Skip to main content
HEADER CREATE

Akademik dan Antarabangsa

UMP disaran beri perhatian serius bidang kecerdasan buatan – Canselor

BIL. 55 NOV 2019

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan supaya Universiti Malaysia Pahang (UMP) memberi perhatian serius terhadap pembangunan bidang Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI)

Baginda yang juga merupakan Canselor UMP bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 UMP di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang pada 16 November 2019 yang lalu. 

Selain bidang kecerdasan buatan, UMP juga diseru untuk bergerak dengan lebih ke hadapan dalam menjayakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), selari dengan fokus terkini pendidikan tinggi negara.

Titah Baginda, bidang ini mampu melonjakkan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi dan berharap UMP akan terus berjaya ke hadapan dalam menjayakan agenda ini 

"Dengan kerjasama erat di antara UMP dengan pihak industri dalam dan luar negara berupaya mengukuhkan lagi peranan universiti ini dalam melahirkan modal insan yang bukan hanya mampu memenuhi keperluan negara, bahkan pada peringkat antarabangsa," titah baginda.

Seri Paduka juga menzahirkan pujian kepada pentadbiran UMP terhadap rancangan mereka untuk menubuhkan Yayasan UMP awal tahun hadapan yang bertujuan mendapatkan dana bagi membantu rakyat kurang berkemampuan memperoleh peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

"Perkara ini adalah satu usaha murni yang wajar diberikan pujian dan sokongan semua pihak, namun pihak universiti tidak boleh hanya bergantung kepada sumbangan dalam usaha mahu meningkatkan prestasi.

"Sebaliknya, usaha gigih diperlukan untuk mencari rakan strategik baharu untuk meningkatkan keupayaan universiti supaya mampu bersaing dengan universiti lain," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga pada titah baginda, menasihatkan graduan UMP untuk menggunakan ilmu dan pengalaman yang diperoleh di universiti untuk memberi manfaat kepada masyarakat, selain mencari peluang mencipta kejayaan lebih besar pada masa akan datang.

Titah Seri Paduka, graduan menggalas amanah dan tanggungjawab besar di bahu mereka dalam mencorak masa hadapan masyarakat dan negara, selain perlu menjadi warganegara yang sering menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan Malaysia.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan menzahir baharu dilantik sebagai Pro-Canselor UMP bersama-sama Tan Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor.

Untuk rekod, istiadat pemasyhuran Tengku Hassanal selaku Pro-Canselor akan dilakukan pada masa hadapan memandangkan baginda masih berada di Akademi Tentera Diraja Sandhurst (Royal Military Academy Sandhurst) di United Kingdom.

Majlis konvokesyen kali ini melibatkan 3,782 graduan terdiri daripada 2,633 graduan program pra pengajian, 77 ijazah kedoktoran, 158 ijazah sarjana dan 914 program pengajian eksekutif dan profesional di bawah pusat pengajian sepanjang hayat, UMP Advanced Education.


Akademik dan Antarabangsa

Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asaari dimasyhurkan Pro-Canselor UMP

BIL. 55 NOV 2019

Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-14 yang disempurnakan oleh Canselor UMP, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah A-Musta’in Billah pada 16 November 2019 yang lalu di Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang. 
 
Dalam majlis itu, baginda turut mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Maklumat kepada Presiden dan Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech Padu Berhad, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib yang juga mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib.

Penganugerahan tersebut adalah sebagai pengiktirafan terhadap ketokohan, sumbangan dan kepimpinan beliau dalam lapangan pentadbiran, transformasi organisasi, teknologi dan inovasi, serta pembangunan khususnya di universiti selama ini.

BIL. 55 NOV 2019

Bagi Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dinobatkan buat graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik & Multimedia) dengan Kepujian, Azriel Tan Zhe Khen dan Umi Fatiha Md Kosnin@Md Seropil graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan.
 
Anugerah Canselor pula dianugerahkan kepada Khairun Nisa Mazlan graduan Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian.

Manakala Lai Chor Kiew, graduan Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer dan Rangkaian) dengan Kepujian pula menerima Anugerah Naib Canselor.

Anugerah Emas Universiti dianugerahkan buat Janet Jong Jin Joo, graduan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia dan Khaizuran Aqhar Ubaidillah graduan Diploma Sains Komputer.

Buat julung kalinya, seramai 35 orang graduan sulung Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM) yang terdiri daripada personal yang terlibat secara langsung dengan inisiatif pengurusan dan pembangunan bakat kepimpinan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal bergraduasi hasil program kerjasama pusat pengajian sepanjang hayat, UMP Advanced Education (UMPA) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), KPM.
 
Majlis Konvokesyen UMP ini turut menyaksikan seramai 3,782 graduan UMP yang terdiri daripada 2,106 graduan ijazah sarjana muda, dwiijazah dan francais, 77 graduan ijazah kedoktoran, 158 graduan ijazah sarjana, 527 graduan diploma dan seramai 914 graduan bagi program pengajian eksekutif dan profesional di bawah pusat pengajian sepanjang hayat, UMP Advanced Education yang bergraduasi pada 16 dan 17 November 2019. 

Majlis dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.


Akademik dan Antarabangsa

UMP akan beri penekanan serius konsep ‘Social Enterprise Technological University’- NC

BIL. 55 NOV 2019

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff akan memberi penekanan serius kepada konsep 'Social Enterprise Technological University' bagi mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan pada masa depan.

“Konsep yang membolehkan mereka lebih berdikari itu telah dijadikan asas dalam pelan strategik UMP untuk memacu kecemerlangan dan lebih berdaya saing dengan universiti lain.

"UMP juga akan terus memperkasa penyelidikan, pembangunan keusahawanan dan pentadbiran yang berintegriti bagi menghadapi cabaran masa depan.

“UMP juga akan terus memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memandangkan mereka antara institusi yang dipertanggungjawabkan dalam aspek itu oleh Kementerian Pendidikan,” katanya semasa berucap pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-14 di Dewan Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang pada 16 dan 17 November 2019 yang lalu.

Tambah beliau lagi, bagi melaksanakan agenda TVET, UMP telah memulakan proses transformasi organisasi yang merangkumi perancangan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti memberi laluan kepada graduan Diploma Vokasional Malaysia dan Diploma Kemahiran Malaysia untuk melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di sini.

“UMP turut tersenarai pada kedudukan ke-271 universiti terbaik dunia dan ketujuh di Malaysia bagi program kejuruteraan serta menduduki tangga ke-741 dunia dalam program kimia, berdasarkan portal berita US News and World Report.

“Pemilihan itu adalah berdasarkan 13 indikator termasuk reputasi kajian kejuruteraan global, reputasi kajian kejuruteraan setempat, penerbitan kejuruteraan, kolaborasi kejuruteraan antarabangsa dan peratusan penerbitan,” ujar beliau. 


Akademik dan Antarabangsa

Bapa terharu terima Anugerah Khas Anumerta anak

BIL. 55 NOV 2019

Bapa kepada penerima Anugerah Khas 'Anumerta' Universiti Malaysia Pahang (UMP), Roslan Jodin, 56 tidak pernah menyangka akan mewakili anaknya, allahyarham Mohamad Hakim Roslan menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dengan kepujian yang diperoleh pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMP Ke-14 di bilik kamar Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang pada 16 November 2019 yang lalu. 

Apatah lagi, anugerah dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah A-Musta’in Billah yang merupakan Canselor UMP. 

BIL. 55 NOV 2019

Turut hadir Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato' Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato' Sri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.

Allahyarham Mohamad Hakim yang merupakan anak sulung dalam keluarga ini telah pergi mengadap Ilahi pada 25 Jun 2019 tatkala berada di tahun akhir setelah bertarung dengan sakit kanser usus sejak tahun 2017 lagi.

Menurut Roslan Jodin, sepanjang menerima rawatan, pengkuliahan allahyarham banyak tertinggal kerana terpaksa bercuti semasa menerima rawatan. 

“Namun, sokongan kawan-kawan allahyarham dan pensyarah amat kami kagumi. Kami masih teringat, rakan-rakannya sanggup berkumpul mengajar di rumah transit di dalam kampus ditemani kami sekeluarga,” katanya yang hadir bersama isteri, Siti Zanariah Mohd. Ripin, 46 dan tiga anaknya. 

Kisah arwah yang mempunyai semangat juang yang tinggi melawan sakitnya turut dikongsikan pensyarahnya, Dr. Abdul Nasir Abd. Ghafar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. 

Ujar Dr. Abdul Nasir, semangat allahyarham Mohamad Hakim wajar dicontohi pelajar lain pada hari ini.

BIL. 55 NOV 2019

“Sebagai pensyarah yang juga penasihat rasmi pertandingan kereta elektrik Shell Eco Marathon Asia 2018, beliau pernah didatangi allahyarham Mohamad Hakim antara salah seorang pelajar yang berminat menjadi ahli pasukan ini. 

“Allahyarham menawarkan diri untuk melakukan kerja- kerja fabrikasi dan bercerita tentang pengalamannya bersama ayah membaiki bot, suatu kemahiran yang tiada pada ahli lain dalam pasukan yang cukup muda ketika itu.

“Namun, kira-kira dua minggu setelah pertemuan pertama bersama ahli pasukan, beliau menerima pesanan telefon daripada allahyarham untuk menarik diri disebabkan masalah kesihatan dan tidak mampu untuk ke bengkel menyiapkan kereta bersama rakan-rakan lain,” katanya. 

Selain itu tambahnya, diceritakan oleh seorang rakan pensyarah lain, ketika menjadi panel penilai projek akhir tahun, allahyarham Mohamad Hakim ketika itu tidak hadir ketika sesi pembentangan projek kerana terlantar di hospital. 

Pada masa yang sama, allahyarham Mohamad Hakim mengendalikan skop kerja elektrik dan elektronik. 

Ketika sesi soal jawab, allahyarham menjawab soalan panel secara atas talian, langsung dari hospital. 

Malahan beberapa pensyarah mengakui bahawa allahyarham berjaya menyiapkan kesemua kursus dan hanya mempunyai masalah kehadiran akibat sesi rawatan di hospital. 

Dalam pada itu, menurut ibunya pula, pemergian allahyarham adalah satu kehilangan besar bagi keluarga namun mereka sekeluarga reda dan mengharapkan semangat dan suntikan semangat buat anak-anaknya yang lain. 

“Kami sekeluarga amat menghargai kesudian pihak UMP menguruskan kehadiran kami sekeluarga ke Majlis Konvokesyen Ke-14 UMP ini,” katanya. 


Akademik dan Antarabangsa

Azriel Tan raih Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) UMP

BIL. 55 NOV 2019

Oleh: NADIRA HANA AB HAMID, FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN PEMBUATAN DAN MEKATRONIK
Foto oleh: ALUWI MOHD SIKAH, JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA

“Hidup hanya sekali, hiduplah dengan penuh erti”, begitulah falsafah hidup yang dipegang penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Azriel Tan Zhe Khen, 24 tahun, anak kepada pasangan Tan Chong Phor, 54 tahun yang berkerja sebagai pentadbir dan ibunya Leong Wai Choy, 53, seorang suri rumah. 

Anak jati kelahiran Pulau Pinang ini merupakan pemegang Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik & Multimedia) dengan Kepujian dari Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian dengan PNGK 3.88. 

Selain berjaya memperoleh Anugerah Dekan bagi setiap semester pengajian beliau di UMP, anak sulung daripada dua beradik ini juga merupakan seorang pelajar yang cemerlang di peringkat sekolah apabila mencatat keputusan PNGK 3.42 dalam Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) dan 3A+, 2A, dan 4A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). Kecemerlangan dalam bidang akademik tidak menghalang untuk beliau terus aktif dalam aktiviti persatuan dan kelab. 

Sepanjang pengajian di UMP, beliau memegang pelbagai jawatan dalam aktiviti persatuan dan kelab, antaranya beliau dilantik sebagai Exco Multimedia bagi Kelab Alam Sekitar dan Lestari (EcoSiswa) UMP. 

Beliau bertanggungjawab merancang serta mengurus aktiviti multimedia dan promosi program-program anjuran kelab seperti lawatan ke Taman Negara pada 2016 dan Earth Week pada 2017. Selain itu, beliau turut dilantik sebagai Ketua Unit Publisiti bagi Program Pahang Engineer Run 2018. 

Penglibatan aktif beliau dalam aktiviti persatuan dan kelab telah membantu mengasah bakat kepimpinan dan menyerlahkan lagi potensi serta keyakinan diri. Ini dibuktikan dengan pemilihan beliau sebagai pengerusi bagi jawatankuasa penganjur program ceramah 'ICT Ke Arah Hijau'.  

Selain aktif dalam aktiviti kelab dan persatuan, beliau turut bergiat aktif dalam aktiviti sukan dengan menyertai pelbagai acara larian seperti Sky Run, Crazy Run, Neon Night Run, Splash Run, Titan Challenge: Survival of The Fittest dan Run for Life. Selari dengan hobi beliau yang suka mengembara, beliau turut aktif dalam aktiviti kembara dengan menyertai program mendaki Bukit Broga Hiking in Style. 

Antara aktiviti lain yang disertai bagi mengisi masa lapang serta menambahkan pengetahuan adalah seperti Industrial Talk sempena International Fiesta (2017): Mobility for Employability, Bengkel Microsoft Campus Day (2017), Town Hall Forum: TN50 dan Mahasiswa serta majlis-majlis kebudayaan seperti Tahun Baru Cina, Pesta Tanglung, Winter Solstice, Karnival Drum Night, Malam Pesta Cahaya, dan Hanabi Night UMP 2016.

Pengalaman paling indah bagi beliau sepanjang bergelar penuntut UMP adalah apabila berjaya membentangkan projek tahun akhir beiau yang bertajuk 'Cloud Based Intelligent Waste Management Robots for Open Public Spaces'. 

Menghabiskan pengajian di UMP telah memberi satu pengalaman yang amat bermakna dan tidak ternilai. UMP pada pandangan beliau merupakan sebuah institusi yang memberikan peluang yang sama rata kepada semua penuntutnya untuk menimba serta menguasai ilmu serta kemahiran, melatih diri untuk lebih berdikari, matang, serta membentuk jati diri seseorang individu secara fizikal dan mental. 

Berpegang kepada prinsip hidup “Menghadapi cabaran dengan penuh dedikasi dan tidak mudah berputus asa” serta keazaman yang tinggi untuk menjadi seorang pakar teknologi maklumat, beliau kini sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Sains Komputer di Universiti Sains Malaysia (USM).

Harapan beliau, semoga segala ilmu yang diperoleh dapat dicurahkan untuk membantu pembangunan bidang teknologi maklumat di negara ini. Beliau berharap agar dapat terus menyumbang khidmat bakti serta membalas jasa kedua orang tuanya yang selama ini menjadi tonggak serta pendorong kepada setiap kecemerlangan serta kejayaan yang dikecapinya. 


Akademik dan Antarabangsa

Umi Fatiha anak petani rangkul Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

BIL. 55 NOV 2019

Foto oleh: ALUWI MOHD SIKAH, JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA

Umi Fatiha Md Kosnin@Md Seropil anak kelahiran Sungai Balang, Muar Johor ini merupakan penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Ke-14 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Puteri kepada pasangan Md Kosnin@Md Seopil, 71 tahun yang bekerja sebagai petani dan Nurmah Sukarman, 62 tahun yang merupakan seorang suri rumah, menjadikan ibu bapanya sebagai tunjang kehidupan dan asbab untuk berjaya. Anak bongsu dari lima adik-beradik ini dilahirkan pada 7 Januari 1996 di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor. Ibu dan bapanya merupakan pendorong utama kejayaannya selama ini. Justeru, besar harapannya dapat membanggakan seluruh keluarganya dan membalas jasa dan pengorbanan mereka selama ini. 

Umi Fatiha merupakan pemegang Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan dari Fakulti Sains & Teknologi, UMP dengan PNGK 3.72. Selain berjaya memperoleh Anugerah Dekan selama tujuh semester sepanjang pengajian di UMP, beliau juga pernah memenangi pingat emas di Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREx 2019) dan pingat perak di 30th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2019). 

Ketokohan beliau turut terserlah apabila bergiat aktif dalam beberapa aktiviti persatuan dan kelab. Beliau pernah menjawat jawatan dalam Sekretariat Pencegahan Rasuah UMP (SPRUMP, 2015–2017), Ahli Jawatankuasa International Festival of Innovation of Green Technology (i-FINOG 2017), Timbalan Pengarah Explorace Anti Rasuah (SPRUMP) (2015) dan Exco Bowling for Fitness and Bonding (2015).

Antara jawatan-jawatan lain yang disandang beliau adalah sebagai Ahli Jawatankuasa Pelaksana Pelajar Minggu Induksi Siswa (MINDS 2016), Ahli Jawatankuasa Hari Suai Kenal (2016), Setiausaha Freedom Run 1.0: Free from Corruption (2016), Setiausaha Malam Jauhi Rasuah Bersama Kepimpinan Pelajar (2017), Exco Festival Bayu Kenyalang (2017), Exco Led Dance Music Run (2018) dan Exco Fasilitator Saintis Turun Ke Desa (2019). 

Semasa menuntut di UMP, beliau amat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan sejajar dengan landasan pembelajaran di Universiti Awam (UA) yang lain. Beliau turut memperakui bahawa para pengajar di UMP sangat memainkan peranan yang penting dalam melahirkan graduan yang berjaya dari segi ilmu pengetahuan dan etika kehidupan terutamanya pensyarah-pensyarah di Fakulti Sains & Teknologi Industri (FSTI) yang sangat berwibawa dalam mendidik dan melahirkan insan yang cemerlang. Mereka bukan sahaja mendidik, malah turut melibatkan diri dengan aktiviti luar kampus bersama para pelajar dan masyarakat. 

Beliau kini bekerja sebagai Junior Quality Control Executive di Panwrite Plastic Industries Sdn. Bhd., Shah Alam, Selangor dan bertanggungjawab terhadap penjagaan kualiti dalam bidang pembuatan. 

'Do your best and Allah will do the rest' ialah kata-kata yang menjadi pegangan hidup beliau. Pada masa akan datang, beliau berharap untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran baharu dengan melibatkan diri dalam bidang-bidang yang beliau gemari serta mencabar diri bagi mendalami ilmu-ilmu baharu.


Akademik dan Antarabangsa

7 kali Anugerah Dekan Khairun Nisa dinobatkan penerima Anugerah Canselor

BIL. 55 NOV 2019

Oleh: SHALFARINA BINTI SHAHRIMAN
Foto oleh: ALUWI MOHD SIKAH, JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA

Ketika berada di tahun ketiga pengajian, Khairun Nisa Mazlan, 23, pernah bekerja secara sambilan sebagai kru bankuet di salah sebuah hotel di Gambang demi menampung keperluan sara hidup yang semakin meningkat. Itulah pengalaman yang dilalui oleh penerima Anugerah Canselor di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-14.

Pengalaman itu menjadi titik tolak kepada kejayaan beliau hari ini demi membuktikan bahawa kesungguhan dan ketekunan dalam menimba ilmu pasti akan melalui satu perjalanan yang sukar untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

Khairun Nisa dilahirkan pada 23 November 1996 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Beliau merupakan anak sulung dari empat beradik. Kehilangan ayahanda tercinta, Mazlan Bidin, akibat penyakit leukemia, pada usianya 12 tahun menjadi satu tamparan duka dalam episod hidupnya.

Sejak itu, beliau bertekad untuk belajar dengan tekun sementelah menyaksikan ibunya, Noorasiah Daud, 48, yang bekerja sebagai kakitangan sokongan di Telekom Malaysia membanting tulang demi membesarkan mereka empat beradik. 

Justeru, beliau terus menyambung pelajarannya dalam bidang Pengurusan Projek di Fakulti Pengurusan Industri. Beliau merupakan penerima Anugerah Dekan selama tujuh semester berturut-turut.

Walaupun dihimpit kesukaran kerana terpaksa menyesuaikan diri selepas menukar bidang pengajian Sains ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Banting, Selangor kepada bidang Pengurusan Projek di UMP, beliau tetap meneruskan tekad untuk berjaya demi membuktikan kepada ibunya bahawa tiada apa yang mustahil sekiranya kita rajin berusaha.

Buktinya, beliau berjaya memperoleh PNGK 3.70 dan seterusnya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor pada majlis konvokesyen kali ini. 

Kejayaan ini sekaligus membuktikan prinsip beliau bahawa sekiranya kita melakukan sesuatu yang baik, pasti kebaikan jua yang akan diterima.

Beliau tidak mempunyai sebarang rahsia untuk kekal berjaya pada setiap semester. Beliau hanya memastikan setiap kali sebelum menduduki peperiksaan, beliau akan menetapkan sasaran yang tinggi dan sudah pasti usaha yang lebih akan dilakukan demi mencapai kejayaan itu.

Fokus dalam bidang akademik tidak menghalang gadis ini dari turut bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Beliau pernah menyertai hampir 40 aktiviti yang dianjurkan di dalam mahupun luar UMP.

Antara jawatan yang pernah disandang sepanjang empat tahun pengajian di sini adalah seperti Pengarah Program Kejohanan Bola Jaring Tertutup Piala Persatuan Wanita UMP (Matahari), Timbalan Pengarah Program Tahun Akhir Pameran dan Pertunjukan 2017, Program Koordinator Forum Industri 4.0 Teknologi Blockchain, Setiausaha Program Berjalan Kaki 10,000 Langkah untuk Sifar HIV anjuran GENESIS, Setiausaha Program Women's Grooming, Panel Jemputan Forum Circle Talk 3.0 anjuran kelab  PMSB, dan juga Exco dalam pelbagai jawatankuasa aktiviti anjuran kelab dan persatuan di UMP.

Sebagai seorang pelajar di universiti bertaraf dunia, beliau sememangnya bangga menjadi alumni UMP. 

Baginya, UMP ialah sebuah universiti yang selesa dengan pelbagai kemudahan dan sistem pengurusan yang sentiasa dinaik taraf seiring perkembangan teknologi.

Kini, segala susah payah yang dilalui akhirnya terbayar jua apabila beliau diterima bekerja sebagai Commodity Command Standard System (CCSS) Representative 1, Global Support Contact Centre di HSBC Data Processing (M) (HDPM) sebelum bergraduat.

Pesannya, untuk berjaya di dalam hidup perlulah sentiasa untuk menetapkan sasaran dan rancang dengan teliti untuk mencapai sasaran tersebut. 

“Selain itu, perancangan dan pengurusan masa yang teratur amat diperlukan bagi kelancaran proses sesuatu perkara. 

“Kita juga perlu menjaga hubungan sesama manusia seperti mana kita menjaga hubungan dengan Pencipta dan juga perlu memperoleh restu keluarga terutamanya ibu bapa dalam setiap perkara. 

“Akhir sekali, jangan kedekut untuk berkongsi ilmu kerana otak kita akan lebih mengingati sekiranya kita mengajar orang lain,” ujarnya. 


Akademik dan Antarabangsa

Kekuatan ibu beri semangat buat Lai Chor Kiew

BIL. 55 NOV 2019

Oleh: SITI NURFARMY IBRAHIM, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
Foto oleh: ALUWI MOHD SIKAH, JABATAN PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA

Kecekalan semangat ibunya, Loh Kwai Fong, 48 dalam membesarkan anak-anaknya setelah kehilangan suami sepuluh tahun yang lalu menjadi penguat semangat buat Lai Chor Kiew, 24, untuk menamatkan pengajian dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-14 yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti, UMP Kampus Gambang pada 16 dan 17 November 2019 yang lalu. 

Anak sulung daripada empat adik-beradik ini berkata, dorongan dan sokongan daripada keluarga menjadi penguat semangat apatah apabila beliau gagal dalam sesuatu perkara.

“Terdapat ibu bapa yang akan memarahi anak apabila gagal terutamanya ketika di peringkat sekolah menengah namun bagi Lai Chor Kiew, ibu bapanya tidak pernah memarahinya malah sentiasa memberikan semangat untuk terus melakukan yang lebih baik dan ianya memberi kesan yang mendalam terhadap diri saya," katanya. 

Graduan dari Fakulti Komputeran ini akan memastikan segala matlamat yang telah ditetapkan akan dicapai. 

Bagi beliau, setiap orang mempunyai matlamat yang telah ditetapkan dalam hidup, jika kita mampu mencapai matlamat itu maka kitalah pemenang. 

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mudah berputus asa, sentiasa bertanya dan belajar merupakan kunci kejayaan saya hari ini.

“UMP adalah sebuah universiti yang hebat yang dapat membantu anak-anak muda untuk berkembang selain dapat menyediakan kursus-kursus yang bersesuaian untuk pelajar,” ujar anak kelahiran Kampar, Perak ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer & Rangkaian) dengan Kepujian dengan PNGK 3.82. 

Beliau juga berjaya memperoleh Anugerah Dekan bagi setiap semester sepanjang pengajian di UMP.

Selain itu, Lai Chor Kiew juga bergiat aktif dalam pelbagai program dan persatuan antaranya Jelajah Milenia, Program Malam Kebudayaan Tahun Baharu Cina 2017, Motorola Embedded Wireless Communication (M-Wicom Module A) dan Motorola Embedded Wireless Communication (M-Wicom Module  B).

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Automation Engineer di industri turut bersyukur atas anugerah yang diterimanya. 


Akademik dan Antarabangsa

35 graduan perintis program kerjasama UMP dan AKEPT dalam pemantapan bakat

BIL. 55 NOV 2019

Seramai 35 graduan program kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima diploma masing-masing yang disampaikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff bersempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-14 yang berlangsung pada hari kedua 17 November 2019 yang lalu di Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang.  

Program perintis ini dilaksanakan melalui pusat pengajian sepanjang hayat, UMP Advanced Education (UMPA) yang berjaya melahirkan graduan dalam bidang Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM). 

Pelaksanaan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat ini selaras dengan kepentingan pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan ke arah pemantapan penyampaian kerja berprestasi tinggi pada masa depan.      

Bagi Pengarah AKEPT, Profesor Dr. Nordin Yahaya, agenda pengurusan dan pemerkasaan bakat kepimpinan adalah penting dalam ekosistem organisasi dan institusi pendidikan tinggi. 

“Hasrat AKEPT dalam membina jambatan ilmu CBTM direalisasikan melalui kolaborasi strategik antara AKEPT dan UMP yang mana kompetensi menjadi tonggak dalam membudayakan pengurusan bakat yang berwibawa di Universiti Awam (UA).

“Alumni pertama AKEPT-UMP dalam Diploma Profesional CBTM ini merupakan satu pelaburan yang begitu bermakna buat KPM umumnya dan UA khususnya. 

“Pendedahan kepada ilmu sumber manusia dengan sepuluh modul yang ditetapkan ini telah berjaya melahirkan pegawai yang lebih kompeten dalam pengurusan bakat yang lebih berstruktur dan telus,” katanya.

Tambah beliau lagi, dengan terhasilnya kohort pertama dalam CBTM ini, AKEPT berharap ia akan memperkasakan pengurusan bakat kepimpinan yang lebih telus, holistik dan objektif. 

“AKEPT bersama dengan UA akan bergerak seiring dan jaringan strategik ini juga merupakan landasan perkongsian ilmu yang berterusan bagi mencapai kelestarian pengurusan bakat kepimpinan berteraskan kompetensi.

“Saya berharap agar usaha AKEPT-UMP ini berterusan bagi merencanakan agenda kelangsungan kepimpinan UA yang berwibawa untuk kecemerlangan pendidikan tinggi negara. 

“Program komprehensif melalui pendekatan pembelajaran teradun (blended learning) ini adalah di bawah penyeliaan Pusat Pemprofilan Kepimpinan (CeLP) manakala AKEPT dan UMP sebagai rakan strategik.

“Pembelajaran Teradun merupakan satu kaedah yang menggabungkan pendekatan pembelajaran mod bersemuka (face to face) dan pembelajaran mod atas talian (online),” ujar beliau. 

Pengarah Pusat Kecemerlangan dan Kesarjanaan Akademik, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Ts. Dr. Faaizah Shahbodin berkata, CBTM program penting bukan sahaja kepada pentadbir universiti, malah semua komuniti universiti perlu memahami tentang kompetensi dan pembangunan bakat.  
 
Manakala bagi Timbalan Pengarah di Pusat Pengurusan Bakat dan Latihan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Syamsul Azri Abdul Rahman pula berkata, pembelajaran sambil bekerja adalah satu pengalaman baharu yang sangat memberi manfaat secara spesifik kepada tugas dan tanggungjawab semasa di UniSZA. 

“Program ini banyak memberi pendedahan dan maklumat yang terkini dalam pengurusan bakat sumber manusia serta juga meningkatkan jaringan kerja dengan pengurus bakat di UA yang lain,” katanya. 
 
Tambah Ketua Seksyen Pelan Penggantian di Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Azizi Ismail pula, CBTM merupakan platform terbaik hasil idea asli dan kreatif AKEPT dan UMP agar berupaya meningkatkan kompetensi pengurus bakat UA selari dengan pendekatan sumber manusia terkini.  
 
Pada masa yang sama, sebuah buku yang berjudul 'Memimpin Yang Terpimpin: Model Kompetensi Sumber Manusia Universiti Awam' hasil garapan penulis daripada UMP,  Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UnisZA dan AKEPT yang diketuai oleh Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri UMP, Dr. Mohamad Rozi Hassan dan Timbalan Pengarah AKEPT, Profesor Madya Dr Ismie Roha Mohd. Jais dilancarkan pada Majlis Makan Malam Bersama Graduan bersempena meraikan graduan CBTM anjuran UMPA di Hotel Vistana Kuantan baru-baru ini.

Beberapa siri buku, jurnal, artikel, modul dan penerbitan-penerbitan lain juga akan diterbitkan sebagai rujukan bersama UA dan mana-mana agensi yang berkenaan.