Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

UMP tersenarai pada kedudukan 134 terbaik Asia

BIL. 57 DIS 2019

Oleh: HAZLINA FAIZAL, PUSAT HAL EHWAL KORPORAT DAN KUALITI

Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatatkan pencapaian  membanggakan apabila berada di kedudukan 134 terbaik di Asia dalam penarafan QS University Ranking Asia 2020 yang diumumkan baru-baru ini.

Lonjakan berterusan bagi tempoh lima tahun berturut-turut itu juga menjadikan UMP sebagai universiti pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang berada di kelompok 150 terbaik Asia.

Pencapaian tahun ini menyaksikan UMP meningkat sebanyak 54 kedudukan berbanding di kedudukan 188 pada penarafan tahun lalu. 

Ia mencakupi kebolehpasaran graduan, rangkaian (networking) dan kerjasama industri dan perkongsian strategik antarabangsa.  

BIL. 57 DIS 2019

QS University Ranking Asia 2020 mengambil kira 11 kriteria penilaian, antaranya Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Nisbah Staf Akademik dan Pelajar, Jumlah Sitasi bagi Penerbitan, Jumlah Penerbitan Saintifik per staf akademik dan Staf Akademik Berkelayakan.

Lain-lain adalah Jaringan Penyelidikan Antarabangsa, Staf Akademik Antarabangsa, Pelajar Antarabangsa, Pertukaran Pelajar ke Luar Negara dan Pertukaran Pelajar Antarabangsa ke dalam Negara.

Pelbagai inisiatif pengantarabangsaan akan terus dilaksanakan UMP dalam meliputi bidang pengajaran, penyelidikan, kolaborasi antarabangsa dan hubungan industri dalam menjadikan universiti ini sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang lebih cemerlang pada masa depan.

Bagi edisi 2020 ini memperlihatkan UMP memperbaiki kedudukan bagi hampir kesemua kriteria penilaian oleh pihak agensi penarafan antarabangsa Quacquarelli Symonds yang berpengkalan di London. 

Keputusan penuh QS Asian University Rankings 2019 boleh diakses melalui pautan https://www.topuniversities.com/university-rankings/asian-university-ra….


Jalinan Kerjasama

UMP, SIASUN jalin kolaborasi strategik dalam pembangunan robotik dan perkhidmatan pintar

BIL. 57 DIS 2019

Oleh: MOHD. RAIZALHILMY MOHD RAIS, PUSAT JARINGAN INDUSTRI DAN MASYARAKAT (ICoN)

Kolaborasi strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan SIASUN Robot & Automation Co.Ltd. (SIASUN) di Shenyang, China yang merupakan sebuah syarikat berteknologi tinggi bakal membentuk rantaian nilai merangkumi teknologi teras, komponen teras, produk terkemuka dan penyelesaian industri terutamanya dalam perkhidmatan pintar berkaitan robotik.

Pada ketika ini, nilai pasaran SIASUN adalah ke-3 dalam industri robot di peringkat global yang mempunyai kadar pertumbuhan paling pesat. 

Kerjasama ini akan memberi tumpuan terhadap pembangunan kepakaran dengan model kilang berkonsepkan pengajaran (teaching factory) bagi menyokong inisiatif pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu University Revolution Teaching Factory (URTC) berkaitan Revolusi Perindustrian (IR 4.0).

BIL. 57 DIS 2019

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff menandatangani MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIASUN, Mr. Zhao Chen pada 5 November 2019 yang lalu. 

Hadir sama Presiden SIASUN Education Shenyang, Cun Yan Fan, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Naib Presiden Teutloff German TVET Institution, Andy Pan.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, kolaborasi ini adalah kesinambungan hasil kunjungan pihak SIASUN ke UMP baru-baru ini. 

BIL. 57 DIS 2019

“Kolaborasi ini akan melatih tenaga mahir bagi memperkasa kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi dan latihan di samping program pembelajaran sepanjang hayat melalui kerjasama strategik dengan syarikat global.

“Dalam membangunkan ekosistem mampan inovasi teknologi berimpak tinggi, UMP juga turut menjalinkan kerjasama dengan tiga pihak untuk projek Pusat Kecemerlangan Asia (ACES) bersama-sama dengan SIASUN yang berpangkalan di Singapura dan Sapura Industrial Bhd. (SAPURA),” ujarnya yang mengetuai lawatan kerja  ke Shenyang, China.

Beliau mengharapkan kolaborasi ini mampu membuka peluang kerjasama strategik dalam mengadaptasi kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan lebih releven, realistik dan efektif yang dapat dimanfaatkan semua pihak.

Delegasi UMP dan SAPURA juga berpeluang melawat ke beberapa makmal berkaitan industri robot berteknologi tinggi.

BIL. 57 DIS 2019

Di samping itu juga turut diadakan perbincangan kolaborasi dalam bidang akademik dan penyelidikan bersama Shenyang Institute of Automation, Chinese Academy of Sciences, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan SIASUN serta Kolej Teknologi Liaoning.

Turut sama menyertai delegasi ialah Pengurus Besar Kanan (Teknikal & Operasi) Sapura Industrial Berhad, Adnan Jamal, Pengarah Pusat Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Pengurus Besar Sapura, Abdul Halim Baharom.


Info Sekitar Kampus

Kunjungan SIASUN, Sapura Industrial tinjau prospek kolaborasi dengan UMP

BIL. 57 DIS 2019

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima kunjungan daripada delegasi SIASUN Co. Ltd (Singapore) atau SIASUN dalam meninjau prospek kolaborasi dalam Teknologi Kejuruteraan dan bidang penyelidikan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) pada 9 November 2019 yang lalu di UMP Pekan. 

Delegasi ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, SIASUN Automation Singapore, Zgao Chen bersama empat pengurusan SIASUN dan disambut oleh Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli. 

Hadir sama Pengurus Besar Pembuatan, Sapura Industrial, Abdul Halim Baharom, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN), Profesor Madya Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Pengarah Center for Technology Management and Services (CTMS), Haji Syahrulnaim Mohammad Nawi.   

BIL. 57 DIS 2019

Delegasi turut dibawa melawat ke Makmal Elektrik dan Elektronik, Makmal Mekanikal dan Automotif, Makmal Pembuatan dan Mekatronik dan pelaksanaan kilang pengajaran (teaching factory) untuk berkongsi idea dalam pembangunan dan kepakaran seiring dengan inisiatif pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu University Revolution Teaching Factory (URTF) yang berkaitan dengan IR4.0.

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar turut membentangkan mengenai latar belakang, pencapaian universiti dan penyelidikan serta produk yang dihasilkan di universiti ini kepada delegasi yang hadir.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, kerjasama strategik dengan SIASUN ini merupakan satu langkah utama ke arah memanfaatkan teknologi dalam bidang robotik, inovasi dan automasi yang dapat dimanfaatkan UMP. 

“Jalinan kerjasama ini juga membincangkan mengenai potensi kolabrasi bersama rakan industri UMP iaitu Sapura Industrial dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya. 

Turut dibincangkan perancangan dalam membangunkan teaching factory di UMP hasil kerjasama antara Sapura Industrial dengan bantuan pihak SIASUN.

SIASUN menyediakan produk dan perkhidmatan pintar berkaitan robotik, ia merupakan organisasi terbesar pembangunan robotik di China dan yang ketiga terbesar di dunia. 


Jalinan Kerjasama

Hubungan erat MTUN–Industri lahirkan pakar teknikal

BIL. 57 DIS 2019

Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) digesa untuk terus bekerjasama dengan industri bagi memastikan penyelidikan yang dihasilkan membantu menangani permasalahan berkaitan industri.
 
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTA), Profesor Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin, kerjasama universiti terutamanya MTUN dengan industri perlu diperhebat bagi menggalakkan pihak industri menjalankan kajian penyelidikan menggunakan kepakaran dan peralatan di universiti seperti yang dilaksanakan di negara-negara maju.
 
“Di negara membangun seperti Korea, Taiwan dan Jerman kebanyakan industri menggunakan kepakaran dalaman universiti. 

BIL. 57 DIS 2019

“Sebagai contoh, industri teknologi telefon pintar Nokia, Huawei, Samsung, Oppo dan lain-lain,” katanya yang mengharapkan kerjasama erat universiti-industri ini dapat dilaksanakan agar setiap penyelidikan dapat dimanfaatkan semua pihak.
 
Selain itu katanya, fokus pendidikan negara kini ialah kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan universiti juga berhadapan dengan cabaran yang lebih besar akibat daripada ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).  

Beliau berbangga dengan usaha pertama UMP bagi mengadaptasi cabaran ini dengan pelaksanaan Kilang Pengajaran (Teaching Factory) bercirikan IR4.0.

Profesor Dr. Mohd Cairul Iqbal hadir merasmikan Persidangan Malaysian Technical Universities Conference on Engineering Technology (MUCET) yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah dalam penganjuran kali ke-11 yang berlangsung di Bukit Gambang Resort Kuantan pada 20 November 2019 yang lalu.  

Dengan bertemakan ‘Communitising Technology in the Context of Industrial Revolution 4.0’ Persidangan MUCET kali ini melibatkan penyertaan lebih 300 pelajar, pemain industri dan para akademia daripada UMP, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

BIL. 57 DIS 2019

Turut hadir ahli Lembaga Pengarah UMP, Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd. Yunus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Majlis turut dihadiri Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UTHM, Profesor Dr. Mohd. Amri Lajis, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi  UTeM, Profesor Ir. Dr. Marizan Sulaiman dan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Dr. Shuhaida Yahud.
 
Pembentang ucaptama terdiri daripada Profesor Seeram Ramakrishna daripada National University of Singapore (NUS), Profesor Adjung Zulkifli Abd. Rani, Techno Diverge Link Sdn. Bhd. dan Mohd Parid Sulaiman, Pengarah Program Malaysia Design Center of Intel Corp.  
 
Turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman antara Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli mewakili UMP dengan Pengarah BI Technologies Sdn. Bhd, Podzi Mahmud, Chief Chemical Engineer Sime Darby, Mohammad Saiful Nidzam Ismail dan Pengarah Supercat International Sdn. Bhd., Mohd Dzulqarbain Ahmad Suh.
 
Bagi kerjasama dengan pihak BI Technologies Sdn. Bhd. pula melibatkan kerjasama UMP menerusi kajian Profesor Ahmad Razlan Yusoff berkaitan penyelidikan ‘Improvement of Energy in Production Lines, Heating Vetilation and Air Condition (HVAC) Integration Systems At Electronics Company’  menerusi geran MTUN bernilai RM52,150.
 
Manakala sebanyak RM 100,000 merupakan geran pemadanan MTUN bagi kajian penyelidikan pensyarah UMP, Profesor Madya Dr. Saiful Nizam Tajuddin bagi projek ‘The Development of Odor Sensor To Monitor The Soybean Extraction Plant For Odor Mitigation Project’ dengan pihak  Sime Darby Plantation Research Sdn. Bhd. dalam mencari kaedah penyelesaian mengesan bau kesan akibat akitiviti kilang soya yang mengganggu komuniti setempat di Thailand.
 
Selain itu dengan pihak Supercat International Sdn. Bhd. pula melibatkan Mohd Najib Razali geran MTUN berjumlah RM50,000 bagi kajian 'Catfood Formulation From Local Aquaculture Source' bagi menjalankan kajian pengunaan minyak kelapa dara dalam makanan haiwan peliharaan termasuk makanan kucing. 


Aktiviti Pelajar

Mahasiswa UMP matang memilih pemimpin

BIL. 57 DIS 2019

Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini lebih matang dalam memilih pemimpin perwakilan mereka dan satu perubahan landskap politik kampus dapat dilihat apabila jentera pentadbiran Pilihan Raya Kampus (PRK) diurus sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri pada kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pemilihan Pelajar (MPP) sesi 2019/2020 UMP, Mohamed Al-Fateh Ab Razak berkata, pihaknya menarik nafas lega apabila PRK UMP berjalan lancar di kedua-dua kampus UMP Gambang dan Pekan pada 28 November 2019 yang lalu. 

“Alhamdulillah, proses pengundian dapat dijalankan dengan baik walaupun hujan tidak menghalang mahasiswa untuk turun mengundi seawal jam 9.00 pagi sehingga jam 5.00 petang. Jumlah peratusan yang turun mengundi adalah sebanyak 52.69 peratus,” ujarnya.

BIL. 57 DIS 2019

Dalam pada itu, sebanyak 42 kerusi dipertandingkan pada kali ini dengan 14 kerusi umum dan 28 adalah kerusi fakulti. 

Sembilan calon diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas tiada persaingan bagi merebut kerusi MPP itu.

Selain itu, sesi pemilihan masih menggunakan e-Voting seperti mana yang telah digunakan oleh UMP sejak beberapa tahun dahulu yang sememangnya memudahkan proses pengundian dengan mendapatkan keputusan yang segera.

Pemenang bagi kerusi Fakulti Pengurusan Industri ialah Muhammad Zufli Zuhari dan Nur Zarith Halisa Mohamad Sofi. 

Bagi Fakulti Sains dan Teknologi Industri pula dimenangi oleh Wan Nur Ardini Che Wan Shamsul Akhbar dan Nur Shafiqah Zakaria, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses pula dimenangi oleh Ee Hui En dan Mohd Haziq Hamid Khan. 

Manakala Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif pula dimenangi oleh Muhammad Azhar Jamal dan  Muhammad Nazhif Mohd Azan.

Bagi tiga fakulti ini pula telah menang tanpa bertanding iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang dimenangi oleh Muhammad Othman Maliki, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam dimenangi oleh Nuraisyah Fikryah Muhamod dan Fakulti Komputeran dimenangi oleh Mohamad Khaiyum Ahmad Ishak dan Aishah Umairah Sutrisno Karsono Sadiam.

Bagi Jabatan Kejuruteraan Elektrik telah dimenangi oleh Lim Sin Yin dan Hafizul Fahim Moh Roffi.  

BIL. 57 DIS 2019

Jabatan Kejuruteraan Industri pula dimenangi oleh Muhammad Hisyamuddin Abdul Aziz dan Muhammad Arif Hakim Mohd Hanafi serta Jabatan Kejuruteraan Kimia dimenangi oleh Low Chen Ping dan Nurhidayah Norhazan

Dua Jabatan Kejuruteraan yang menang tanpa bertanding iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam dimenangi oleh Khong Sheh Ching dan Yee Jia Ju serta Jabatan Kejuruteraan Mekanikal pula dimenangi oleh Muhammad Muadz Khairul Rizan.

Bagi 14 kerusi umum telah dimenangi oleh Muhammad Syahiruddin Mohd Sabri, Ahmad Rifqi  Mohd Jerome Rinjes, Mohd Asraf  Andman, Mohd Fitri Zulkaffli, Che Muhammad Harith Ab Halim, Nurul Ishafira Ismail, Nik Athirah Nik Mahdi, Nur Amira Shafiqa Ismail, Mohamad Irfan Zainuddin, Nur Shazwanie  Zainurin, Amir Zuhaili  Abdul Karim, Nur Ain Natasya Azman, Muhammad Nur Aqmal Nazri dan  Anis Nabilla Ahmad. 

Hadir semasa pengumuman keputusan PRK UMP adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Dekan Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Dr. Ahmad Johari Mohammad.

Pada masa yang sama, Profesor  Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin  mengucapkan tahniah kepada kejayaan pelaksanaan pilihan raya ini yang dianggap manifestasi ke arah penubuhan kesatuan mahasiswa. 

Beliau mengharapkan mahasiswa akan terus mengembangkan potensi dalam bidang kepimpinan dan mentadbir urus dalam hal  ehwal pelajar  ke arah penubuhan kesatuan mahasiswa di universiti ini. 

“Mahasiswa juga bersikap lebih matang dan profesional dalam menangani isu-isu kemahasiswaan.

"Sebagai pemimpin, mereka perlu hormat-menghormati serta menerapkan nilai-nilai murni dan dan kasih sayang antara mahasiswa juga menjadikan JHEPA sebagai strategic partner dalam usaha memperkasakan mahasiswa selain membantu menambah baik perkhidmatan dalam universiti,” katanya.  


Info Sekitar Kampus

Kemahiran Penulisan Kreatif boleh dibina

BIL. 57 DIS 2019

Generasi muda hari ini digalakkan mencipta kehebatan dengan mengambil peluang meneroka ilmu dan meningkatkan keupayaan diri agar mampu bersaing pada masa depan.

Tidak mempunyai pendedahan tentang sastera dan hanya berlatar belakangkan bidang Teknologi dan Kejuruteraan mahupun Sains, bukan halangan buat mahasiswa melahirkan idea kreatif malahan gabungan sastera dan teknikal mampu memberi kefahaman yang jelas dan mendidik masyarakat menerusi inovasi baharu selain menghasilkan output yang lebih menarik.

Menurut pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang juga Timbalan Pengarah Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Ghazali, golongan mahasiswa mampu menjadikan bidang penulisan kreatif ini suatu kerjaya masa depan yang boleh menjana pendapatan sampingan.

BIL. 57 DIS 2019

“Dengan menulis mampu menjadikan mahasiswa mempunyai nilai tambah dalam kepelbagaian kemahiran insaniah yang menuntut mahasiswa berbeza berbanding dengan mahasiswa lain. 

“Kepelbagaian kemahiran ini boleh diteroka menerusi aktiviti penulisan atau lisan termasuklah pengucapan awam atau pengacaraan.

“Kecemerlangan akademik sahaja bukan ukuran kejayaan dalam menggapai kerjaya yang diinginkan memandangkan universiti melahirkan graduan puluhan ribu setahun,” katanya. 

Justeru, katanya, inovasi dan kreativiti adalah harta yang sangat bernilai yang boleh dimiliki mahasiswa hari ini.

“Kebanyakan penulis bermula dengan idea kecil dan mereka menulis pada peringkat awal mungkin secara suka-suka dari catatan kecil diari, telefon bimbit malahan dalam media sosial,” katanya semasa menyampaikan ceramah 'Penulisan dan Kerjaya: Meremajakan Idea Untuk Remaja' bersempena 'Wacana Kesusasteraan Remaja dan Karyawan Di Universiti' di UMP Kampus Gambang pada 26 November 2019 yang lalu. 

Tampil sama sebagai penceramah adalah pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Arbaie Sujud yang berkongsi tentang kedudukan bahasa dalam sastera yang mempunyai nilai estetika dan aspek keindahan bahasa itu sendiri termasuk pemikiran dan teknik. 

BIL. 57 DIS 2019

Beliau juga menasihatkan agar mahasiswa untuk mengikuti latihan penulisan untuk mengasah bakat masing-masing. 
 
Dalam wacana ini Pegawai Penerbitan Kanan, Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri bertindak sebagai moderator. 

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Penerbit UMP dan Pusat Bahasa Moden (PBM) ini dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Akademik) Pusat Bahasa Moden, Abdullah Adnan Mohamed yang turut dihadiri ahli guru bahasa, PBM, Juwairiah Osman selaku ahli Jawatan kuasa Induk Program ‘Sasterawan/ Karyawan di Unversiti’.  


Akademik dan Antarabangsa

Kepentingan Analisis Data dalam Perniagaan

BIL. 57 DIS 2019

Oleh: NUR SA'ADATUL AFZAN JUSOH, BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT

Keperluan menganalis data dalam perniagaan mampu meningkatkan nilai perniagaan dan keuntungan sesebuah syarikat pada masa depan. 

Malahan dalam dunia digital hari ini, aspek keselamatan perlu menjadi keutamaan di samping kepentingan inovasi digital untuk sesebuah organisasi bersaing secara sihat.

Menurut Penganalisis Data, Business Intelligent Insights di Malaysia Airlines Berhad (MAS) Parjit Singh Ranjeet Singh, analisis data juga digunakan untuk pembangunan sumber manusia dan sebagai contoh dari segi pembahagian kerja serta mengikut kesesuaian kemahiran staf.

Beliau yang merupakan panel jemputan dalam program MBA Business Forum 4 berkongsi pengalaman dalam aplikasi data, antaranya mempelbagaikan trend penerbangan selain dapat mengenal pasti segmen pelanggan MAS.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, VULSANX, Dr. Prakash Christiansen, berpendapat data atas talian mendedahkan pengguna kepada lebih risiko. 

“Maklumat tentang diri pada privasi mudah bocor dan kebiasaannya mudah didapati untuk kegunaan organisasi tertentu. Semakin canggih sistem dan teknologi juga mendedahkan privasi data kepada bahaya.

“Orang ramai jangan mudah terpedaya dengan perkataan tertentu, misalannya ayat ‘percuma’. Contohnya, muat turun percuma dan aplikasi percuma. 

“Pada era masa kini, kita sepatutnya tidak teragak-agak untuk membayar lebih demi untuk keselamatan,” tambahnya dalam program anjuran Fakulti Pengurusan Industri (FIM) dengan tajuk ‘Harnessing Data Analytics: What's Next’ yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan pada 30 November 2019 yang lalu. 

Dalam pada itu, Ketua Strategi dan Penyelidikan, Strategi Korporat, Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC),  Raja Segaran S. Narayanasamy turut berkongsi peranan MDEC dalam pelaksanaan program #eRezeki, #eUsahawan dan pelbagai program lain yang banyak menggunakan analisis data.

Bagi Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Fazeeda Mohammad pula, MBA Business Forum adalah merupakan acara tahunan yang dikendalikan oleh FIM sejak tahun 2016. 

“Pada kali ini, forum berlangsung secara kelas global (live) melibatkan tiga institusi dari India iaitu DJ Academy For Managerial Excellence dan GRG School of Management Studies dari Combaitore India dan Periyar University Salem, Tamil Naidu India. 

“Selain menggalakkan perkongsian idea, program seumpama ini menggalakkan kolaborasi dan jaringan rangkaian industri, fakulti dan universiti. 

“Ia bertujuan melahirkan pengurus yang kompeten selain mempelajari aspek pentadbiran dan praktikal yang dapat membantu pemikiran secara holistik dan global,” ujar beliau. 

Manakala menurut Pengarah Program, Dr. Suhaidah Hussain, melalui forum ini, perkongsian dari pakar-pakar dalam industri dapat mengintegrasikan teori, keadaan sebenar (real-world practice) dan pengalaman peribadi peserta. 

“Dalam meraikan era digital, program MBA diharapkan mampu melahirkan bakal ketua atau ketua yang dapat menangani masalah yang kompleks secara sistematik dan kreatif dalam dunia perniagaan yang mencabar.

“Pada masa kini, analisis data telah digunakan oleh kebanyakan syarikat di Malaysia,” katanya. 

Peserta forum, Mohd. Izzat Shafie@Mohd Alias yang merupakan siswawah UMP yang sedang mengikuti pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan mengharapkan lebih banyak penganjuran program seumpama ini agar dapat memberi manfaat bukan sahaja warga kampus malahan komuniti setempat dari industri yang berbeza dalam menghadapi cabaran revolusi Industri 4.0. 

“Forum ini merupakan satu program yang sangat berinformasi dari panel berpengalaman dalam berkongsi kaedah analsisis data bagi membantu perancangan atau penambahbaikan yang perlu diambil untuk meningkatkan prestasi organisasi.

“Turut ditekankan ialah aspek keselamatan data yang kurang diberi perhatian oleh segelintir pihak yang mana boleh memberi kesan buruk kepada pengguna atau pelanggan,” katanya. 


Aktiviti Pelajar

Mustaf mahasiswa antarabangsa fasih berbahasa Melayu

BIL. 57 DIS 2019

Oleh: JUWAIRIAH OSMAN, PUSAT BAHASA MODEN

Melihat perwatakannya yang bersahaja tiada siapa menyangka Mustaf Mohamed, 23, mahasiswa antarabangsa berbangsa Somali dan memiliki kerakyatan United Kingdom ini minat dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

“Saya juga gemar berkawan dengan rakan-rakan dari Malaysia dan apabila bermain bola sepak bersama memberikan saya peluang untuk mengingati lebih banyak bahasa dan lebih rapat dengan mereka,” ujarnya yang minat bersukan pada waktu petang.

Malahan beliau yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia bergiat aktif dalam aktiviti pengucapan awam juga berpidato. 

Lebih memberikan semangat buatnya mendalami bahasa Melayu adalah hasil kejayaan abangnya, Maahad Mohamed yang baharu sahaja menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan pernah memenangi Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri beberapa tahun lalu.

BIL. 57 DIS 2019

Bakatnya dalam berpidato berjaya mencuri tumpuan Guru Bahasa Melayu di Pusat Bahasa Moden, UMP iaitu Juwairiah Osman. 

Percaya dengan bakat dan kesungguhannya, Mustaf telah diberi pendedahan dan dilatih bersama ahli Kelab Orator UMP seperti  Mohd Khairil Redza, Ahmad Syahmi Aiman Adnan, Nurayuni Norli, Aslyana Rahman dan Amirul Amin sehingga berjaya menguasai bahasa Melayu dengan sangat baik.

Menurut Juwairiah, Mustaf bertuah apabila terpilih mewakili UMP dalam Pertandingan PABM baru-baru ini. 

Turut sama dicalonkan bagi kategori antarabangsa adalah Ali Khatib Juma dari Tanzania dan Maliha Tahsin dari Bangladesh.

Mustaf telah menyampaikan pidato bertajuk 'Pelarian dan Imigran Menjana Kebangkitan Ekonomi' yang berkongsi kisah keluarganya yang merupakan imigran dari Somali yang telah berhijrah ke United Kingdom. 

Berdepan suasana sukar pada awalnya bukan halangan buat ibu bapanya berjaya dalam kerjaya dan membuka perniagaan di negara tersebut.  

Lebih membanggakan, Mustaf berjaya berada di tangga ketujuh daripada 35 penyertaan bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) 2019 baru-baru ini yang berlangsung di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Perak. 

BIL. 57 DIS 2019

PABM telah diadakan sejak 2006 lagi anjuran Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Majlis Debat Universiti (MADUM) bagi memartabatkan dan mengantarabangsakan  bahasa Melayu ke persada dunia.  

Pengalaman menyertai pertandingan ini pastinya memberikan kenangan terindah buatnya. 

Selain dapat berkenalan dengan pelajar daripada universiti lain, peserta juga berkesempatan mengenali budaya Melayu di Perkampungan Melayu, Kampung Misa dan destinasi pelancongan dan pelbagai tempat kebudayaan Melayu di negeri Perak.  

“Saya akan tulis dalam bahasa Inggeris dan meminta bantuan guru bahasa atau kawan-kawan lain untuk diterjemah ke dalam Bahasa Melayu. 

“Dengan menghafal, mengingati dan menggunakan ayat dalam perbualan lama-kelamaan ia akan menjadi suatu kebiasaan,” ujar Mustaf yang berkongsi tips mudah menguasai bahasa. 

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih atas bantuan guru bahasa, pensyarah dan mahasiswa lain yang banyak memberi sokongan buatnya dan mahasiswa antarabangsa yang lain dalam menikmati pengalaman kampus yang menyeronokkan di universiti ini.  


Penyelidikan dan Inovasi

Ts. Mohd. Najib penyelidik usahawan hasilkan produk rawatan sisa air berminyak

BIL. 57 DIS 2019

Menyedari isu pembuangan sisa air berminyak yang tidak terkawal dan isu-isu pencemaran air yang menjejaskan alam sekitar memberi inspirasi buat pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Ts. Mohd Najib Razali untuk menjalankan penyelidikan rawatan sisa air berminyak.

Beliau berjaya menghasilkan produk MNRg-Treat berformulasi berteknologi hijau yang mampu digunakan pihak industri dalam merawat sisa air yang berminyak.
 
Lebih menarik, kajian sejak tahun 2012 ini mendapati MNRg-Treat merupakan produk yang selamat untuk digunakan berbanding produk lain yang berada di pasaran kerana menggunakan bahan-bahan formulasi semula jadi sebagai bahan utama dalam produk. 

Menurut Ts. Mohd Najib, formulasi penghasilan produk ini telah siap dan dalam proses penambahbaikan produk dari segi ciri-ciri fizikal, kimia dan pengesahaan sijil-sijil pengiktirafan yang berkaitan.
 
“Produk ini berfungsi sebagai agen untuk merawat sisa air yang berminyak. Dengan menggunakan konsep ‘pemecah dan menggumpal minyak’ daripada air sisa berminyak, ia hanya perlu diletakkan pada sisa air yang berminyak dengan kadar dos yang telah ditetapkan. 

“Ia diikuti dengan proses ‘mengacau’ dan ‘penganginan’ perlu dilakukan untuk MNRg-Treat bertindak balas dengan sisa air tersebut. 

“Proses penapisan minyak boleh dilakukan selepas minyak dan air terpisah,” katanya yang ditemui di pejabatnya, MNR Multitech Sdn. Bhd. di UMP Kampus Gambang.
 
Beliau mengharapkan agar penghasilan produk ini dapat menyelesaikan isu pencemaran sisa-sisa air berminyak yang dikeluarkan daripada kilang-kilang dan industri agar melepasi piawaian garis standard Jabatan Alam Sekitar  Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. 

Selain itu, pihaknya juga turut menyediakan perkhidmatan perundingan dan uji kaji sampel air di makmal dan juga di lapangan. 

Usaha ini juga dilihat sebagai merealisasikan hasrat UMP dalam memasyarakatkan teknologi dan menghasilkan penyelidikan yang dapat memanfaatkan masyarakat dan industri di negara ini.

Beliau bersyukur apabila mendapat sokongan daripada pihak universiti dan menerima geran termasuklah geran MyRA Incentive Fund (Lab2Market) UIC161003 – Bio-Coagulant and Smart System for Sustainable Water Treatment dan juga geran TERAJU iaitu Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang bernilai RM500,000 sebagai menyokong idea perniagaan.
 
Baru-baru ini juga, Ts. Mohd Najib turut menempa kejayaan apabila berjaya memenangi Anugerah Pengkomersialan Malaysia (MYC) 2019 bagi kategori Anugerah Usahawan Penyelidik dengan membawa pulang hadiah berbentuk geran dan tunai bernilai RM100,000. 

Beliau juga pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Industri dan Masyarakat (AKIM) 2019 bagi Kategori Anugerah Kualiti Kerjasama Industri (Kategori Staf  Akademik)  bersempena Hari Kualiti dan Inovasi UMP.
 
Perancangan pada masa depan, beliau yang juga merupakan alumni UMP berhasrat menjadi pembekal utama yang menyediakan perkhidmatan analisis rawatan air ke seluruh Malaysia. 

MNRg-Treat ini boleh membantu pihak industri bagi menyelesaikan masalah pembuangan berkala bagi sisa-sisa buangan dengan menurunkan kadar parameter mengikut piawaian Department of Environment (DOE). 

Dengan harga 1 liter RM35 dan 25 liter RM750, produk MNRg-Treat yang mula dikomersialkan oleh syarikat Start-up MNR Multitech Sdn. Bhd. bakal menembusi pasaran masa depan dengan mengadakan promosi di pameran dalam dan luar negara. 
 
Produk ini diiktiraf antarabangsa apabila memenangi pingat dalam Seoul International Invention Fair (SIIF) 2017, International Invention Show, Croatia 2013 (INOVA 2013), Innovation and New Product Exposition, United State of America (USA) (INPEX 2013), International Conference and Exposition on Inventions by Institutions of Higher Learning (PECIPTA 2017), Water Malaysia 2013 dan Global Agri Tech Summit 2019.  
 
Info Penyelidik
Makumat Penyelidik : Ts. Mohd Najib bin Razali
Negeri Kelahiran : Johor Darul Takzim
Pendidikan : M. Eng. (Chemical Engineering), UMP, B. Eng. (Chemical    Engineering), UMP
Bidang Kepakaran : Kejuruteraan Alam Sekitar, Teknologi Kitar Semula, Rawatan Sisa Air Buangan


Akademik dan Antarabangsa

Empower Edu-Tour galak 117 murid Orang Asli minat Sains dan Matematik

BIL. 57 DIS 2019

Keceriaan jelas terserlah pada wajah 117 murid Orang Asli daripada empat buah sekolah rendah sekitar Pekan dan Bera apabila menyertai Program Empower Edu-Tour di Perpustakaan Awam, Kuantan Pahang pada 20 November 2019 yang lalu. 

Mereka merupakan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gemuruh, SK Iskandar, SK Bukit Rok dan SK Permatang Keledang.

Program ini merupakan salah satu inisiatif program pembangunan modal insan anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan kerjasama UMP Advanced Education (UMPA) dalam memberi inspirasi kepada murid-murid untuk minat membaca.

BIL. 57 DIS 2019

Menurut Pemangku Pengurus Besar, Jabatan Sosioekonomi dan Projek Khas UMPA, Shamsulkahar Abdul Shukor, ia juga dapat memberi galakan kepada murid-murid untuk lebih kreatif dan meminati pembelajaran dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Melalui pendekatan ini juga akan lebih menarik minat mereka untuk suka membaca dan mengetahui perpustakaan adalah gedung ilmu. Pelbagai pendedahan dan pengalaman baru yang dirasai oleh murid-murid ini sepanjang mengikuti lawatan ini,” katanya.  

Hadir sama Pro-Pendaftar UMP, Abd. Rahman Haji Safie.

Menurut salah seorang murid SK Kampung Bukit Gemuruh,Bera, Nurul Ain Mohd Sam, 11, berkata, beliau sememangnya minat membaca buku.

“Perpustakaan ini menyediakan banyak buku dan persekitarannya juga menarik,” katanya. 

BIL. 57 DIS 2019

“Saya tidak sabar untuk menceritakan keseronokan di sini kepada kedua ibu bapa. Saya berharap akan datang lagi ke sini bersama keluarga,” katanya. 

Manakala rakannya Azief Farhan A/L Hamdi, 11, pula sangat teruja apabila buat pertama kali dapat mengunjungi Pertosains dan Perpustakaan Awam Pahang. 

“Di sini saya berpeluang mempelajari membuat ‘slime’ dengan bahan yang selamat digunakan.

“Walaupun saya tidak dapat berkunjung ke Petrosains di Kuala Lumpur namun saya tidak terkilan kerana di Petrosains di Perpustakaan Awam Pahang juga saya dapat terokai pelbagai aktiviti interaktif yang menarik. 

“Terima kasih ECER dan UMP dengan penganjuran program ini,” katanya.

Penganjuran Program Empower ECER Latihan Akademik ini juga dapat merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat luar bandar dengan masyarakat bandar melalui peningkatan prestasi akademik para pelajar dan kemahiran vokasional para peserta.