Skip to main content

JJIM Rai Anak-Anak Tahfiz Madrasah Al-Quran Darul Mukhlasin

Kuantan, 5 Jun- Prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan bantuan, baru-baru ini Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (JJIM) menganjurkan Majlis Iftar bersama 49 anak-anak yang terdiri daripada fakir miskin,anak yatim dan anak Rohingya di Madrasah Darul Quran Al Mukhlasin yang terletak di Kg. Seri Mahkota, Batu 12, Kuantan.

Hadir dalam program Penolong Naib Canselor JJIM, Prof. Dr. Jamil Ismail yang menyampaikan sumbangan keperluan kepada Pengetua Madrasah, Ustaz Mohd Hasanuddin Ne’mat.

Menurut Prof. Dr. Jamil berkata, program ini merupakan program tahunan khidmat masyarakat yang dianjurkan bagi mengeratkan  hubungan serta beramah mesra  bersama komuniti setempat. Selain itu, ianya juga dapat merealisasikan agenda kesukarelawan dalam menjadikan universiti ini sebagai universiti komuniti.

“Lebih banyak program khidmat masyarakat yang kita akan anjurkan selari dengan fungsi dan peranan JJIM selaku penghubung di antara universiti dan komuniti. Program ini juga mendokong aspirasi universiti dalam inisiatif Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam menjayakan program MyGift UMP,” katanya.

Beliau mengharapkan sumbangan berupa barang keperluan asas dan duit raya ini dapat meringankan sedikit beban mereka di madrasah ini.

Sementara itu, Ustaz Mohd Hasanuddin melahirkan rasa syukur dengan sumbangan yang telah diberikan. Objektif penubuhan madrasah ini adalah untuk menjadikan pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain sebagai satu usaha berterusan untuk mendidik dan membentuk manusia selaras dengan kehendak Al-Quran dan As-Sunnah.

Beliau berharap akan lebih banyak lagi organisasi yang dapat menghulurkan sumbangan memandangkan madrasah ini baharu dibina dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Justeru, pihaknya membuka ruang kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan dalam bentuk kewangan atau barang atau pembangunan madrasah kepada madrasah ini bolehlah menghubungi beliau di talian  0148209300.