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, pelajar, pakar dan pengamal industri bagi memfokuskan mengenai penyelidikan dalam bidang penyelidikan teknologi kecerdasan robot. 

Manakala penyertaan antarabangsa membabitkan dari negara Korea, Jepun, Portugal, Australia, Singapura, India, Norway, Columbia, Netherlands dan United Kingdom. 

Hadir merasmikan persidangan adalah Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail, Ketua Pengerusi Kehormat RITA, Profesor Dr. Jong-Hwan Kim dan Pengerusi bersama RITA, Profesor Dr. Hyun Myung dan Profesor Dr. Zahari Taha.

BIL. 13 JAN 2019

Menurut Profesor Dr. Jamil Ismail, persidangan ini dapat mengumpulkan pakar berkaitan teknologi robotik. 

“Dengan pemberian geran dan inisiatif lain yang diberikan oleh pihak kerajaan juga dapat mengalakkan universiti dan industri untuk berkongsi kepakaran dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam bidang robotik. 

“Di samping itu, inisiatif ini juga bakal mewujudkan persekitaran yang kondusif  dalam mendepani industri 4.0.

“Persidangan ini juga sebagai landasan khususnya Malaysia untuk merevolusikan industri ini ke arah penggunaan teknologi industri 4.0 yang akan didorong oleh persekitaran yang pintar, saling berkait antara satu sama lain. Manakala robotik dan automasi akan menyumbang terhadap perkembangan dalam industri,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain itu objektif persidangan ini dapat membantu universiti dalam mempromosikan teknologi industri 4.0 kepada komuniti serta membangunkan teknologi baharu melalui kerjasama dengan rakan kongsi industri. 

Dalam pada itu, sebanyak 80 kertas kerja telah dibentangkan bagi membincangkan isu-isu khas berkaitan penyelidikan robotik bertemakan kecergasan kognitif, sosial dan kolektif. 

Antara yang hadir menyampaikan ucaptama adalah Profesor Dr. Junmo Kim yang merupakan Pengarah Statistical Inference and Information Theory Laboratory KAIST dan Profesor Madya Marcelo H Ang Jr dari National University of Singapore.

Persidangan dianjurkan oleh Makmal Innovative Manufacturing, Mechatronics and Sports (iMAMSLab) di bawah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dengan kerjasama pihak Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST). 

Ianya turut mendapat tajaan dan sokongan daripada Korea Robotics Society (KROS), UMP Holdings Sdn. Bhd., Collaborative Research in Engineering, Science and Technology Malaysia (CREST), Springer, Silterra (Malaysia) Sdn. Bhd., Malaysian Journal of Movement, Health and Exercise, MyDuino.com dan DZUKI Consultancy & Training.


Penyelidikan dan Inovasi

UMP TRIZ hasilkan 150 projek inovasi

BIL. 13 JAN 2019

Sebanyak 150 projek inovasi  berjaya dihasilkan dalam program UMP TRIZ Innovation Exposition 3.0 yang membabitkan seramai 866 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam pertandingan ciptaan inovasi yang berlangsung di  Kompleks Sukan, UMP Gambang pada 16 Disember 2018 yang lalu. 

Program ini merupakan penganjuran kali ke-3 ini merupakan platform terhadap penilaian dalam meningkatkan aspek kemahiran insaniah (soft skills) bagi menangani setiap permasalahan berkaitan kejuruteraan dan teknologi yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Banyak teknik dan metodologi dalam penyelesaian masalah dan salah satunya ialah dengan cara TRIZ. 

TRIZ adalah singkatan dalam bahasa Rusia yang merujuk kepada Teorija Resenija Isobretatelskih Zadac  ataupun boleh diterjemahkan kepada Teori Penyelesaian Masalah Inventif. Teori TRIZ ini telah dibangunkan di antara tahun 1960 hingga 1980 oleh Saintis Rusia iaitu Genrich Altshutler.

Pengarah program, Imadduddin Abidin yang juga pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK) berkata, pertandingan inovasi ini adalah kemuncak kepada sesi pengajaran dan pembelajaran Subjek UHS2021 Soft Skill II, iaitu yang berasaskan inovasi menyelesaikan masalah secara inventif.

“TRIZ adalah satu hukum yang tidak berat sebelah yang lahir dari evolusi sistem teknikal. Penemuan dan penstrukturan kepada hukum teori TRIZ ini ialah hasil daripada kajian dan analisis secara global beberapa puluh tahun.

“Inovasi teknologi TRIZ mempunyai banyak kebaikan antaranya meningkatkan pemasaran dalam menghasilkan produk yang kreatif, meningkatkan dengan cepat dalam pencarian penyelesaian yang inventif dan inovatif. TRIZ juga secara saintifiknya merupakan satu pendekatan yang diasaskan kepada ramalan revolusi sistem teknologi, produk dan proses.

“Selain itu, sistem konvensional dan moden terhadap kajian pasaran lebih berkesan dibantu dengan TRIZ dalam analisis keperluan pasaran untuk masa hadapan. Ianya adalah kaedah penyelesaian masalah secara inventif terkini yang menitikberatkan penyelesaian masalah secara sistematik, berstruktur dengan menekankan aspek lebih baik (better), murah (cheaper) dan lebih cepat (faster),” katanya.

Dalam pertandingan ini setiap kumpulan kecil mahasiswa menggunakan kaedah Teori Penyelesaian Masalah Inventif TRIZ (TRIZ) dalam mendapatkan penyelesaian masalah berkaitan dengan isu keselamatan. Program ini juga dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Sijil Profesional TRIZ Level 1 for Practitioner.

Menurut Imanuddin, kesemua aspek kemahiran ini amat penting dan merupakan kunci utama dalam memperoleh pekerjaan. Ianya juga dapat mengasah kemahiran insaniah mahasiswa dalam berfikir secara kritikal dalam penyelesaian masalah yang dihadapi.
Projek-projek yang dipamerkan ini juga merupakan projek akhir mahasiswa yang dinilai pihak panel dalaman dan industri luar. 

Pertandingan menyaksikan Anugerah Khas Industri (ICON) dimenangi Projek Multifunctional Dustbin hasil ciptaan kumpulan yang terdiri daripada Kum Yong Fang, Allen Lee Wei Kiat, Sean Senn A/L Pow Chiok,Yong Yan Li dan Teong Chi Qi.

Bagi Anugerah Khas Kreativiti My TRIZ pula telah dimenangi menerusi produk Plastic Waste Collector hasil ciptaan Muhammad Syamil Sulaiman, Radfan Abdul Malek Mohammed Abdo AlQadhi,Teng Kar Hooi, Nur Syahirah Mohd Razi,Tan Choo Chien, Muhammad Hanif Kamarudin dan Muhammad Asyraf Hasan.

Manakala Anugerah Khas Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) menerusi projek Waterproof Umbrella Holder dimenangi oleh  Noor Iswandy Ismail, Siti Masyithah Zainol, Nurul Ahzani Roslan, Nur Syafiqa Yusri, Amir Firdaus Basirun, Muhammad Nur Asyraf Zazali dan Noor Iswandy Ismail.


Info Sekitar Kampus

Pasangan Kembar teruja terima sumbangan kelengkapan sekolah

BIL. 13 JAN 2019

Dua pasangan kembar teruja untuk kembali ke sesi persekolahan yang tinggal beberapa hari sahaja lagi apabila menerima sumbangan kelengkapan sekolah dalam Program Kembali Ke Sekolah `Give Them Our Heart, Give Them Hapiness’  di Mydin Pekan pada 27 Disember 2018 yang lalu.

Mereka merupakan  antara 34 penerima sumbangan kelengkapan pakaian sekolah Program Back To School anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama UMP Holding Sdn. Bhd.

Bagi pasangan Farish Daniel Johari dan Faris Danish Johari, 9,  dan Nur Syaza  Anna Wardina Mohd. Zali dan Nur Syaza Anna Mashitah Mohd. Zali, 10, berasa sungguh gembira dan tidak sabar untuk melangkah ke sekolah. 

BIL. 13 JAN 2019

Malahan mereka tidak menyangka dapat sumbangan kelengkapan pakaian sekolah baharu untuk sesi persekolahan ini.

Bagi Daniel, beliau amat gembira pada hari ini kerana dapat memilih sendiri pakaian, beg dan kasut  yang diminati. 

“Sebenarnya saya tidak mengharapkan untuk mendapatkan pakaian baharu kerana faham dengan kesulitan ayah yang hanya bekerja kampung dan ibu yang tidak bekerja," katanya.

Ibu kepada pasangan kembar Daniel dan Danish, Rozilaili Rashid, 36 berkata, keluarganya  amat bersyukur dan berterima kasih kepada kepada UMP dan UMP Holdings (UMPH) juga pihak yang sudi membantu mereka dengan menyediakan kelengkapan ini.  Malah dengan adanya bantuan ini dapatlah membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Manakala menurut Pengurus Besar UMP Technology Sdn. Bhd., Dr. Nur Aainaa Syaffini Mohd Radzi, program kerjasama ini membabitkan sukarelawan UMP dan UMPH yang berganding bahu bagi melaksanakan program Back To School pada kali ini.

BIL. 13 JAN 2019

“Program ini bertujuan untuk membantu ibubapa dan pelajar yang memerlukan sama ada yang berpendapatan rendah mahupun anak yatim. 

“Pada masa yang sama kita turut berkongsi kesusahan bersama masyarakat sekeliling UMP,” katanya yang hadir bertemu dan menjamu selera bersama anak-anak serta keluarga di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak Pekan.

Tambahnya lagi, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UMP dengan kerjasama UMP Holding Sdn Bhd. 

Beliau mengharapkan sumbangan ini dapat meringankan bebanan ibu bapa khususnya mereka yang mempunyai anak yang ramai dalam menyediakan keperluan persekolahan yang tinggal beberapa hari lagi. 

Pihaknya juga menghargai sumbangan warga kampus, individu dan pihak luar yang turut sama menyumbang bagi membantu meringankan beban keluarga ini.

Selain itu memberikan mereka semangat baharu untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya. 

Program turut dihadiri Presiden Persatuan Wanita UMP, Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim. 

Seramai 20 sukarelawan membabitkan staf UMPH, Pejabat Naib Canselor, Jabatan Pendaftar dan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi hadir menjayakan program.


Aktiviti Pelajar

Mahasiswa UMP bantu mangsa gempa Lombok

BIL. 13 JAN 2019

Oleh: MUHAMMAD ASYRAF HASAN, SETIAUSAHA PROGRAM MISI KEMANUSIAAN ‘JOM BANTU MANGSA GEMPA LOMBOK’ DAN MOHD. FERDAUS MUSA, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT.

Prihatin dengan bencana tanah runtuh, kerosakan rumah kediaman dan kehilangan jiwa akibat gempa yang melanda Lombok pada 29 Julai 2018 lalu diikuti susulan pada 6 dan 19 Ogos 2018 memberikan inspirasi buat sepuluh orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjayakan program Misi Kemanusiaan “Jom Bantu Mangsa Gempa Lombok” di Desa Selengen, Kecamatan Kayangan yang terletak di daerah Lombok Utara, Indonesia pada 7 hingga 11 Disember 2018 yang lalu. Lombok adalah kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi.

Program dianjurkan oleh Perwakilan Mahasiswa Kolej Kediaman (PEKA) 2 dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Pejabat Naib Canselor (PNC), Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan (IKIP) Mataram dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Aksi Cepat Tanggap (ACT) Indonesia. 

Menurut Pengarah Program, Muhammad Sa’id Rifqi Muhammad Musal dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK), program ini dapat memperkasakan nilai-nilai kesukarelawan dalam diri mahasiswa selain menjadi platform terbaik untuk mengambil ikhtibar serta teladan yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

“Pelbagai aktiviti kesukarelawanan telah dijalankan antaranya membaiki sistem pengaliran air ke tangki simpanan masjid sementara, membersihkan bahan binaan yang runtuh akibat gempa, menambah baik infrastruktur masjid sementara,” katanya.

BIL. 13 JAN 2019

Mereka juga membantu membaik pulih beberapa rumah kediaman dan menyediakan saluran sumber air dari bukit ke masjid, tandas dan bilik mandi untuk kegunaan masyarakat setempat.

Selain itu, para peserta juga turut menyantuni masyarakat setempat dengan beberapa aktiviti yang dilaksanakan serta mengagihkan aiskrim percuma dan program motivasi bersama kanak-kanak.

Manakala sukarelawan UMP, Muhammad Aimran Amzar Kamarudin dari Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) melahirkan perasaan bersyukur kerana berpeluang menyertai misi ini untuk melihat sendiri dengan lebih dekat kejadian bencana di samping menginsafi musibah yang berlaku atas kekuasaan Allah SWT. 

Para peserta turut mengadakan program dan berkongsi pengalaman bersama mahasiswa dari Institut Keguruan dan Ilmu Pendidikan (IKIP) Mataram Lombok, Indonesia.  
UMP E-Newsletter