Skip to main content

Ling Chung King terima Anugerah Pro-Canselor

GAMBANG, 21 Oktober 2023 - Graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuteraan Mekanikal (Petroleum) dengan Kepujian, Ling Chung King diiktiraf atas pencapaian akademik yang luar biasa dan sumbangan yang diberikan kepada komuniti akademik universiti apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pro-Canselor.  

Anugerah tersebut diterimanya pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18.  

Pengiktirafan ini dianugerahkan setiap tahun kepada pelajar yang menonjol dalam bidang akademik, kepimpinan dan perkhidmatan masyarakat.  

Pelajar yang berasal dari Sibu, Sarawak itu merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik.

Ling Chung King terima Anugerah Pro-Canselor

Ling Chung King seorang mahasiswa yang berdedikasi dan penuh semangat, beliau berhasil menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang sepanjang pengajiannya di UMPSA.

Beliau yang juga pernah menjalani latihan industri di Pengerang Refining Company Sdn. Bhd. (PRefChem) selama enam bulan itu memperoleh pencapaian tinggi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.93. 

Beliau yang  memperoleh Anugerah Dekan dalam setiap semester itu juga merupakan penerima pingat emas dalam 13th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX 2023) dengan hasil projek akhir  beliau yang bertajuk 'Novel Mud Formulation: New Techniques To Improve The Mud Characteristics’.  

Selain pencapaian akademik, Ling Chung King turut aktif dalam pelbagai aktiviti luar termasuk penglibatan beliau dalam Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUKFAC) 2019. 

Di samping itu juga, beliau turut mengambil bahagian dalam Sukan Badminton SEMAMPAN Challenge 2022 dan terlibat aktif bagi program Malam Kebudayaan Tahun Baharu Cina 2020. 

Ling Chung King sentiasa berpegang teguh dengan prinsip hidup beliau iaitu ‘integriti’. 

Beliau menyatakan pentingnya nilai-nilai murni yang kukuh dan berlaku adil dalam segala perkara adalah penting untuk mencapai sesuatu matlamat.  

Disediakan oleh: SIti Aishah Md Jenal, Protégé UMPSA 

Reports by:
Admin UMP News