Skip to main content

Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) UMPSA hadiah manis buat Foo Xiao Bing

GAMBANG, 21 Oktober 2023 - Ternyata, segala keringat dan air mata yang tumpah sepanjang mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) akhirnya terbalas apabila Foo Xiao Bing, 24, dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Ke-18 (MKK-18) UMPSA.

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) itu menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Canselor UMPSA, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda The Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pada sesi pertama MKK-18 yang berlangsung pada 21 Oktober. 

Beliau yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.98 itu juga pernah merangkul Anugerah Dekan berturut-turut sepanjang pengajian ijazah sarjana mudanya di UMPSA.

Malah, semasa pengajian peringkat Diploma Kejuruteraan Kimia (Loji Proses) di UMPSA, Foo juga pernah meraih PNGK 3.92. 

Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) UMPSA hadiah manis buat Foo Xiao Bing

Namun, menurut anak kelahiran Johor Bahru itu yang berpegang tegar kepada prinsip  ‘berfikiran terbuka terhadap sebarang kritikan dan pendapat‘, kejayaanya pada hari ini adalah berkat dorongan kedua ibu bapanya.

Terharu pengiktirafan diberi, anak kepada pasangan Foo Tein Soon (bapa), 63 dan Tee Siew Eng (ibu), 59,  itu menyifatkan anugerah itu sebagai simbol pengorbanan yang dilakukannya selama ini.

Bapa Foo yang berkerja sebagai mekanik manakala ibunya sebagai kerani itu sentiasa menyokong dan memberikan dorongan kepadanya tanpa mengira wang ringgit, mereka sanggup memberikan yang terbaik.

“Keluarga saya sentiasa menyokong dan menghiburkan saya apabila saya menghadapi sebarang kesulitan.

“Disebabkan sokongan dan kasih sayang daripada mereka, saya berani untuk menghadapi sebarang halangan semasa pengajian.

“Perasaan saya ketika ini memang gembira kerana dapat meraih anugerah ini malah dapat membanggakan kedua ibu bapa saya.

Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) UMPSA hadiah manis buat Foo Xiao Bing

“Sasaran telahpun saya capai dan tanpa mereka, semua ini tidak akan terjadi,” katanya dalam nada sebak,

Beliau juga pernah memenangi pingat emas dan anugerah khas di Pertandingan Creation, Innovation, Technology and Research Expotion (CITREX) 2023 anjuran UMPSA. 

Baginya, UMPSA telah menyediakan kemudahan pembelajaran yang mencukupi untuk pata pelajarnya seperti kemudahan makmal. 

“Manakala bagi pelajar jurusan Kejuruteraan Kimia, terdapat makmal FTKKP yang mengandungi pelbagai jenis unit operasi yang terdedah kepada pelajar. 

“Selain itu juga, tenagar pengajar UMPSA juga sentiasa menyediakan bahan pengajaran yang mencukupi and menjawab soalan dengan mesra dari para pelajar, ” ujarnya yang amat gemar berjoging dan mendengar muzik pada waktu lapang. 

Jelas beliau lagi, pendekatan pembelajaran dan kandungan kokurikulum di UMPSA amat menekankan kepada kepentingan kemahiran insaniah seperti kemahiran pembentangan, berkomunikasi, kepimpinan dan sebagainya. 

“Memandangkan kemahiran insaniah ini diterapkan kepada pelajar, mereka lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja selepas tamat pengajian, ” katanya. 

Enggan berpuas hati dengan kejayaan dan mahu terus mencabar diri, Foo berhasrat untuk menyumbang kepada keluarga pada masa depan di samping mengharumkan nama UMPSA.

Disediakan oleh: Safriza Baharuddin Dan Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Safriza binti Baharuddin