Skip to main content

Penerima Hadiah Kecemerlangan Akademik Ijazah Dual UMPSA – Jerman  graduan terbaik di Hochschule Reutlingen 

PAYA BESAR, 21 Oktober 2023 – Program ijazah dual yang telah bermula sejak tahun 2010 telah menyaksikan ramai graduan yang berjaya menamatkan pengajian dan kini berada di  serata dunia dengan setiap kepakaran berbeza termasuklah Joel Marianus Mukui, 27 yang berjaya memperoleh Hadiah Kecemerlangan Akademik Ijazah Dual UMPSA - Jerman.  

Beliau memegang Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan Dengan Kepujian Program Kerjasama dengan Reutlingen University dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI) UMPSA pernah dianugerahkan graduan terbaik semasa berada di Reutlingen University, Jerman.  

“Sebelum menjejak masuk ke UMPSA, saya telah menamatkan pengajian di INTEC Educatioon College dalam program persediaan ke Jerman tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).  

“Namun rezeki tidak berpihak kepada saya untuk menyambung pengajian ke Jerman pada ketika itu.  

“Saya bersyukur dengan platform disediakan oleh pihak UMPSA dan penaja Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.  

“Bukan semua universiti di Malaysia menawarkan program ijazah dual,” terangnya.  

Graduan Ijazah Dual UMPSA - Jerman terima gaji RM10 ribu

Tambah beliau, bagi melengkapkan tempoh pengajian, beliau telah mendapat peluang belajar di Jerman selama dua tahun.  

“Bukan sahaja saya mendapat dua ijazah daripada dua universiti, saya juga mendapat pengalaman yang tidak ternilai harganya dengan mendapat pengalaman belajar di negara lain. 

“Kejayaan saya di Hochschule Reutlingen membuktikan bahawa kita sebagai warga Malaysia juga kompeten di pentas dunia,” katanya. 

Beliau yang kini menjawat jawatan sebagai Product Master Data Tools di Bosch GmbH, Jerman dengan jumlah pendapatan kira-kira RM10 ribu.  

“Skop kerja sekarang adalah sama seperti dipelajari di UMPSA.  

“Saya dipertanggungjawabkan mengumpul data berkaitan dengan produk dalam seluruh supply chain yang merangkumi empat negara iaitu Jerman, China, Malaysia, dan Amerika Syarikat, serta mewujudkan pindahan data secara automatik bagi melicinkan lagi process operasi,” katanya.  

Graduan Ijazah Dual UMPSA - Jerman terima gaji RM10 ribu

Beliau yang berbangsa Kadazandusun dan dibesarkan di Kota Kinabalu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89 enam semester berturut-turut turut aktif semasa dalam pengajian.  

Beliau telah diberi tanggungjawab memegang jawatan Pengarah German Day bagi program Business Engineering, mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Sungai Isap bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), menjadi tutor-tutee bagi program Sensei Gokusei kepada pelajar baharu dengan memberi sokongan rohani, akademik serta sukan, dan menyertai Negaraku Vibes Festival Singing Competition.  

Bapanya, Marianus Mukui, 57 bekerja sebagai kerani dan ibunya, Dorin Verus, 57 adalah seorang suri rumah.  

Anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini berkata penyumbang terbesar kejayaannya sekarang adalah ibu bapanya.  

“Merekalah senjata untuk saya terus berusaha sebaik mungkin dalam apa juga perkara yang saya lakukan selama ini.  

“Markah lulus adalah suatu yang normal, tetapi markah yang tinggi adalah sesuatu unik yang mengasingkan kita daripada normal.  

“Saya tahu dengan mendapat nilai markah yang tinggi boleh membuat ibu bapa saya gembira.  

“Oleh itu, saya sentiasa berusaha untuk mendapat markah yang konsisten pada setiap semester,” ujarnya yang pandai membahagikan masa dengan rakan-rakan seperjuangan yang turut membantunya untuk berjaya.  

Beliau juga berkata, jangan biar kegagalan yang kita hadapi pada masa lalu menjadi sebab kita tidak boleh melangkah ke hadapan tetapi jadikan kegagalan itu sebagai motivasi untuk terus berusaha dan terus cuba untuk membuat yang terbaik.  

“Pada saya, kita tidak akan dapat mengenali betapa hebatnya potensi kita untuk mencapai kejayaan kalau tidak pernah merasai kegagalan. 

“Failure is not the end; it is part of the process to success.  

“Peganglah kegagalan itu sebagai motivasi untuk dapat membuat sesuatu lebih baik,” tambahnya. 

Selain itu, beliau berpendapat kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh pihak universiti sangat membantu dalam proses pembelajaran pelajar.  

Kelas dalam talian yang terpaksa dilakukan sewaktu wabak COVID-19 melanda juga dilaksanakan dengan baik. 

Disediakan oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nur Hartini binti Mohd Hatta