Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

UMP sumbang 10,000 sarung tangan kepada hospital di Hebei University, China

VOL. 69 MAR 2020

Oleh: FATIN ZAHIRAH MANSUR, JABATAN HAL EHWAL AKADEMIK DAN ANTARABANGSA

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyumbang 10,000 pasang sarung tangan perubatan kepada sebuah hospital di Hebei University, China, disebabkan penularan coronavirus (Covid-19).

Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff menyerahkan sarung tangan tersebut kepada Profesor Dr. Guo Fuliang, Pengarah Confucius Institute (CI) UMP.

Majlis penyerahan tersebut berlaku di Confucius Institute, UMP Pekan pada 11 Mac 2020 yang lalu. 

Hebei University ialah rakan strategik UMP dalam kerjasama bersama Institut Confucius Institute UMP.

Malaysia ialah pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, UMP mengambil inisiatif untuk menghantar sarung tangan perubatan kepada sebuah hospital di Hebei University memandangkan China sekarang berhadapan dengan kekurangan bekalan perubatan.

“UMP berhasrat untuk membantu China dalam membendung Covid-19.

“Kami doakan semoga Covid-19 akan menjadi terkawal di China dan semua negara yang terlibat akan bebas daripada virus tersebut,” uajr beliau. 


Info Sekitar Kampus

UMP Laksana Dasar ‘Bekerja Dari Rumah’

BIL. 70 MAC 2020

Oleh: NUR SA'ADATUL AFZAN JUSOH, UNIT PERHUBUNGAN AWAM, PEJABAT NAIB CANSELOR

Akur terhadap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lanjutan negara berdepan dengan penularan jangkitan wabak Covid-19 telah memberikan suatu pengalaman luar biasa buat warga kerja Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang melaksanakan dasar ‘Bekerja Dari Rumah’ sejak 18 Mac 2020 yang lalu. 

Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Rozaimi Abu Samah berkata, melihat daripada suatu sudut terhadap pelaksanaan bekerja dari rumah ini memberi lebih fleksibiliti buat pekerja. 

“Masa untuk bersedia ke tempat kerja dapat dijimatkan.

“Sebagai contoh, perjalanan saya ke tempat kerja mengambil masa dalam 30 minit sehala. Persiapan pakaian juga hanya perlu disesuaikan jika ada urusan berkaitan panggilan video. 

“Namun, pada pendapat saya cabaran utama kebanyakan pekerja adalah sikap disiplin untuk terus kekal dalam mod bersedia untuk berurusan dengan pihak lain.

“Cabaran ini boleh mengganggu produktiviti dan kualiti kerja sekiranya tidak diurus dengan baik,” katanya.

Tambah beliau lagi, pada masa yang sama, kekurangan kemudahan peralatan pejabat mungkin mengganggu momentum melakukan kerja terutamanya komputer dan gangguan kemudahan Internet yang gagal berfungsi dengan baik.

“Bagi staf akademik pula, cabaran utama adalah berkaitan penilaian pengajaran. Pensyarah perlu kreatif mendapatkan kaedah yang paling sesuai untuk menilai pelajar secara dalam talian dan tanpa perlu kehadiran secara fizikal seperti ujian bertulis yang boleh dilakukan di dalam dewan kuliah.

BIL. 70 MAC 2020

“Selain itu, sesi pengajaran dan pembelajaran juga boleh mengalami gangguan memandangkan terdapat sesetengah kemudahan yang mudah dicapai dari dalam kawasan UMP sendiri berbanding di luar kampus. 

“Namun, ia bukan halangan buat pensyarah menggunakan kemahiran dan teknologi dalam memastikan pembelajaran dan pengajaran dapat diteruskan dengan cara terbaik. 

“Terutamanya melibatkan urusan kerja berkaitan pengajaran dan pembelajaran, kemudahan Internet untuk para pelajar juga perlu diberi keutamaan,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Program (Pengurusan Projek) Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Dr. Nurhaizan Mohd Zainudin, menyambut baik pelaksanaan bekerja dari rumah ini sebagai usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Walau bagaimanapun, Dr. Nurhaizan memberitahu konsentrasi dan produktiviti adalah penting sepanjang pelaksanaan ini. 

“Ketika fasa bekerja dari rumah ini, kemungkinan untuk informasi sulit dan persendirian bocor adalah lebih tinggi. Oleh yang demikian, kesedaran mengenai etika bekerja dari rumah perlu dipertingkatkan,” katanya. 

BIL. 70 MAC 2020

Manakala menurut Penolong Pendaftar, Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Pendaftar, Nor Fadzillah Zulkipli, bekerja dari rumah untuk tempoh yang panjang seperti ini merupakan perkara baharu buatnya.  

Walaupun berada di rumah, beliau masih boleh menyiapkan tugasan yang diberi oleh ketua tanpa tekanan dan persekitaran juga adalah lebih kondusif.

“Namun, situasi berdepan dengan gangguan terutamanya melibatkan anak tatkala berada di rumah juga suatu cabaran. Ia dapat diatasi sekiranya mendapat bantuan serta kerjasama pasangan atau ahli keluarga lain.

“Dalam memastikan tugasan dapat dilaksanakan dengan baik, kemudahan rangkaian jalur lebar khas untuk tugasan yang memerlukan staf mengakses sistem adalah sangat membantu terutamanya di sesetengah lokasi kediaman yang tidak mendapat liputan rangkaian jalur lebar yang mencukupi,” katanya. 

Ketua Program (Sarjana Pentadbiran Perniagaan), Dr. Suhaidah Hussain turut berkongsi pengalaman menjalankan kelas secara atas talian sebelum pelajar memulakan cuti semester baru-baru ini. 

“Kaedah ini sangat membantu pensyarah dan pelajar untuk meneruskan pembelajaran secara maya. 

“Di samping itu, bagi kelas tutorial, forum di antara pelajar dan pensyarah juga dapat dijalankan dengan menggunakan platform KALAM,” uajr beliau. 

Semua pegawai perkhidmatan awam diarah bekerja dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa 18 Mac sehingga dilanjutkan kepada tarikh baharu, 14 April 2020 di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. 

Arahan tersebut turut terpakai untuk sektor swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, minyak, gas, bahan api, dan sebagainya.  


Info Sekitar Kampus

‘Ibu dan ayah’ buat mahasiswa di Kolej Kediaman

BIL. 70 MAC 2020

Selain pengorbanan petugas kesihatan dan keselamatan yang bertugas di barisan hadapan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tatkala negara memerangi penularan wabak Covid-19, peranan pengetua dan felo Kolej Kediaman juga penting dalam memastikan keselamatan dan kesihatan warga kampus berada di tahap terbaik.

Menurut Pengetua Kolej Kediaman 3, Rosjuliana Hidayu Rosli, beliau menganggap tugasnya adalah amanah yang dipertanggungjawabkan agar sentiasa memastikan mahasiswa dapat menjalani kehidupan di dalam kampus ketika perintah kawalan pergerakan yang sedang dilaksanakan dengan keadaan baik dan terkawal.

“Sepanjang PKP ini, para pengetua kolej kediaman perlu sentiasa mengemas kini maklumat untuk disampaikan buat pelajar dalam memastikan semua arahan dipatuhi termasuklah yang penting pada masa ini, iaitu set kebersihan diri sebagai keperluan kepada mahasiswa.

“Selain itu juga, penyediaan makanan akan sentiasa dipastikan bersih dan mendapat bekalan makanan yang mencukupi. 

“Agihan makanan sentiasa dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan dan pengagihan makanan diselaraskan di kolej kediaman masing-masing bagi mengurangkan pergerakan mahasiswa,” katanya.

Jelas beliau lagi, pada masa yang sama, pengurusan universiti turut menyediakan peruntukan kecemasan bagi membantu  membekalkan kit keperluan kepada pelajar yang memerlukan. 

“Mulai dari hari pertama tempoh kawalan pergerakan, pengetua dan felo telah bersiap sedia menggalas tanggungjawab dalam memastikan mahasiswa tenang dan mengikuti prosedur yang ditetapkan.

“Pihaknya juga menggunakan media sosial dan aplikasi mesej segera seperti WhatsApp sebagai medium komunikasi bersama mahasiswa dan segala informasi dikongsikan di situ. 

“Ini termasuklah mereka dari negeri Sabah yang menginap di luar kampus dan tinggal keseorangan turut dibantu agar mereka boleh tinggal di dalam kampus. 

“Saya menganggap mereka ini seperti puteri-puteri saya kerana mereka merupakan amanah ayah dan ibu mereka. 

“Setiap malam rondaan akan dibuat di kolej kediaman demi memastikan keselamatan mereka.  Saya dapat lihat mereka yang berada di kolej boleh senyum, reda dan sabar dalam situasi ini,” ujarnya. 

Beliau bersyukur mempunyai pasukan felo dan pembantu felo yang mempunyai sinergi yang baik dalam pembahagian tugas dan pelaksanaan tugas dengan itu masa bersama keluarga dan kerjaya dapat dibahagikan dengan baik.

Manakala bagi  Pengetua Kolej Kediaman 4, Nasrul Salim Pakheri pula berkata, hampir 80 pelajar lelaki yang tinggal di KK4 berada dalam keadaan yang tenang. 

Ujarnya, setiap hari dilaksanakan  saringan kesihatan  dengan memeriksa suhu badan kepada semua pelajar semasa mengambil makanan. 

“Langkah ini bagi membendung penularan wabak dan memastikan kesihatan pelajar setiap hari. 

“Selain mahasiswa di dalam kampus,  pihaknya juga akan mengambil perhatian terhadap kebajikan mereka yang tinggal di luar kampus terutamanya dalam memastikan penyediaan makanan kepada mereka.

“Mahasiswa tidak perlu risau dengan keperluan harian mereka kerana di dalam kampus terdapat kedai untuk mereka mendapatkan keperluan harian mengikut masa operasi yang ditetapkan,” katanya. 

Namun jelas beliau lagi, sekiranya keperluan tersebut tiada atau kehabisan di kedai tersebut, pengetua atau felo akan membantu untuk membelikan keperluan sekiranya mendesak.

Beliau juga kerap menasihati mahasiswa agar cakna terhadap kesihatan dan kebersihan diri selain menggunakan masa yang ada ini dengan mengulang kaji pelajaran dan menggunakan masa dengan membuat perkara yang berfaedah.

Pada masa ini, terdapat seramai 1,005 mahasiswa menerima bantuan makanan percuma yang diagihkan dan ini termasuklah manfaat keperluan sampingan di UMP Campus Pantry sepanjang tempoh PKP yang berlanjutan sehingga 14 April depan. 

Mahasiswa juga boleh mendapatkan khidmat bimbingan kaunseling secara atas talian atau menghubungi kaunselor yang dipilih menggunakan perkhidmatan e-Kaunseling UMP dalam e-Community. 


Info Sekitar Kampus

Mahasiswa UMP tenang di kampus

BIL. 70 MAC 2020

Keselamatan dan kesihatan seramai hampir 1,000 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang tinggal di kedua-dua kampus sama ada di dalam mahupun di luar kampus sentiasa menjadi keutamaan pihak universiti. 

Dengan kemudahan kafeteria dan kedai runcit yang beroperasi mulai jam 7 pagi hingga 7 malam serta kemudahan Internet di dalam kampus pastinya melegakan pelajar yang kini sedang mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, dalam tempoh PKP ini, pihak universiti menyediakan makanan percuma buat pelajar.

“Selain itu, makanan kering turut diagihkan daripada UMP Campus Pantry mahupun sumbangan daripada pihak luar. 

“Mereka juga dibekalkan keperluan asas seperti sabun dan syampu untuk kebersihan diri.

“Pada masa pematuhan pengawalan pengerakan ini tidak membenarkan pelajar berkumpul dan mereka kerap diingatkan untuk sentiasa mengawasi jarak sosial termasuklah ketika mengambil makanan. 

Di kampus, mereka bebas menjalankan aktiviti masing-masing dan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) turut menganjurkan program bersifat online dengan menggunakan komputer seperti pertandingan video pendek dan sukan e-Sports,” katanya.

Beliau mengharapkan para ibu bapa dan keluarga tidak perlu bimbang keadaan anak mereka selagi mereka berada di dalam kampus. 

“Pihak universiti sentiasa memastikan pelajar mematuhi peraturan dan garis panduan serta mengikut piawaian yang ditentukan semasa berurusan di UMP.

“Pelajar yang mempunyai gejala tidak sihat boleh ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) yang beroperasi setiap hari dan pihak keselamatan berkawal  24 jam dalam memastikan keselamatan dan pergerakan keluar masuk pelajar.  

“Selain itu, bangunan kolej kediaman dicuci setiap hari bagi memastikan kebersihan berada pada tahap terbaik,” katanya. 

Tambah beliau, pihaknya menghargai sumbangan yang diterima daripada pihak luar termasuklah daripada ahli parlimen Paya Besar Yang Berhormat Mohd. Shahar Abdullah, Yayasan Sabah, NGO, Food Hunger dan Fakulti Teknolgi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) UMP yang menyumbang makanan pagi, tengah hari dan malam buat pelajar termasuk yang berada di luar kampus.

“Bagi memastikan kawalan keselamatan dan kesihatan warga kampus, para penyumbang dan pelajar luar kampus yang menyewa di luar hanya dibenarkan berurusan di hadapan pondok pengawal UMP selain mengawal jarak sosial sebagai mematuhi arahan PKP dalam kampus,” katanya. 

Bagi mahasiswa Fakulti Komputeran, Aishah Umairah Sutrisno Karsono Sadiam yang berasal dari Kampar, Perak, pada awalnya dirinya cemas memandangkan tidak pernah berdepan dengan situasi sebegini. 

Kerisauan terhadap penularan wabak  Covid-19 ini menyebabkan beliau membuat keputusan untuk tinggal di kampus sahaja walaupun kebanyakan pelajar lain bercuti semester di kampung.

Katanya, masanya banyak dimanfaatkan dengan membaca buku, mengemas bilik ataupun mengasah bakat dalam bidang seni. 

“Setakat ini segala kemudahan mencukupi dan para pelajar yang tinggal di kampus tiada masalah dengan kemudahan yang disediakan kerana kafeteria dan PKU masih lagi dibuka seperti biasa,” katanya.   

Manakala bagi Mohd Asraf Andman, 23 pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Kolej Kejuruteraan yang berasal dari Sabah berkata, pelajar selamat dan tenang tinggal di kampus. 

“Tiada kerisauan tentang makanan kerana mereka terutamanya pelajar Sabah menerima bantuan oleh kerajaan negeri Sabah melalui Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur. 

“Pihak UMP juga ada memberi membantu pelajar dengan agihan Food Kit sebagai makanan sampingan.

“Selain membuat ulang kaji, banyak masanya digunakan melayari Internet dan mengakses permainan online (Games),” ujarnya. 

Beliau sendiri akan memastikan amalan jarak selamat (social distancing), kerap membasuh tangan dan guna face mask untuk mengelakkan jangkitan wabak Covid-19. 

Pelajar perlu menjaga kesihatan diri dan memperbanyakkan minum air mineral atau air masak pada ketika cuaca panas seperti sekarang ini.

Begitu juga dengan Mohammad Nur Syukri Mohammad Zandri, 22, mahasiswa Jabatan Kejuruteraan Elektrik yang juga berasal dari negeri Sabah berkata, pada mulanya beliau berasa cemas tentang PKP ini disebabkan ada rakan-rakannya yang telah kembali ke kampung untuk bercuti semester. 

Namun memikirkan tentang risiko untuk balik pada waktu ini menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk tinggal di dalam kampus.

“Antara aktiviti yang dapat saya lakukan adalah membaca buku, menonton filem dan paling utama dapat tidur yang cukup dan menikmati kemudahan yang diberikan,” ujarnya yang bersyukur kerana menerima bantuan daripada kerajaan negeri Sabah dan UMP sendiri.

Pesanan beliau buat ibu bapanya yang berada di rumah agar mereka tidak perlu risau kerana UMP masih lagi selamat dan makanan masih cukup.

Mohammad Nur Syukri turut menasihatkan pelajar UMP yang berada di mana sahaja agar menjaga kesihatan dan kebersihan serta melakukan perkara yang berfaedah pada masa ini.


Artikel/Rencana Pilihan

Beza antara alkohol dan arak   

BIL. 70 MAC 2020

Oleh: Dr. Tuan Sidek Tuan Muda
e-Mel: sidek@ump.edu.my

BIL. 70 MAC 2020

Dalam suasana seluruh dunia termasuk negara kita dilanda wabak Coronovirus 19 (Covid-19), hand sanitizer digunakan secara meluas oleh ahli masyarakat di pelbagai tempat khususnya di tempat-tempat tumpuan orang ramai. Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masjid-masjid juga disarankan untuk menyediakan hand sanitizer untuk kegunaan ahli jemaah. Walau bagaimanapun, masih timbul kebimbangan dalam kalangan sebahagian orang Islam tentang penggunaan hand sanitizer kerana turut mengandungi alkohol sehingga ada pihak yang memperkenalkan hand sanitizer ‘halal’ yang bebas alkohol.

Kebimbangan ini boleh diatasi sekiranya masyarakat Islam faham perbezaan antara hukum arak dan hukum alkohol. Pengharaman arak adalah jelas. Ia berdalilkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah al-Maaidah: 90). 

Nabi Muhammad SAW pula bersabda yang bermaksud: “Setiap yang memabukkan adalah haram.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah dan lain-lain).  Terdapat juga hadis lain yang bermaksud: “Setiap yang memabukkan adalah haram sama ada banyak mahupun sedikit." (Riwayat al-Nasa’i). Ulama telah membuat kajian berkaitan ‘illah (punca atau sebab) hukum pengharaman arak dan dapatan mereka adalah kerana sifat arak yang memabukkan. Oleh itu, berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadis yang telah disebutkan dan juga qiyas (penetapan hukum secara perbandingan kerana terdapat persamaan), setiap yang memabukkan termasuk di dalam kategori arak dan haram untuk diminum atau digunakan dalam makanan.

Ulama terdahulu dengan kepakaran ilmu sains yang mereka miliki atau dengan bantuan kepakaran ahli sains pada zaman tersebut juga telah mencari punca yang menyebabkan orang yang meminum arak menjadi mabuk. Hasilnya, mereka dapati terdapat kandungan alkohol yang terdapat di dalam arak. Walau bagaimanapun, alkohol itu bukanlah 'illah (punca atau sebab) kepada pengharaman arak, sebaliknya sifat memabukkan yang menjadikan haram. Di samping itu, jumhur ulama termasuk Imam Syafi’i dan mazhab beliau yang menjadi pegangan masyarakat Malaysia berpendapat arak adalah najis. Arak adalah najis tetapi tidak semestinya alkohol juga najis.

Alkohol adalah satu kata nama induk yang merangkumi pelbagai jenis alkohol seperti metanol, etanol, propanol, sorbitol dan lain-lain. Secara lebih khusus, jenis alkohol yang terdapat di dalam arak ialah etanol atau dikenali juga dengan nama etil alkohol. Ia terhasil daripada proses fermentasi (penapaian) menggunakan glukosa dari sumber karbohidrat seperti jagung, barli dan dan pelbagai bijirin dan buah-buahan yang boleh membawa kepada mabuk. Walau bagaimanapun, etanol tidak hanya ada di dalam minuman yang memabukkan. Ia juga terdapat dalam pelbagai makanan dan minuman yang telah melalui proses penapaian seperti tempe, kicap, tempoyak, tapai dan lain-lain. Cuma kadar peratusannya rendah dan tidak membawa kepada memabukkan. Selain itu, etanol juga boleh dihasilkan secara sintetik melalui makmal. Walau bagaimanapun, suatu yang perlu difahami oleh masyarakat ialah etanol bukanlah arak tetapi setiap yang memabukkan mengandungi etanol.

Dari sudut hukum fikah, etanol bukanlah najis kecuali jika diambil daripada arak. Sekiranya, etanol diperoleh daripada sumber lain seperti daripada proses fermentasi yang dibuat semata-mata untuk penghasilan etanol bagi kegunaan industri atau terhasil melalui kaedah sintetik, ia suci tetapi tidak boleh diminum kerana boleh memudaratkan.

Terdapat beberapa pandangan hukum yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan berkaitan hukum penggunaan alkohol. Antaranya ialah keputusan Muzakarah pada tahun 2011 yang menetapkan: “Alkohol yang diperoleh bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh”, “Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahan, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum” dan “Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.”

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, sebagaimana yang penulis faham melalui pembacaan dan pelbagai perkongsian, alkohol yang digunakan dalam pelbagai industri perubatan dan barangan kegunaan seperti hand sanitizer, minyak wangi dan lain-lain tidak diperoleh daripada arak. Justeru, ia tidak najis dan boleh digunakan. Walau bagaimanapun, sekiranya ada pihak yang ingin memperkenalkan barangan kegunaan penjagaan kesihatan seperti hand sanitizer dan lain-lain yang diperakukan halal oleh pihak berkuasa, fokus bukan pada penghasilan barangan yang bebas alkohol tetapi kepada sumber alkohol yang digunakan, proses penghasilan dan penyimpanan barangan yang bebas daripada dicemari najis dan keselamatan barangan untuk kegunaan orang ramai.
 
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).


Artikel/Rencana Pilihan

Israk Mikraj dan Kepentingan Mengenali al-Aqsa

BIL. 70 MAC 2020

Oleh: Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham
e-Mel: irfan@ump.edu.my

BIL. 70 MAC 2020

Rejab merupakan bulan yang sinonim dengan peristiwa Israk dan Mikraj. Perjalanan malam Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, sebelum dinaikkan ke langit, dirakamkan dalam al-Quran dan hadis. 

Terdapat hikmah mengapa Nabi Muhammad SAW singgah ke al-Aqsa terlebih dahulu sebelum dinaikkan ke langit. Walaupun secara logik akal, adalah lebih mudah dan dekat sekiranya Nabi Muhammad SAW terus diangkat ke langit dari Makkah. Tetapi ditakdirkan baginda diperjalankan ke Palestin terlebih dahulu, walaupun ketika itu wilayah tersebut dikuasai oleh kerajaan Rom Timur dengan nama Aelia Capitolina. 

Terdapat beberapa nama lain yang sinonim dengan wilayah Masjidil al-Aqsa. Semasa zaman Nabi, diriwayatkan dalam hadis bahawa Nabi pernah memanggil wilayah tersebut sebagai Baitulmaqdis dan Iliya’. Pada zaman sekarang, wilayah tersebut dikenali sebagai Palestin, al-Quds, Jerusalem dan lain-lain. 

Semasa Nabi diisrakkan ke Baitulmaqdis, tapak Masjidil Aqsa sebenarnya kosong tanpa bangunan. Bangunan masjid telah dirobohkan oleh Raja Titus kerajaan Rom Timur pada tahun 70 M sebelum dijadikan kawasan sampah.

Bagaimana Nabi solat di situ, termasuk dalam perkara ghaib yang wajib diimani, sama seperti status bumi Palestin sebagai bumi Mahsyar seperti yang disebut dalam hadis. 

BIL. 70 MAC 2020

BIL. 70 MAC 2020

Ramai ulamak tafsir berpandangan bahawa itulah kesan kerosakan besar-besaran kedua ke atas orang Yahudi di Palestin, merujuk kepada ayat 4-7 dalam surah al-Isra’, sehingga orang Yahudi hidup merempat di seluruh dunia atau apa yang dikenali sebagai diaspora. 

Selain itu, semasa Saidina Umar bin al-Khattab membuka Baitulmaqdis pada tahun 637, lima tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, antara tindakan pertama yang beliau lakukan ialah membina bangunan Masjidil Aqsa di tapaknya yang kosong. 

Al-Tabari meriwayatkan, semasa Saidina Umar bin al-Khattab masuk ke tapak al-Aqsa, beliau bertanya kepada Ka’ab al-Ahbar, bekas pendeta Yahudi yang memeluk agama Islam mengenai tapak di mana perlu dibina bangunan Masjidil Al-Aqsa. Asalnya, Ka’ab mencadangkan di tapak Dome of The Rock, kerana di situlah tapak paling suci dalam agama Yahudi. Tetapi akhirnya beliau memutuskan untuk membina bangunan untuk solat di bahagian paling selatan, kerana ia menghadap ke arah yang hampir ke arah kiblat. Saidina Umar bin al-Khattab turut membersihkan sampah sarap yang bertimbun di kawasan berkenaan sepanjang pemerintahan Rom (The History of al-Tabari, 11:194-195).

Masjidil Aqsa merupakan satu kawasan kompleks berpagar dengan keluasan sekitar 35 ekar. Ia dikenali sebagai al-Haram al-Sharif dalam kalangan orang tempatan, walaupun hakikatnya ia bukanlah salah satu Tanah Haram dalam agama Islam. Menurut kajian Dr. Haitham al-Ratrout, pelan kompleks Masjidil Aqsa adalah sama dengan pelan Kaabah. 

Dalam kompleks pagar Masjidil Aqsa ini, terdapat banyak masjid-masjid kecil yang lain. Yang paling utama ialah masjid yang menempatkan ruang legar utama untuk solat, dikenali sebagai al-Masjid al-Qibliy. Masjid dengan kubah perak gelap ini sering dikatakan sebagai Masjidil Aqsa yang sebenar, sedangkan ia merupakan salah satu daripada keseluruhan Masjidil Aqsa. 

Bangunan al-Aqsa yang lain termasuklah Masjid Qubbah al-Sakhrah, atau lebih dikenali sebagai Dome of The Rock. Masjid ini dibina oleh Abdul Malik bin Marwan. Kubah masjid berwarna emas, menjadi tarikan dari kejauhan untuk orang yang bermusafir ke Palestin sejak berzaman. Di dalam masjid itu terdapat satu gua kecil. Batu di atas gua itulah dikatakan tempat Nabi Mikraj ke langit. Tiada batu yang terapung, melainkan bibir gua sahaja yang boleh dilihat dengan jelas dalam masjid ini. Masjid Dome of the Rock ini juga adalah sebahagian daripada Masjidil Aqsa. Tapak inilah yang paling diinginkan oleh Yahudi kerana mereka percaya itulah tapak paling suci untuk mereka dirikan Temple Ketiga mereka. 

Selain itu terdapat juga Masjid Lama al-Aqsa, Masjid Marwan dan Masjid Buraq yang terletak di ruang bawah tanah. Di sebelah Masjid Buraq itulah letaknya Tembok Ratapan, tempat orang Yahudi meratap kerana menangisi kehancuran temple mereka yang terdahulu. 

Di sekitar kawasan lapang al-Aqsa, terdapat banyak lagi binaan dan monumen lain, seperti mihrab, minbar, kubah, muzium, sekolah, dan lain-lain. Semuanya dibina oleh pemerintah Islam dari satu khilafah ke khilafah yang lain, sebagai tanda kesan pemerintahan mereka, selain berfungsi sebagai satu kenyataan identiti Islam dan Arab di Masjidil al-Aqsa. 

Pada tahun ini, sekali lagi sambutan Israk Mikraj di Palestin diraikan ketika masjid suci ketiga umat Islam ini masih lagi berada di bawah penjajahan Israel. Selain itu, ancaman Covid-19 juga melanda wilayah berkenaan. Sehingga tarikh artikel ini disiarkan, hampir 500 penduduk telah disahkan positif Covid-19. Pihak pengurusan Masjidil Aqsa telah menutup keseluruhan masjid yang berbumbung atau tertutup dalam bangunan bagi mengawal penularan wabak ini. Solat berjemaah masih diteruskan di kawasan dataran di belakang Masjid Qibliy dan sof juga dijarakkan. 

Semoga Allah SWT memelihara Masjid al-Aqsa ini sehingga membolehkan kita solat di sana selepas dimerdekakan semula di bawah panji Islam. 

Penulis adalah Ketua Program Sains Kemanusiaan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang


BIL. 70 MAC 2020

BIL. 70 MAC 2020

BIL. 70 MAC 2020