Skip to main content

Izza Wajihah Ismail - Pinjam semangat ibu demi kejayaan saya dan kebahagiaan ibu

GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Kesungguhan dan minat yang mendalam bidang yang diceburi, Izza Wajihah Ismail, 25, meraih Anugerah Kecemerlangan Malakoff Corporation Bhd. dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18.  

Beliau kini sedang menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Awam di UMPSA.  

Ayahnya Ismail Mohd Nor meninggal dunia akibat saraf pecah pada otak ketika beliau berusia 12 tahun.  

Kini, ibunya Zuraidah Yahya, 57, yang merupakan seorang guru di Melaka merupakan tempat beliau bergantung hidup. 

Izza Wajihah Ismai

Hanya seketika mendapat kasih sayang dari seorang ayah ternyata tidak mematahkan semangat beliau untuk terus cemerlang dan menjadi contoh kepada adik-adiknya. 

Izza merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik.  

Menurut Izza, ibunya membesarkan lima orang anak berseorangan adalah tidak mudah apalagi semuanya masih di bangku sekolah dan ibu pada ketika itu sedang melanjutkan pelajaran.  

“Tetapi ibu tidak pernah mengeluh dan kami tidak pernah merasa kekurangan.  

“Ibu tidak pernah gagal untuk memenuhi segala permintaan saya.  

“Ibulah sumber inspirasi saya untuk terus berjaya,” katanya.  

Bila ditanya, siapakah yang mendorong beliau sehingga ke tahap ini dan beliau menjawab dengan penuh semangat, “Ibu saya! Ibu yang banyak memberi kata-kata semangat dan menjadi unggak kejayaan saya sehingga kini. 

“Kebahaginan ibu adalah kebahagian saya.  

“Harapan saya pada masa depan adalah agar dapat menghabiskan PhD saya dalam masa yang ditetapkan.  

“Seterusnya bekerja untuk membalas jasa ibu dan keluarga,” ujarnya.  

Beliau yang bermula dari diploma di UMPSA sehingga kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD).  

Izza juga merupakan pemain hoki ketika pengajianya di peringkat diploma di UMPSA.  

Katanya, semasa program sarjana muda beliau pernah menyertai pasukan bola jaring FTKA untuk SUKFAC 2022 sebagai kapten dan pasukan kami berjaya meraih tempat kedua. 

“Saya bersama empat orang sahabat baik saya sejak dari diploma UMPSA lagi dan kini hampir tujuh tahun bersama,  Alhadulillah kami semua berjaya graduasi kelas pertama.  

“Saya dan seorang lagi rakan saya iaitu Azyan berjaya menerima anugerah khas.  

“Saya juga bersyukur kerana dikelilingi sahabat yang baik dan sentiasa ada di kala saya susah,” katanya.  

Kejayaan terbesarnya semasa di UMPSA ialah apabila beliau berjaya mendapat Anugerah Emas dalam pertandingan CITREX yang dianjurkan pihak UMP. 

Malah, beliau juga berjaya mendapat anugerah khas iaitu Anugerah Green Technology Award dalam pertandingan tersebut. 

Beliau sentiasa memegang kepada prinsip hidup ‘jangan takut untuk mencabar diri dan mencuba sesuatu  perkara yang baharu’ 

“Semasa pandemik COVID-19 melanda dunia, saat yang paling mencabar ialah untuk membuat tugasan secara berkumpulan. 

“Adakala rakan tidak memberikan kerjasama atas faktor-faktor tertentu dan ia memberi kesan terhadap markah untuk kerja kursus. 

“Namun begitu, saya tidak pernah putus asa dalam memastikan keputusan yang saya peroleh adalah baik.  

“Terima kasih kepada tenaga pengajar UMPSA dalam membentuk sahsiah dan akhlak yang baik serta menjadikan saya seorang yang dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya.  

Disediakan oleh: Norhidayah Mohamad, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad