Skip to main content

Minat mendalam bidang Automotif dorong Anas Syazwi raih Verein Deutscher Ingenieure Award (Association of German Engineers)

GAMBANG, 21 Oktober 2023 - “Sejak kecil, saya amat meminati jentera kenderaan berat namun, minat itu beralih kepada kereta ketika berusia 14 tahun.  

“Saya begitu teruja dengan reka bentuk luaran dan dalaman serta komponen prestasi kenderaan.  

“Atas sebab itu juga, saya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL) selepas Peperiksaan Menengah Rendah (PMR),” kata  Muhammad Anas Syazwi, 24.  

Menurutnya lagi, minat itu berterusan sehingga dewasa.  

“Jika ada masa terluang, saya biasanya melakar reka bentuk kereta dengan menggunakan perisian komputer seperti Blender dan Solidworks untuk menghasilkan rekaan saya dalam bentuk digital dan setakat ini saya sudah memliki hampir ratusan lakaran kereta,” kata penerima Anugerah Verein Deutscher Ingenieure, sebuah hadiah daripada Kesatuan Jurutera Jerman di UMPSA 

Muhammad Anas menerima anugerah tersebut di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18 yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan, UMPSA Kampus Gambang.  

Beliau yang menamatkan pengajiannya dengan cemerlang menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif selepas mengikuti Program Kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Siences, Jerman dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 3.59.   

Minat mendalam bidang Automotif dorong Anas Syazwi raih Verein Deutscher Ingenieure Award (Association of German Engineers)

Ujarnya, kecintaannya terhadap bidang Automotif semakin bertambah apabila kerap mengisi masa lapang dengan membaca sumber-sumber ilmu berkenaan Automotif dan telahpun mengumpul lebih dua ratus  model kereta mainan ‘Hot Wheels’.   

“Saya juga tidak menyangka daripada minat akhirnya membentuk karier dan saya bersyukur kerana minat ini turut disokong oleh keluarga.  

“Atas dorongan mereka, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKA), UMPSA bagi mendalami ilmu Kejuruteraan Automotif.  

“Semasa di UMPSA, saya juga pernah diundang ke Jerman untuk bekerjasama melakukan projek bersama pelajar di sana dalam program Malaysia-International Teams Oriented Projects (MyITOPS). 

“Menerusi projek itu, kami saling bertukar idea dan pendapat berkenaan teknologi serta teknikal pengaturcaraan sistem.   

“Kami juga berpeluang melawat muzium kenderaan terkemuka seperti Mercedes-Benz dan juga ke Lampuga, iaitu sebuah syarikat dalam  industri pembuatan papan luncur air eletrik.  

“Semua pengalaman ini akan dijadikan sebagai nilai tambah ilmu Automotif dalam diri saya,” katanya yang kini menjawat jawatan sebagai jurutera di sebuah syarikat automotif di Selangor.  

Disediakan oleh:Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA 

Reports by:
Admin UMP News