Skip to main content
Mahasiswa Sumbang Bakti Kesukarelawanan Khidmat Negara

Mahasiswa Sumbang Bakti Kesukarelawanan Khidmat Negara

Minat menceburi badan beruniform memberi peluang Leftenan Muda Mohammad Asyraaf Ilias,23 mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) yang sedang mengikuti pengajian jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) menimba pengalaman menyertai Program Gap Year Kesukarelawanan Khidmat Negara bersama pihak Tentera Laut Di Raja Malaysia selama setahun.

Menerusi program ini membolehkan Lt. Mohammad Asyraaf menyertai Pelayaran ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX), ASEAN International Fleet Review (IFR) di Sattahip, Thailand dan lawatan operasi dengan Kapal Latihan Gagah Samudera ke Ho Chi Minh, Vietnam

Program ini diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam melahirkan graduan holistik, seimbang dan dilaksanakan dalam jangka masa setahun untuk mahasiswa membuat refleksi penerokaan diri.

“Program ini direka bentuk dengan keistimewaan yang membenarkan mahasiswa memilih untuk menangguhkan pengajian selama setahun bagi menimba pengalaman dalam melaksanakan kerja sukarela yang direncanakan di agensi awam terpilih. Bagi program yang julung kalinya ini hanya saya seorang mahasiswa dari UMP yang terlibat daripada seluruh Universiti Awam (UA) dan swasta yang ada di Malaysia sebagai peserta Gap Year Kesukarelawan Khidmat Negara,” katanya.

Program yang ditawarkan oleh KPM ini terdapat dalam tiga bentuk iaitu Gap Year Kesukarelawan Khidmat Negara, Kesukarelawan dan Umum. Beliau yang mendapat pengiktirafan sebagai Leftenan Muda pada 12 Ogos 2017 yang lalu mengikuti kursus induksi Program Gap Year Khidmat Negara di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada  18 Sep 2017.  

Tambah beliau, bagi melibatkan diri sepenuh masa dalam program ini, mahasiswa  dibenarkan menangguhkan pengajian di universiti selama setahun iaitu dua semester. Selain itu mahasiswa perlu melibatkan diri dengan mana-mana badan kerajaan sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ataupun Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Bagi Mohammad Asyraaf, program ini sangat membantu mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran seperti praktikal, kemahiran berkomunikasi dan jati diri daripada pengalaman yang diperolehi sepanjang program dijalankan.  Malahan turut berkongsi aspirasi agar mahasiswa mengambil peluang ini dengan menyertai Program Gap Year sebagai membentuk diri menjadi mahasiswa yang lebih berketerampilan, berkepimpinan dan sentiasa berkeyakinan tinggi.

 

Disediakan oleh Norhidayah Mohamad dari Bahagian Komunikasi Korporat