Skip to main content

Komitmen belajar sambil bekerja bukan penghalang Hanafi peroleh ijazah

GAMBANG, 22 Oktober 2023 - Impian seorang Pegawai Keselamatan dan Kesihatan akhirnya tercapai apabila beliau kini berjaya mengenggam segulung ijazah apabila bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian mod Separuh Masa. 

Anak keempat daripada lima orang adik-beradik itu terinspirasi dengan kejayaan abangnya yang menamatkan pengajian dalam IjazahDoktor Falsafah pada usia muda. 

“Abang saya telah berjaya memperoleh PhD pada usia 32 tahun dan semestinya saya termotivasi dengan kejayaannya.  

“Pada masa yang sama, saya ingin melihat ibu bapa dan isteri saya gembira serta bangga dengan kejayaan saya miliki pada hari ini. 

“Saya menghadapi kesukaran semasa pengajian apabila meneruskan pembelajaran sambil bekerja ketika pandemik COVID-19 melanda negara,” kata Mohd Hanafi Lokman, 34 tahun yang berasal dari Pahang. 

Ujarnya, beliau hanya berkesempatan mengikuti kuliah secara fizikal pada dua tahun pertama pengajian dan selebihnya secara dalam talian.  

Komitmen belajar sambil bekerja bukan penghalang Hanafi peroleh ijazah

“Namun, saya berjaya melalui fasa tersebut dengan mudah dan lancar. 

“Pesanan saya untuk generasi muda hari ini agar sentiasa mengambil peluang untuk belajar dan jangan mudah berputus asa. 

“Jika kita berpeluang untuk belajar, baik daripada bidang akademik atau kemahiran, teruskanlah dan jangan berhenti,”katanya yang juga merupakan penerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), UMP Advanced. 

Katanya, sediakan diri kita sebaik mungkin dalam menghadapi arus kemodenan dan digitalisasi.  

“Proses menuntut ilmu dengan seorang guru itu akan membentuk sahsiah kita menjadi seorang yang beradab.  

“Ingatlah bahawa, orang yang beradab sudah pasti berilmu, namun orang yang berilmu belum tentu beradab,” pesan beliau. 

Disediakan oleh: Sakinah Abdullah, UMP Advanced 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News