Skip to main content

Galak Mahasiswa Ceburi Bidang Keusahawanan

Pekan, 17 Julai - Mahasiswa yang masih lagi melanjutkan pengajian digalakkan menceburi bidang keusahawanan bagi melengkapkan diri dengan nilai tambah yang lain. Kerjaya itu dianggap sebagai satu bidang yang patut diceburi oleh mahasiswa walaupun tidak mempunyai kepakaran yang menyeluruh dalam usaha mengelakkan pengangguran.

Bagi Muhammad Haziq Mohamad Nordin, 23, yang juga pelajar jurusan Ijazah Kejuruteraan Mekatronik dari Fakulti Kejuruteraan  Pembuatan,  mahasiswa perlu diberi pendedahan awal  dalam sistem pembelajaran secara tidak formal bagi membolehkan mahasiswa mengenal dan menceburi bidang ini. Untuk menjadi usahawan yang berjaya, bukan sahaja memerlukan keazaman yang tinggi malah tidak mengenal putus asa.

“Seorang usahawan itu bukan hanya bergantung kepada kejayaan yang diperolehi melalui keuntungan akan tetapi dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat dan negara," katanya.

Menurutnya, beliau amat bertuah apabila pihak universiti banyak membantu dalam penganjuran program usahawan tidak kira peringkat universiti mahupun antarabangsa. Pihak universiti juga turut membantu dalam menyuntik dana dan modul bagi penganjuran program. Ini antara platform terbaik bagi mahasiwa untuk belajar menjadi usahawan yang berjaya. 

Beliau turut berkongsi pengalaman manis dalam mengetuai Program Usahawan Unggul di Yogyakarta, Indonesia yang mana 2 buah universiti bergabung  dalam membina jaringan bersama bagi melahirkan program-program yang berimpak tinggi kepada masyarakat dan pelajar.

Tidak terhenti di Indonesia, program Entrepreneur Transformation turut diadakan di Vietnam. Hasilnya, mahasiswa bukan sahaja dapat mengenal budaya masyarakat setempat malah turut diberi pendedahan awal cara-cara untuk memulakan perniagaan sesuatu produk dari luar negara.

Pengalaman Haziq dalam program lain termasuk program International CEL UMP & UTY, Eksplorasi Halal, Hatyai, Thailand, Travel Business Management, Singapora dan program Cabaran Usahawan Millenium yang pastinya akan dijadikan panduan dan kenangan sepanjang hayatnya. Beliau juga berhasrat dapat menarik minat lebih ramai mahasiswa untuk menceburi bidang ini.

Anak pertama daripada tiga beradik ini turut bergiat aktif berniaga secara atas talian dengan menjual pakaian yang diambil terus dari Vietnam dan China.

Biodata :

Asal : Jerantut, Pahang

Tarikh Lahir : 06 Mac 1995

Adik Beradik : 3

Moto : `Logik akan membawa kita daripada A ke B akan tetapi imaginasi mampu membawa kita ke mana sahaja yang kita inginkan’.

Pencapaian dalam akademik & kokurikulum :

Majlis Anugerah Kokurikulum & Sanjungan Pelajar 2017 UMP

  •   Anugerah Keusahawanan Terbaik UMP

Presiden Kelab Keusahawanan UMP

Pengarah program Projek Usahawan Unggul, Yogyakarta, Indonesia

Pengarah program International CEL UMP & UTY

Eksplorasi Halal, Hatyai, Thailand

Pengarah program Travel Business Management, Singapura

Pengarah program Entrepreneur Transformation, Ho Chi Minh, Vietnam

Pengarah program Cabaran Usahawan Millenium

 

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim dari Bahagian Komunikasi Korporat