Skip to main content
HEADER CREATE

Info Sekitar Kampus

Menteri KPT tinjau kesiapsiagaan UMP tangani penularan Covid-19

BIL. 77 APR 2020

Oleh: MOHD. FERDAUS MUSA, PEJABAT NAIB CANSELOR 

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad berkunjung ke kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 10 April 2020 yang lalu bagi meninjau kesiapsiagaan UMP menangani ancaman penularan wabak penyakit Covid-19 yang melanda negara ketika ini. 

Turut sama menyertai kunjungan tersebut adalah Timbalan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, YB Tuan Mohd Shahar Abdullah.

Ketibaan Dato’ Dr. Noraini disambut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff diiringi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Fitri  Zulkafli di UMP Kampus Gambang.

BIL. 77 APR 2020

Dalam pertemuan ini, Dato’ Dr. Noraini dan delegasi berpeluang mengadakan perbincangan dan mendengar taklimat situasi semasa universiti menangani penularan wabak Covid-19 serta laporan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di kampus. 

Beliau turut menyampaikan sumbangan topeng muka dan sumbangan pihak Kementerian Pengajian Tinggi berjumlah RM3,000 kepada UMP.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, pihak UMP mengalu-alukan kehadiran Dato’ Dr. Noraini ke universiti tatkala negara berdepan dengan situasi PKP ini. 

BIL. 77 APR 2020

“Pihaknya menyambut baik usaha pihak kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membantu universiti terutamanya dalam menanggung sepenuhnya perbelanjaan penyediaan makanan pelajar di kampus.

“UMP sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kebajikan membabitkan seramai 1,260 orang pelajar. 

“Ini termasuklah pengurusan makanan, minuman, kemudahan kesihatan dan keperluan harian pelajar yang turut melibatkan para pelajar yang tinggal di luar kampus,” katanya.

“Pihak UMP turut menghargai sumbangan pihak luar  terutamanya dalam memastikan bekalan makanan, minuman dan keperluan harian mencukupi,” katanya. 

Selain itu, kemudahan UMP Campus Pantry yang dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) turut berjaya mengumpulkan keperluan asas dan makanan kering hasil sumbangan program Food Bank Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga pihak luar. 

BIL. 77 APR 2020

Ini termasuklah sumbangan perseorangan untuk kegunaan pelajar UMP di dalam kampus.

Pada kunjungan ini juga, Dato’ Dr. Noraini turut melawat Kolej Kediaman Pelajar dan berkesempatan melihat pengurusan pengagihan makanan untuk makan malam kepada pelajar yang dilaksanakan secara bersistematik dan mengikut prosedur keselamatan. 

Para pelajar perlu mengimbas kod yang disediakan bagi tujuan perekodan data, mencuci tangan dengan pensanitasi tangan yang disediakan dan berada pada jarak sosial yang ditetapkan.

Dalam pertemuan dengan pelajar, Dato’ Dr. Noraini meminta agar para pelajar bersabar dan kekal berada di kampus atas nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil kira bahawa pergerakan pelajar secara beramai-ramai sekiranya pulang ke kampung akan membawa risiko penularan semula Covid-19 yang kini telah mula menunjukkan tanda-tanda pengurangan. 

“Justeru, kerajaan memutuskan agar pelajar terus kekal berada di lokasi masing-masing sehingga arahan terbaharu dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya. 
 
Beliau yakin para pelajar turut memahami bahawa kerajaan sedang berhadapan dengan saat getir dalam menangani ancaman global ini. 

Kerajaan juga menghargai pengorbanan dan solidariti yang telah ditunjukkan para pelajar untuk bersama-sama memerangi wabak ini. 

Jelas beliau lagi, apa yang diperlukan pada ketika ini ialah sedikit kesabaran untuk terus bertahan berada di dalam kampus sehingga usaha memutuskan rantaian COVID-19 ini berjaya dilaksanakan.
 
Dalam pada itu, Dato’ Dr. Noraini turut memuji dan berterima kasih kepada semua petugas dan barisan hadapan UMP dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar yang berada di kampus terpelihara tanpa mengabaikan aspek keselamatan serta kesihatan sepanjang PKP ini dikuatkuasakan.


Artikel/Rencana Pilihan

Hibrah Covid-19 ubah cara bekerja

BIL. 77 APR 2020

Oleh: MOHD. RAIZALHILMY MOHD.
e-mel: hilmy@ump.edu.my

BIL. 77 APR 2020

Ungkapan ‘Apa khabar semua?’ sentiasa menjadi ungkapan awal yang diucap oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum memulakan Perutusan Khas Perdana Menteri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Nada seperti seorang bapa yang sedang memberi nasihat amat disenangi oleh rakyat Malaysia sehingga merasakan diri selamat walaupun negara sedang dilanda musibah. Rakyat Malaysia sentiasa menanti perutusan khas ini bagi mengetahui perkembangan semasa dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dalam menghadapi dan menangani wabak Covid-19 yang melanda negara kita. Kini tempoh PKP telah dilanjutkan sehingga 28 April 2020.
 
Menyedari bahawa negara sedang dilanda musibah, apa jua yang mungkin berlaku selepas ini hakikatnya kehidupan dan cara hidup kita mungkin berubah. Kita akan menjalani kehidupan dengan the new normal atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tidak boleh dibuat sebagaimana biasa ketika sebelum PKP dilaksanakan. Ia termasuk perubahan dalam cara kita bekerja dan sememangnya organisasi perlu melakukan perubahan.

BIL. 77 APR 2020

Organisasi dan warganya memerlukan perubahan bagi membolehkannya untuk terus membangun dan berkembang. Kegagalan melakukan atau bertindak terhadap perubahan akan menyebabkan organisasi tidak maju dan seterusnya akan gagal. Kita perlu sentiasa bersedia untuk melakukan perubahan dan yang paling utama memastikan perubahan yang dilaksanakan menjurus kepada pencapaian matlamat organisasi. Penyesuaian perlu dilakukan agar perubahan cara kerja yang dilakukan mampu memenuhi tuntutan semasa dan masa depan organisasi.
 
Di awal tempoh PKP, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengarahkan pegawai awam bekerja dari rumah bagi mengekang penularan wabak Covid-19 namun ketua jabatan boleh menentukan perkhidmatan penting di kementerian atau jabatan masing-masing dan mengarahkan pegawai terlibat hadir bertugas di pejabat dengan jumlah yang minimum. Setelah lebih sebulan PKP ini kebanyakan dari penjawat awam khususnya berubah cara kerjanya iaitu bekerja dari rumah atau lebih dikenali dengan istilah Work from Home (WfH).

BIL. 77 APR 2020

WfH sekarang diistilahkan sebagai watershed iaitu satu perubahan besar dalam pemikiran dan tindakan manusia pada hari ini. Idea ini adalah idea yang tercetus seiring dengan perkembangan revolusi perindustrian 4.0 di mana teknologi digunakan sebaik mungkin dalam berkomunikasi. Organisasi harus menumpukan bahawa konsep kerja dari rumah ini adalah sebahagian daripada proses pengurusan perubahan. Pengurusan perubahan adalah suatu disiplin yang membimbing bagaimana kita menyediakan, melengkapkan dan menyokong individu untuk berjaya menerima perubahan untuk memacu kejayaan dan hasil organisasi.
 
Walaupun begitu, perkara ini masih baharu di Malaysia kerana terikat dengan perintah-perintah am dan arahan pentadbiran. Malahan ada yang menganggap bahawa bekerja dari rumah ini masih bersifat kepada mereka yang berorientasikan perniagaan. Contohnya, syarikat saham di Amerika Syarikat, pekerja pengurusan saham (pembida) bekerja dari rumah tetapi mereka turut dibekalkan dengan teknologi komunikasi dari syarikat. Namun, dalam konteks moden pelbagai jenis profesion telah dilakukan di rumah dan memperoleh pendapatan lumayan termasuklah telemarketer, pereka grafik, penulis, pemain e-Dagang, editor dan sebagainya.

BIL. 77 APR 2020

Berdasarkan model perubahan Kurt Lewin iaitu seorang pakar psikologi sosial, beliau telah membangunkan satu model asas untuk melakukan perubahan kerja secara terancang. Beliau melihat gelagat dalam organisasi adalah hasil daripada dua bentuk tekanan iaitu mempertahankan status quo dan tekanan untuk melakukan perubahan. Kurt Lewin membangunkan model perubahan yang melibatkan tiga langkah iaitu melepaskan di mana proses ini akan memastikan bekerja bersedia untuk berubah manakala langkah seterusnya iaitu mengubah akan melihat kepada pelaksanaan perubahan organisasi ke arah yang lebih baik dan seterusnya langkah menyegarkan semula adalah untuk memastikan pekerja bersedia untuk berubah.
 
Bekerja dari rumah misalannya memberi pekerja lebih proaktif dalam satu-satu tindakan kerana ruang waktu diberikan bagi menyusun kerja termasuk melaksana mesyuarat secara dalam talian, menyediakan laporan dan kertas kerja dan sebagainya. Malahan, pendekatan ini juga membuka ruang pekerja bekerja 24 jam sehari kerana boleh berinteraksi dengan apa-apa keperluan organisasi pada bila-bila masa diperlukan. Namun begitu, persediaan dari segi mental, keupayaan dan sumber menjadi daya penentu dalam mempermudahkan pelaksanaan kerja di rumah.
 
Penjimatan ruang dan tenaga di pusat operasi atau pejabat juga adalah antara kesan langsung dalam menyumbang kepada penjimatan kos operasi yang amat besar. Pekerja akan berada di pusat operasi ketika mana melibatkan konsultansi dengan pihak luar. Penggunaan media sosial atau medium dalam talian seperti e-Conference, e-Meeting adalah salah satu langkah dalam penjimatan operasi pentadbiran. Pelbagai medium dalam talian yang mudah diperolehi seperti Google Meet, Skype, Webex, dan sebagainya.
 
Mengambil contoh syarikat konsultansi perhubungan awam di Kanada, pekerja hanya bekerja dari rumah dan berkonsultansi dengan pelanggan dari rumah sahaja. Perkara ini dilihat positif kerana bukan sahaja memudahkan perhubungan tetapi keselamatan pekerja juga boleh ditingkatkan. Ancaman Covid-19 memerlukan kepada komitmen masyarakat untuk mengekalkan penjarakan sosial bagi mengurangkan jangkitan. Oleh kerana Covid-19 yang bermula di Wuhan, China kini tersebar di seluruh dunia dan sukar dikawal, pelbagai sektor telah mula melaksanakan konsep kerja dari rumah ini demi memastikan perniagaan terus beroperasi seperti biasa. Pendekatan yang sama juga berlaku dalam sektor pendidikan di mana pembelajaran secara dalam talian dilihat sebagai penyelesaian ketika berdepan krisis kesihatan yang menyaksikan kampus ditutup bagi mencegah sebarang risiko.
 
Dalam pada itu, Harvard Business School turut menggariskan lima peraturan bekerja dari rumah. Antara perkara yang dinyatakan sepanjang WfH adalah fokus kepada hasil kerja berbanding aktiviti dalam menghasilkan kerja tersebut. Ia akan mewujudkan kepercayaan antara majikan dan pekerja. Selain itu, produktiviti kerja harus diukur dalam jangka waktu yang panjang seterusnya menyokong kepada suasana kebiasaan baharu. Di samping itu, aspek kesejahteraan dan kebajikan keluarga dan rakan-rakan perlu diberi tumpuan dalam menangani krisis ini secara bersama. Setiap pekerja juga perlu diberi peluang dan ruang masa yang lebih fleksibel agar mereka dapat menyeimbangkan antara komitmen kerja dan keluarga. Namun, ianya perlu selari dengan kehendak kehidupan agar wujud masa rehat yang mencukupi di samping mengubahsuai kehidupan profesional baharu melalui WfH.
 
Menyedari perkara ini, perubahan cara bekerja ini bukanlah merupakan satu kerja yang mudah tetapi kemampuan dan kebolehan yang ada pada pemimpin organisasi membolehkan perubahan dilakukan secara lebih berkesan. Apa yang lebih utama adalah kepentingan negara dan organisasi perlu diseimbangkan agar semua pihak dapat menerima perubahan ini secara terbuka dan mengetahui kebaikan terhadap perubahan yang dilakukan. Kita seharusnya menyediakan diri untuk menghadapi dan menangani perubahan ini dalam suasana mengekang penularan virus ini di samping masih mewujudkan daya saing dan lebih berkebolehan untuk bersaing.
 
Penulis adalah Pengurus, Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat merangkap Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas, Universiti Malaysia Pahang (UMP). 


Artikel/Rencana Pilihan 

Kesan gelombang haba terhadap kualiti udara

BIL. 77 APR 2020

Oleh: NURUL NADRAH NADRAH AQILAH TUKIMAT
e-mel: nadrah@ump.edu.my

BIL. 77 APR 2020

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh dunia termasuk Malaysia disebabkan oleh virus Covid-19 secara tidak langsung memberi kesan yang baik kepada iklim global. Kadar pencemaran udara dan pembebasan gas rumah hijau dapat dikurangkan kerana aktiviti-aktiviti manusia seperti pergerakan kenderaan, aktiviti pembinaan dan perindustrian yang merupakan penyumbang karbon dioksida kedua tertinggi di Malaysia, iaitu pada tahap 23 peratus adalah pada tahap minimum.

Merujuk kepada laporan Indeks Pencemaran Udara (IPU), kualiti udara di seluruh Malaysia adalah di bawah tahap sederhana (bacaan bawah 60) manakala beberapa tempat adalah di tahap yang baik (bacaan bawah 50) seperti Paka (Terengganu), Kuantan (Pahang), Tanjung Malim (Perak), Kangar (Perlis), Alor Setar (Kedah) dan beberapa kawasan di Johor, Sabah dan Sarawak. Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga melaporkan secara purata 2 peratus kadar penurunan bacaan IPU di seluruh Malaysia merupakan suatu petanda yang sangat baik kepada perkembangan tahap pencemaran. 

Penurunan kadar pembebasan gas rumah hijau dalam tempoh PKP ini memberi ruang kepada sistem iklim untuk bersikulasi dengan lebih baik dan membaik pulih tahap pencemaran sedia ada.

Walau bagaimanapun, kualiti udara masih memerlukan pemantauan dan pengawasan yang lebih kerana Malaysia akan memasuki fasa Monsun Barat Daya atau musim kering (Mei hingga September). Ketika monsun barat daya, pergerakan angin lebih perlahan (15 knot) dan kebiasaannya menerima kuantiti hujan di bawah 150mm/bulan. Ini terbukti apabila beberapa titik panas (gelombang haba tahap 1) telah dikenal pasti di beberapa buah negeri di Malaysia seperti di Kelantan (Pasir Mas, Machang, Kuala Krai), Terengganu (Kuala Terengganu) dan Negeri Sembilan (Jempol) yang memerlukan pemantauan dan pengawasan yang lebih serius.

Suhu panas, kering dan tidak berangin memudahkan penumpuan partikel bersaiz 2.5 (PM2.5) akibat dari pembakaran terbuka yang membawa kepada masalah jerebu. Walaupun kehadiran gas rumah hijau dapat dikawal, namun kehadiran partikel halus ini di ruang udara memberikan impak yang sama dengan impak akibat dari perubahan iklim. kerjasama daripada  orang awam adalah sangat diperlukan untuk memastikan kualiti udara sentiasa dalam keadaan yang baik untuk manfaat bersama. Kita jaga persekitaran untuk kita. 

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang  (UMP). 


BIL. 77 APR 2020