Skip to main content

UMPSA edar bekas makanan percuma jayakan Kempen Inisiatif Kelestarian

PEKAN, 19 Mac 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengedarkan bekas makanan sebagai usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan warganya terhadap usaha menjaga alam sekitar bagi menjayakan Kempen Inisiatif Kelestarian seiring untuk merealisasikan hasrat universiti ke arah Kampus Lestari. 

Hadir mengagihkan bekas makanan secara percuma itu, Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), Dr. Suhaidah Hussain di Perkarangan Bazar Ramadan UMPSA Pekan.

Menurut Dr. Suhaidah, program ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak SDC bagi memupuk kesedaran kepada warga universiti supaya menghargai makanan dan menjayakan Kempen Jom Tapau Makanan sebagai menggalakkan warga kerja membawa bekas makanan sendiri ketika pembelian di bazar mahu pun di kedai dan kafeteria.

UMPSA edar bekas makanan percuma jayakan Kempen Inisiatif Kelestarian

 “Usaha ini sebagai tanda sokongan kempen hindari penggunaan plastik sekali guna dan salah satu cara untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di samping mengelakkan pembaziran,” katanya.  

Program itu mendapat sokongan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA. 

Hadir sama Pengurus Besar JHEPA, Haryani Abdullah.

Kempen Inisiatif Kelestarian telah dilancarkan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dengan lapan kempen inisiatif iaitu Hidrat: Minum Air Kosong dan Bawa Botol Air Sendiri, Jom Tapau: Bawa Bekas Sendiri, Hijaukan Alam Sekitar, Hari Kitar Semula UMPSA: Mengurangkan Pembaziran, Satu Langkah Pada Satu Masa dan Gaya Hidup Sihat: Pilih Kesejahteraan Setiap Hari. 

Manakala tiga lagi inisiaitif ialah Pengasingan Sisa Organik: Pengkomposan untuk Masa Depan Lebih Hijau, Go Hijau: Tukar Sisa Anda Menjadi Sumber Mampan, Kenderaan Bebas Karbon: Amalan Lestari di Jalan Raya.

Program serahan bekas percuma ini akan diteruskan pada 26 Mac 2024 di Bazar Ramadan UMPSA Kampus Gambang.

Usaha ini bakal memperkasakan budaya amalan lestari di universiti bagi melindungi alam sekitar dan menyumbang kepada pembangunan yang mampan. 

Mulakan langkah bijak anda hari ini! 

Disediakn Oleh Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri