Skip to main content

Program empower Community Dekati Masyarakat Orang Asli Kampung Simpai

Pekan, 19 Jun – Program empower Community 2019 daerah Pekan yang dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Sekolah Kebangsaan Simpai baru-baru ini memberi semangat dan galakan buat pelajar luar bandar untuk terus mencapai kejayaan dalam pendidikan.

Program melibatkan lebih 50 peserta yang terdiri daripada 24 orang pelajar bersama keluarga masing-masing ini memberi peluang mereka mengikuti program motivasi sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Turut diadakan aktiviti dalam kumpulan menggunakan modul Q-Gen dan senamrobik beramai-ramai.

Pelancaran program dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pekan,  Norasda Wali Mohamad dengan dihadiri Pegawai ECER daerah Pekan, Nadiana Roseda Mohd Yusof. Turut sama hadir Pengurus Besar Sosio ekonomi  dan Projek Khas UMP Advanced, Zainal Bahari, Guru Besar SK Simpai, Abdul Malik Sulaiman serta wakil Jabatan Kebajikan Orang Asli (JKOA), Norul Hibriyah Hasnuddin.

Menurut Norasda, program kali ini lebih fokus dalam menyuntik kesedaran pelajar mengenai kebolehan masing – masing membentuk sikap untuk meningkatkan kepercayaan diri sendiri selain membentuk minda ibubapa tentang kebersihan kawasan persekitaran pembelajaran supaya lebih selesa dan selamat.

"Kita percaya tiada pelajar daripada komuniti orang Asli tersisih daripada menerima manfaat yang telah dirangka bagi mencapai potensi sebenar mereka melalui program-program yang holistik,” katanya.

Beliau percaya dengan kerjasama rapat semua agensi yang terlibat serta sokongan padu Kerajaan Negeri Pahang, inisiatif ini mampu mentransformasi lanskap pendidikan dan sosio-ekonomi dalam kalangan penerima manfaat ini dalam jangka masa panjang.  

Sementara itu Zainal berkata, program yang dijalankan pihak UMP Advanced bersama-sama ECERDC ini merupakan salah satu program di bawah Special Intervention Programme (SIP) dalam memberi pendedahkan kepada masyarakat orang asli terhadap elemen pendidikan, kesihatan, kebersihan, cabaran teknologi semasa dan pembangunan insan kepada komuniti serta mendekati masyarakat orang Asli.

Manakala ibu pelajar, Noratikah A/P Tumpel, 41, berkata sebagai ibu bapa pastinya mereka menghargai pihak ECERDC dan UMP dengan pelbagai usaha yang dilakukan bagi membantu masyarakat Orang Asli. Dengan komitmen yang diberikan beliau mengharapkan lebih ramai anak-anak berjaya dalam pembelajaran sehingga dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi setanding dengan masyarakat di bandar.

Disediakan oleh Mohammad Hakimi Kamarudin daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri