Skip to main content
UMP E-Newsletter

Jalinan Kerjasama

UMP jalin kerjasama antarabangsa dengan BAIBU Turki

BIL. 24 APR 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkasa hubungan strategik antarabangsa dengan meneroka peluang kerjasama akademik dan penyelidikan bersama pihak Bolu Aybant Izzet University (BAIBU), Turki dalam majlis yang berlangsung pada  Persidangan Antarabangsa Asia Pacific Association for International Education (APAIE) 2019 bertempat di  Kuala Lumpur Convention Centre pada 27 Mac 2019 yang lalu. 

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim menandatangi dokumen MoU manakala pihak Baibu diwakili Rektornya, Profesor Dr. Mustafa Alisarli. 

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Pejabat Antarabangsa, Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd. Alwi dan Koordinator Pelajar dan Staf Antarabangsa Baibu, Özlem Yelda DİLMEN.

BIL. 24 APR 2019

Menurut Profesor Dato' Sri Dr. Daing Nasir, UMP tersenarai dalam penarafan subjek terbaik dunia di QS World University by Subject Ranking 2019 bagi subjek Mekanikal, Aeronautik, Pembuatan, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan dan Teknologi. 

“Pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di UMP yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi.

“Kedudukan subjek sering digunakan oleh pelajar untuk membuat pilihan dan menilai universiti yang tepat untuk menyambung pengajian dalam bidang yang diingini.

“Menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan akademik serta bidang penyelidikan termasuklah pertukaran staf staf, pelajar serta program akademik yang dapat diterokai bersama,” katanya.

Manakala menurut Profesor Dr. Mustafa, kerjasama ini merupakan suatu permulaan dalam program kerjasama dan pihaknya menghargai kerjasama UMP dalam merealisasikan hasrat hubungan erat antarabangsa ini pada masa akan datang.  

BIL. 24 APR 2019

“Selain itu, program ini turut menggalakkan program mobiliti pelajar dan staf melalui program seperti Erasmus dan Mevlana,” ujar beliau.

Melalui kerjasama ini juga, staf dan pelajar UMP berpeluang berkongsi kepakaran dan menjalinkan hubungan baik dengan universiti di Turki seperti Yildiz Technical University, Sakarya University, Karabuk University, Akdeniz University dan Manisa Celal Bayar University dalam bidang khususnya berkaitan Kejuruteraan dan Teknologi.

BAIBU yang ditubuhkan pada tahun 1992 merupakan antara universiti terbaik di negara Turki yang turut aktif dalam menjayakan program pertukaran pelajar antarabangsa dan staf yang ditawarkan kepada pelajar dari negara Asia, Eropah, Asia Timur dan Afrika.  


Jalinan Kerjasama

UMP dan IPB jalin kerjasama dalam Teknologi Blockchain ke arah Pelabuhan Hijau Pintar Digital

BIL. 24 APR 2019

Dalam meningkatkan daya saing dan pembangunan ke arah pendigitalan yang holistik, Universiti Malaysia Pahang (UMP)  dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (IPB) memeterai kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan Teknologi Blockchain bagi meningkatkan kecekapan ke arah Pelabuhan Hijau Pintar Digital (Mart Digital Green Port) selari dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri Revolusi 4.0) pada 28 Mac 2019 yang lalu di Langkawi, Kedah. 

Pelaksanaan inisiatif digital ini juga bakal meningkatkan penggunaan teknologi pintar bagi memenuhi keperluan operasi dan keselamatan perdagangan.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pengurus Besar IPB, Zulkurnain Ayub. 

Turut sama Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff dan Pengurus Undang-undang IPB, Hajah Norkartiny Nawawi.

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir, dengan kepakaran dalam teknologi Blockchain ini, universiti akan memainkan peranan yang lebih besar terutamanya dalam pertukaran kepakaran dan mempergiat pembangunan penyelidikan.  

BIL. 24 APR 2019

“Peluang untuk bekerjasama dengan IPB ini melibatkan pembangunan penyelidikan dan perkongsian kemudahan, data, pengetahuan dan kemahiran serta lain-lain sumber untuk manfaat bersama,” katanya dalam majlis menandatangi MoU yang berlangsung sempena Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA`19) di Langkawi.
 
UMP mempunyai Pusat Kecemerlangan IBM yang mempunyai kepakaran IT manakala pihak Fakulti Pengurusan Industri (FIM) turut mempunyai kepakaran dalam bidang Supply Chain  yang bakal merancakkan teknologi Blockchain ini. 
 
UMP merupakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pertama di negara ini menggunakan teknologi Blockchain bagi aplikasi pengesahan ketulenan ijazah yang dikenali sebagai UMP Valid8. 

Sementara itu, IPB merupakan pelabuhan pertama di Malaysia yang akan menggunakan teknologi Blockchain untuk urusan operasi. 

Majlis turut dihadiri Pengarah Pusat Kecemerlangan IBM, Dr. Mohamed Ariff Ameedeen yang juga merupakan Ketua Pegawai Maklumat UMP.


Jalinan Kerjasama

UMP, Alcon jalin kerjasama bangunkan inovasi kanta lengkap

BIL. 24 APR 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) memeterai perjanjian korporat bersama CIBA Vision Johor Sdn. Bhd. yang dikenali sebagai Alcon membabitkan aktiviti pembangunan penyelidikan (R&D), penempatan latihan industri, program pertukaran staf dan pelajar universiti pada 26 Mac 2019 yang lalu di Johor Bahru. 

Alcon mengeluarkan pelbagai jenis kanta lekap Air Optix yang terkenal di dunia. Ia merupakan syarikat pelopor terhadap penjagaan mata yang menawarkan portfolio produk yang luas dalam meningkatkan penglihatan yang dapat mengubah kehidupan ramai. 

Lebih 285 juta orang setiap tahun hidup dalam keadaan mata yang menghidapi katarak, glaukoma, penyakit retina dan kerosakan refraktif. Malahan ramai lagi yang masih menunggu solusi yang dapat memenuhi keperluan terhadap penjagaan mata. 

Kerjasama ini bakal memberi peluang penempatan latihan industri dan pertukaran staf akademik dan pelajar UMP dalam meningkatkan kemahiran dan kecekapan serta berkongsi kepakaran dalam pembangunan penyelidikan (R&D) khususnya bagi mengenal pasti potensi pemesinan laser untuk fabrikasi alat acuan kanta sentuh berbanding pemesinan konvensional.

BIL. 24 APR 2019

Majlis menyaksikan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail dan Pengurus Besar Alcon Johor, Dr. James Jeyadeva Govindasamy menandatangani perjanjian dalam majlis yang berlangsung di Alcon di Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor. 

Turut hadir Pengarah Bahagian Hubungan Industri Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Profesor Dr. Arham Abdullah, Pengarah Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Nordin dan juga Ketua Sumber Manusia Alcon Johor, Tan Bee Hong.

Menurut Profesor Dr. Jamil, perjanjian ini akan menjadi penanda aras dalam hubungan universiti-industri dengan syarikat antarabangsa dalam skop penghasilan kanta lekap berteknologi tinggi.

“Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam projek penyelidikan dan pembangunan modal insan selama tiga tahun melalui memorandum perjanjian ini. Ianya merangkumi latihan industri bagi pelajar di samping meneroka lain-lain peluang,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah UMP, Dr. Siti Rabiatul Aisha Idris dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FKMP) berjaya menamatkan program sangkutan industri  di bawah penyeliaan Dr. James sebagai mentor menerusi program CEO@Faculty (AIExChange) kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama enam bulan di Alcon Johor. 

Turut berlangsung pameran pendidikan yang memberi peluang staf di sini meningkatkan kemahiran dan kerjaya dalam bidang masing-masing.   


MyGift

23 pemegang biasiswa UMP jelajah desa dekati masyarakat Orang Asli

BIL. 24 APR 2019

Oleh: MOHD. FERDAUS MUSA, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Seramai 35 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang merupakan pemegang Biasiswa UMP berasa teruja kerana berpeluang mendekati masyarakat Orang Asli dalam program Jelajah Desa@Pos Menson 2019 Cameron Highlands pada 23 Mac 2019 yang lalu.  

Bertemakan `Bersama Memasyarakatkan Teknologi’, para mahasiswa ini telah menyantuni masyarakat orang asli di Sekolah Kebangsaan Menson dan penduduk Kampung Leryar. 

Program ini adalah kerjasama dengan Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Tabung Haji Pahang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni dan Pejabat Naib Canselor UMP.

Sebanyak 20 modul dan eksperimen dilaksanakan berteraskan sebagai menyuntik kecenderungan pelajar sekolah untuk meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang melibatkan hampir 170 orang pelajar di sekolah tersebut. 

Keterujaan jelas terpancar di wajah anak-anak Sekolah Kebangsaan Menson yang majoritinya dari masyarakat Orang Asli Semai apabila dapat mencuba sendiri aktiviti tersebut. 

UMP juga turut menyumbangkan 13 buah basikal ‘preloved’ kepada pihak sekolah untuk kegunaan pelajar asrama di sekolah tersebut.

BIL. 24 APR 2019

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Menurutnya, UMP sentiasa terbuka dan bersedia meneroka ruang dan potensi kolaborasi strategik dengan perkongsian kepakaran saintifik serta teknikal sama ada dalam bidang akademik ataupun Corporate Social Innovation (CSI) seperti ini.

Beliau juga turut berbangga apabila program khas yang dilaksanakan oleh mahasiswa cemerlang yang mendapat Biasiswa UMP atau dikenali sebagai UMP Scholar merupakan inisiatif libat sama sosial (social engagement) yang telah, sedang dan akan diatur gerak bagi memastikan masyarakat umum, khususnya rakyat di Negeri Pahang Darul Makmur menerima manfaat daripada kewujudan universiti ini. 

Beliau turut mengharapkan agar program seperti ini berupaya memberikan pulangan dalam bentuk impak dan pandangan baharu kepada mahasiswa UMP dan masyarakat di Pos Menson.

Sementara itu, menurut Pengarah Program, Ee Hui En dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTeK), basikal yang disumbangkan ini merupakan terpakai yang ditinggalkan oleh mahasiswa UMP kerana telah tamat pengajian.

“Saya dan rakan-rakan pemegang biasiswa yang lain telah membaiki dan menambah baik  basikal yang telah digunakan menjadi seolah–olah seperti basikal baharu. 

“Saya  yang kali pertama terlibat dengan masyarakat Orang Asli ini  berasa bertuah dan berterima kasih kepada UMP untuk peluang ini yang dapat direalisasikan bersama rakan-rakan yang lain,” katanya sebagai sukarelawan dalam program ini. 

Turut diadakan adalah malam kebudayaan yang melibatkan persembahan dari mahasiswa UMP dan penduduk Orang Asli Pos Menson di Dewan Sekolah Kebangsaan Menson. 

Seramai 500 orang masyarakat sekitar hadir pada malam kebudayaan tersebut. Aktiviti lain yang turut diadakan adalah melukis mural dan gotong-royong.

Sempena program ini juga turut diadakan Majlis Penyerahan Projek Solar Pos Menson kepada Tok Batin Kampung Leryar, Kapas Panching.

Projek solar di Surau Kampung Leryar ini adalah sumbangan UMP dan MUIP bersama MyGift UMP. Melalui projek ini, mampu menjimatkan bil elektrik dan membantu menyemarakkan lagi kempen inisiatif hijau UMP. 

Projek solar ini dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran oleh mahasiswa dan staf UMP.

UMP turut menyumbang basikal ‘preloved’ dan papan tanda rumah kepada setiap rumah di Kampung Leryar. 

Manakala MUIP menyumbang hamper makanan harian. Majlis tersebut turut dihadiri Pengurus Tabung Haji Kuala Lipis, Haji Sirajuddin Lebai Ghazali dan Pegawai MUIP Cameron Highlands, Hazwan Hafiz Abdul Jalil.


Penyelidikan dan Inovasi

Suhu panas melampau kesan pembentukan El-Nino

BIL. 24 APR 2019

Keadaan persekitaran di Malaysia sejak akhir-akhir ini dalam keadaan membimbangkan susulan daripada suhu melampau yang berlaku ketika dalam cuaca kering dan jumlah hujan bulanan yang kurang dari paras purata normal. 

Bacaan Index Pencemaran Udara (IPU) di beberapa buah daerah seperti Rompin, Balok, Shah Alam, Putrajaya, Bukit Rambai, dan Bandar Raya Melaka telah direkodkan dalam paras berjaga-jaga.

Menurut Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Dr. Nadrah Aqilah Tukimat, isu suhu panas di Malaysia adalah bukan sesuatu isu baharu terutama ketika pengakhiran monsun timur laut  mulai bulan Februari hingga Mac. 

“Tetapi peningkatan suhu secara drastik sehingga mencecah 38 darjah Celcius dalam jangka masa yang panjang mula membimbangkan. Adakah disebabkan kesan dari El-Nino ekstrem pada tahun 2015-2016?

BIL. 24 APR 2019

“Merujuk kepada rekod trend Oceanic Nino Index (ONI) tahun 1950 hingga 2019, sebanyak empat kali El-Nino ekstrem telah direkodkan iaitu pada tahun 1982 hingga tahun 1983 (+2.2), 1997-1998(+2.4), dan 2015-2016 (+2.6) dengan kala ulangan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun,” ujarnya yang ditemui baru-baru ini dalam berkongsi kepakaran di siaran UMP TV.  

Tambah beliau, paras suhu permukaan Lautan Pasifik (SST) ketika berlakunya El-Nino ekstrem juga didapati semakin meningkat dan peningkatan ini membawa jangkaan bahawa pada 10 tahun akan datang El-Nino yang lebih kuat akan berlaku berbanding dari rekod tahun 2015 hingga 2016.

“Setiap El-Nino ekstrem juga akan diikuti dengan dua kali berturut-turut pembentukan La-Nina. Seterusnya trend ini akan membawa kepada dua lagi siri El-Nino sederhana selepas empat tahun pembentukan El-Nino ekstrem. 

BIL. 24 APR 2019

“Berdasarkan trend tersebut, suhu panas melampau pada tahun ini adalah kesan daripada El-Nino ekstrem yang berlaku pada tahun 2015 dan 2016 dan ianya merupakan peringkat awalan pembentukan El-Nino sederhana.

“Begitu juga rekod NINO 3.4 menunjukkan suhu panas telah mula membentuk pada Jun, 2018 dan berterusan sehingga Mac tahun 2019 dengan bacaan di bawah paras +1.2 (sederhana),” katanya. 

Walau bagaimanapun katanya, peningkatan suhu permukaan Lautan Pasifik (SST) tidak konsisten dan mula melemah sehingga bulan Mac 2019. 

“Pada bulan Mac 2019 juga memperlihatkan  pergerakan suhu sejuk juga mula terbentuk di timur Lautan Pasifik dan jika ia berterusan maka ianya dapat mengimbangkan semula suhu di permukaan Lautan Pasifik.

“Di samping itu, peralihan monsun yang akan bermula pada bulan April dijangkakan dapat menurunkan suhu panas. National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) menganggarkan kebarangkalian berlakunya El-Nino telah menurun sehingga 60 peratus dan dijangkakan hanya El-Nino lemah akan terbentuk,” ujar beliau. 

Tambah beliau lagi, kekerapan pembentukan El-Nino ini juga ada perkaitan dengan peningkatan suhu panas global (GAT) kesan dari peningkatan kehadiran gas rumah hijau. 

“Peningkatan GAT menggalakkan pembentukan suhu panas di permukaan lautan pasifik yang menggalakkan dan mempercepatkan pembentukan El-Nino. NOAA juga telah mengesahkan bahawa peningkatan 25 peratus karbon dioksida akibat daripada pencemaran manusia menghasilkan kesan El-Nino yang lebih kuat pada tahun 2016.

BIL. 24 APR 2019

“Hasil kajian dengan menggunakan kaedah statistik (SDSM-AR5) juga meramalkan perubahan iklim luar jangka akan memberi kesan besar kepada sumber air untuk jangka panjang. Manakala peningkatan suhu maksimum terutama di kawasan Kuantan dan Temerloh berkemungkinan meningkat sehingga mencecah 35 darjah Celcius dengan kebarangkalian bacaan SPI di bawah -2.2 (ekstrem kering) pada tahun-tahun tertentu.

“Begitu juga dengan suhu tinggi ini tertumpu pada bulan Februari hingga Julai dengan membawa kadar kuantiti hujan yang rendah kurang daripada 100mm/bulan pada bulan-bulan tertentu. Data ini merupakan data input penting untuk mengawal kelestarian sumber air jangka panjang,” katanya. 

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar memperbanyakkan meminum air tatkala suhu panas dan elak daripada terdedah kepada cuaca panas. 

"We can’t prevent a natural disaster but we can prevent a disaster within the disaster,” ujar Dr. Nadrah mengakhiri wawancara.


 

Sukan dan Rekreasi

Kursus Pensijilan Orienteering beri pendedahan kepada penggiat sukan tanah air

BIL. 24 APR 2019

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT  

Buat julung kalinya, Pusat Sukan dan Kebudayaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Magnet Edge Orienteering Sport Club (MEOSC) dan Akademik Orienteering Malaysia (AOM) telah menganjurkan Kursus Pensijilan Orienteering Tahap 1 buat penggiat sukan tanah air pada 26 Mac 2019 yang lalu

Program yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang itu telah mendapat penyertaan seramai 30 orang peserta baik dari dalam dan luar UMP.

Menurut Mohd Aznorizamin Ismail yang menjalankan tugas-tugas Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, program ini dilihat mampu menjadi medium pendedahan kepada warga UMP mengenai sukan orienteering yang dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan penggiat sukan tanah air.

“Program ini juga mampu meningkatkan dan memperkembangkan kegiatan sukan orienteering dalam kalangan mahasiswa di samping memberi peluang buat warga UMP serta komuniti setempat bagi mendapat pengiktirafan dari MEOSC dan IOF dalam sukan orienteering tahap 1.

BIL. 24 APR 2019

“Selain itu, peserta juga turut didedahkan dengan pembelajaran secara teori dan praktikal di samping turut diberi peluang merasai suasana sebenar sukan orienteering.

“Selari dengan Pelan Strategik Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dalam menghasilkan juara sukan dalam kalangan mahasiswa UMP, program ini juga dilihat mampu memberi nilai tambah kepada mahasiswa terutamanya selepas bergraduasi dengan memperoleh sijil yang diiktiraf serta kemahiran dan pengalaman secara spesifik daripada persatuan kebangsaan,” katanya.

Beliau mengharapkan penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam memartabatkan sukan tanah air di mata dunia di samping mencari pelapis pada masa hadapan.


Sukan dan Rekreasi

FKASA-Civer Dragon juara Bola Jaring, FSKKP-Arctic Fox juara Futsal UMP Super 5

BIL. 24 APR 2019

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Liga Bola Jaring Universiti Malaysia Pahang (UMP) Netbusters menyaksikan pasukan FKASA-Civer Dragon telah dinobatkan sebagai juara manakala FKKSA-Humble Bee naib juara dan FKM-Mecha Rhino selesa di tempat ketiga.

Sementara itu, bagi Liga Futsal UMP Super 5 Kategori Wanita, pasukan FSKKP-Arctic Fox telah muncul sebagai juara bagi edisi sulung manakala FKEE-Dino Thunder berjaya mengetepikan cabaran FIM-Bengal Tiger bagi perebutan tempat kedua dan ketiga kejohanan.

Bagi kategori Lelaki Futsal pula menyaksikan saingan sengit melibatkan kesemua pasukan yang bertanding namun FKEE-Dino Thunder berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimiliki oleh mereka tahun lepas sekaligus mengetepikan cabaran FTEK-Bison dan International-Lions di tempat kedua dan ketiga.

Kejohanan Liga Sukan Dalaman UMP yang masuk edisi keenam anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dengan kerjasama Majlis Sukan Pelajar (MSP) universiti ini dilihat sebagai medan bagi melahirkan atlet yang berbakat.

BIL. 24 APR 2019

Pengarah Kejohanan, Haizad Hashim berkata, kejohanan kali ini dilihat dapat membudayakan aktiviti bersukan dalam diri setiap mahasiswa secara amnya. 

“Kejohanan yang mempertandingkan tiga sukan utama iaitu Bola Sepak, Bola Jaring dan Futsal telah mendapat penyertaan daripada semua fakulti di UMP serta buat pertama kalinya turut mendapat penyertaan dari pelajar antarabangsa dengan menggunakan nama pasukan International-Lions.

“Kejohanan kali ini juga diharapkan dapat melahirkan pelajar yang bergiat aktif, sihat, cergas, dinamik, berwibawa, berdaya saing dan memupuk semangat setia kawan serta semangat berpasukan melalui aktiviti sukan di samping menanam jati diri dalam diri mahasiswa,” katanya.

Majlis perasmian dirasmikan oleh Mohd Aznorizamin Ismail yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang pada 29 Mac 2019 yang lalu. 

Turut hadir Pengerusi Liga Sukan Dalaman, Nur Adam Maximillian dan Exco Sukan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) merangkap Presiden Majlis Sukan Pelajar UMP, Alex Tiong Sie Hung.

Bagi saingan bola sepak Liga Super UMP, saingan kini memasuki minggu kedua kejohanan dan juara bagi acara itu hanya akan diketahui selepas perlawanan akhir yang dijadualkan pada 17 April depan di Stadium Mini, UMP Kampus Gambang.