Skip to main content
Berpindah-randah bukan alasan untuk tidak tekun menimba ilmu,  Aimi terima Anugerah Srikandi Matahari

Berpindah-randah bukan alasan untuk tidak tekun menimba ilmu,  Aimi terima Anugerah Srikandi Matahari

GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Sering berpindah-randah sejak kecil kerana mengikut ibunya yang juga seorang guru di Tawau, Sabah dan pengorbanan ayahnya yang melepaskan pekerjaan demi mereka sekeluarga agar tidak terpisah menjadi penguat semangat buat Aimi Soleha Baba, 25 untuk terus tekun menimba ilmu dan berjaya.

Aimi, anak jati Sabah itu memperoleh Anugerah Srikandi Matahari dalam Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Beliau dibesarkan di Ladang Mostyn, Sime Darby di daerah Kunak sehingga tamat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan kemudiannya berpindah pula ke Ladang Binuang Kunak apabila ibunya ditukarkan ke sana. 

“Disebabkan saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Madai, saya berulang-alik setiap hari hampir 40 minit dengan menaiki bas untuk ke sekolah. 

“Alhamdulillah, saya memperoleh 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh di daerah Lahad Datu,” jelas anak sulung pasangan Baba Mahide, 55 dan Normadiah Manah, 52 itu. 

Demi menimba ilmu, beliau tekad meredah lautan bagi menyambung pelajaran Diploma Kejuruteraan Awam di UMPSA dan dalam masa yang sama keluarga beliau berpindah lagi ke Bandar Sri Indah, Tawau. 

Bapa beliau pula pernah menolak tawaran bekerja di ladang lain milik Sime Darby apabila Ladang Mostyn ditutup kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarga dan bekerja sendiri sebagai pemandu bas miliknya sendiri.  

Aimi Solehah, Anugerah Srikandi

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di UMPSA dengan mengambil Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dari Fakulti Sains dan Industri Teknologi (FSTI) dan mendapat Anugerah Dekan sepanjang enam semester berturut-turut dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.67. 

Beliau juga berjaya memperoleh emas dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2023 bagi projek tahun akhir sarjana muda, Development of Tracking System to Comply with COVID-19 Standard Operating Procedure at Construction Site.

Tidak tertumpu kepada akademik semata-mata, beliau juga turut aktif dalam pelbagai program di universiti dan diamanahkan memegang pelbagai jawatan antaranya Exco Multimedia dan Publisiti Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 3 (PEKA3) 2019/2020, Presiden PEKA 3 2020/2021 dan Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA 2021/2022.

“Sepanjang penglibatan saya dalam organisasi, saya menimba pelbagai pengalaman baharu dan dapat melibatkan diri dalam pengurusan sesebuah program serta berpeluang juga untuk mengikuti beberapa kursus untuk menambahkan ilmu dari persediaan protokol program, penampilan beretika dan kursus penyediaan dokumen rasmi bagi penganjuran dan penerimaan jemputan dalam pelaksanaan sesuatu hal ehwal dalaman dan luaran sesebuah organisasi tersebut. 

“Selain penyertaan di dalam organisasi, saya juga mengambil peluang untuk turut serta membantu dalam menjayakan Majlis Konvokesyen Ke-17 UMPSA sebagai Jawatankuasa sambutan.

“Saya juga pernah memegang jawatan sebagai  bendahari bagi Minggu Induksi Siswa (MINDS 2022) dan juga turut terlibat dalam Karnival Sukan MASUM Fasa 1 2022. 

“Pada awalnya, saya sedikit bimbang jika saya terlalu melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, keputusan akademik saya akan terjejas namun pada akhirnya saya mampu membahagikan masa saya dengan sebaik mungkin,” ujarnya. 

Bagi beliau adalah amat penting untuk mengambil setiap peluang yang datang kerana sekali beliau lepaskan peluang yang sama tak akan datang semula kepadanya, belum cuba belum tahu. 

“Cuba apa sahaja peluang yang boleh direbut namun perlu bijak membezakan dan mengutamakan yang lebih penting dan jangan sampai memudaratkan diri. 

“Masa muda inilah kita perlu rebut seberapa banyak peluang yang ada dan kenal pasti kemampuan diri masing-masing dan jangan berputus asa jika belum mencuba langsung,” tambahnya. 

Berpeluang menyambung pelajaran diploma dan ijazah sarjana muda di UMPSA, beliau berpendapat bahawa universiti ini mempunyai ramai pensyarah yang berdedikasi dan bersemangat tinggi dengan pengetahuan yang luas serta kepakaran dalam bidang masing-masing. 

“UMPSA juga tidak lupa akan kebajikan pelajar dan selalu komited dalam menyediakan kemudahan dan prasarana yang bagus serta berkualiti dalam memenuhi keperluan dan memberi kepuasan kepada pelajar dalam mengejar cita-cita mereka untuk menjadi cemerlang dan berjaya. 

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua staf dan tenaga pelajar yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang saya menjalankan tugas sebagai salah seorang daripada PEKA 3 dan MPP. 

“Semua tunjuk ajar, dorongan dan bimbingan dari setiap mereka telah membantu saya menambah baik lagi kemahiran dan pengetahuan sedia ada terutama sekali dalam pengurusan organisasi dan pengurusan program,” katanya. 

Jelas beliau lagi, pendekatan pembelajaran yang aktif dan integrasi kokurikulum yang memberi kelebihan kepada graduan UMPSA dalam memahami isu-isu dunia sebenar dan mampu memperoleh pengalaman praktikal yang amat bernilai  perlu diterapkan di alam pekerjaan kelak.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip ‘kalau bukan aku, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan di sini, di mana lagi?’ menyatakan bahawa tunjang utama kejayaannya sekarang ada ibu bapanya yang tidak pernah lelah dalam menyumbangkan moral, kewangan dan tenaga serta sentiasa berusaha keras untuk memberikan yang terbaik kepada saya. 

“Tidak lupa juga kepada pihak pengurusan UMPSA yang telah banyak menyumbang dalam aspek teknikal seperti penyediaan infrastruktur dan fasiliti yang baik sepanjang pengajian saya di sini, para pensyarah khususnya FIST, rakan-rakan dan orang di sekeliling yang sentiasa memberi sokongan, dorongan dan nasihat sepanjang saya berada di UMPSA,

“Di manapun kita berada ingatlah Allah SWT sentiasa bersama, ingat setiap pengorbanan ibu bapa, dan ingatlah fokus utama kita berada di universiti. 

“Sentiasalah berusaha untuk menjadi luar biasa dan ke mana pun anda berada ingat jangan lupa untuk jaga nama baik ibu bapa,” ujarnya. 

Beliau kini sedang mengikuti program Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (Protégé-GEES Petronas) di Petronas Gas Processing Kerteh dan ditugaskan di bawah Jabatan Health, Safety, Security and Environment (HSSE). 

Katanya, skop pekerjaan beliau sekarang amat sesuai dan sama dengan apa yang beliau pelajari sepanjang pengajian di UMPSA. 

Beliau telah dilantik sebagai GEES di salah satu Gas Processing Unit di bawah Petronas Gas Berhad dan telah terlibat dalam mengendalikan hal ehwal berkaitan Occupational Health, Industrial Hygiene (OHIH) dan Occupational Safety). 

Selain itu, beliau juga ada menerima tawaran untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (fast track) dan turut ditawarkan dengan biasiswa DRS: JOM SAMBUNG PhD daripada UMPSA.

Aimi terima Anugerah Srikandi Matahari

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta