Skip to main content

KDYMM SPB YDP Agong kurnia Watikah Pemasyhuran Pro-Canselor dan UMPSA

GAMBANG, 21 Oktober 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Tuanku Canselor UMPSA berangkat bagi menyempurnakan Istiadat Pemasyhuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan pengurniaan watikah pemasyhuran Pro-Canselor UMPSA kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-18 pada hari ini.
 
Baginda menzahirkan rasa sukacita atas pemasyhuran UMPSA dan bertitah agar pemasyhuran ini diharap akan membawa dimensi baharu kepada UMPSA setelah menempuh 21 tahun bermula dari penubuhannya.

KDYMM SPB YDP Agong kurnia Watikah Pemasyhuran Pro-Canselor dan UMPSA

 
“UMPSA perlulah meningkatkan kolaborasi strategik dengan pelbagai rakan industri termasuk universiti lain dalam dan luar negara bagi memartabatkan universiti ini untuk terus unggul,” titah baginda.  

Hadir sama dalam majlis Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainudin.
 
Baginda turut  menganugerahkan Gelaran Profesor Emeritus kepada  Profesor Dato’ Ts. Dr. Mortaza Mohamed yang merupakan penganugerahan tertinggi akademik  atas pelbagai sumbangan yang telah dicurahkan kepada universiti dan pendidikan tinggi negara
 

Profesor Dato’ Ts. Dr. Mortaza Mohamed

Antaranya sebagai Pengarah Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Cawangan Pahang pada tahun 1998 dan terlibat dalam penubuhan Kolej Universiti Kejuruteraan & Teknologi Malaysia (KUKTEM) yang merupakan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ke-16 di Malaysia pada tahun 2002.  

Sepanjang perkhidmatan beliau di UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Mortaza juga merupakan Timbalan Rektor dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) pertama di UMPSA.
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada seramai 79 penerima ijazah sarjana dan kedoktoran termasuk sembilan anugerah kecemerlangan bersempena Majlis Konvokesyen  yang berlangsung pada  sesi 1 pagi ini.
 
KDYMM Seri Paduka Baginda, Tuanku Canselor mengucapkan tahniah kepada semua graduan atas kejayaan pada hari ini dan juga tahniah kepada ibu bapa serta ahli keluarga graduan, para pensyarah dan semua yang terlibat dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.
 
Majlis Konvokesyen Ke-18 UMPSA ini turut menyaksikan seramai 4,854 penerima graduan bagi tahun 2023 yang terdiri daripada graduan doktor falsafah (70) dan sarjana (161),  graduan sarjana muda (2,181), ijazah dual (34) dan diploma (961) serta graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMP Advanced (1,447) yang menerima ijazah dan diploma masing-masing. 

Majlis berlangsung pada 21, 22 dan 24 Oktober di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang. 

Daripada jumlah tersebut, seramai 81 orang adalah graduan antarabangsa yang terdiri dari 14 buah negara.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit,  Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit