Skip to main content

Pemegang Biasiswa Yayasan UMP, Affiq Ikhwan rangkul Anugerah Kecemerlangan Perodua

GAMBANG, 21 Oktober 2023 – Biarpun agak terkejut namanya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Perodua pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-18, Affiq Ikhwan Sulaiman, 25, tetap bersyukur kerana kerja keras yang diusahakannya selama ini akhirnya membuahkan hasil.

Graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pembuatan) dengan Kepujian itu berkata, sepanjang pengajiannya di UMPSA, dia sentiasa sibuk bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi turut terlibat dalam kerja-keria komuniti dan kepimpinan.

“Bagi membolehkan saya membahagikan masa dalam akademik dan kepimpinan, saya terpaksa membuat pengurusan masa yang betul agar pembelajaran tidak terganggu,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.80.

“Kejayaan ini saya hadiahkan kepada ibu, Roslina Wati Husin dan bapa, Sulaiman Mohamad yang mempunyai perniagaan bengkel pengiklanan sendiri.
 

Pemegang Biasiswa Yayasan UMP,  Affiq Ikhwan rangkul Anugerah Kecemerlangan Perodua

Anak sulung daripada enam adik-beradik ini juga merupakan Pemegang Biasiswa Yayasan UMP dan penerima Anugerah Dekan.  

Beliau pernah meraih Anugerah Projek Terbaik 'Senior Design Project UMP 2023 (Development of IBS Stirrup Bending Machine), Anugerah Pelajar Terbaik Kejuruteraan Mekanikal 2019 (GMi's Board of Director's Award) dan Anugerah Projek Terbaik Kejuruteraan Mekanikal 2019 (GMI). 

Menurut anak kelahiran Kuala Terengganu ini juga, beliau gembira kerana kini telah bekerja di Shaziman Transport Sdn Bhd., Aviation Fuelling Vehicles Maintenance Division sebagai Assistant Engineer bertempat di KLIA 1 dan KLIA 2.  

Syarikat ini menyediakan servis penyelenggaraan jentera-jentera pengisian bahan api pesawat di lapangan terbang seluruh Malaysia. 

Secara tidak langsung, beliau dapat menabur bakti kepada kedua ibu bapanya. 

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri