Skip to main content

Tan Wei Feng anak Operator Percetakan terima Anugerah Canselor

GAMBANG, 21 Oktober 2023  – Anak Operator Percetakan, Tan Wei Feng, 25 yang merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian dipilih sebagai penerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Anugerah tersebut dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertempat di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.  

Tan Wei Feng yang tidak pernah menjangka untuk meraih  Anugerah Canselor di Majlis Konvokesyen ini sentiasa menyimpan impian untuk menjadi yang terbaik dari segi pencapaian pelajaran dan juga aktiviti kokurikulum. 

Tan Wei Feng anak Operator Percetakan terima Anugerah Canselor

“Saya juga dimaklumkan bahawa anugerah ini diberikan berdasarkan kepada pencapaian akademik dan juga penglibatan kokurikulum sepanjang seseorang itu bergelar mahasiswa dan saya amat terperanjat apabila dimaklumkan telah terpilih untuk anugerah ini. 

“Kejayaan ini saya ingin hadiahkan kepada kedua ibu bapa saya yang banyak berkorban sepanjang pengajian. 

“Terima kasih mak dan ayah yang telah memberikan pendidikan yang sempurna sehingga kini saya berjaya meraih kejayaan,” kata anak kepada pasangan Tan Cheng Peng, 60 dan Lim Hong Yock, 55. 

Menurut Tan Wei Feng, beliau ini sedang berkhidmat sebagai Associate Executive di Biocon Sdn. Bhd.  

“Biocon merupakan satu-satunya syarikat biofarmaseutikal yang terletak di Johor. 

“Walaupun saya sempat menempuh sesi pembelajaran tatkala negara berdepan dengan pandemik COVID-9 namun saya bersyukur masih dapat mengekalkan pencapaian dengan Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) sebanyak 3.93 dan menerima Anugerah Dekan selama lapan semester berturut-turut.  

“Saya masih ingat lagi pada waktu itu pembelajaran hanya tertumpu secara dalam talian dan kekurangan aktiviti Hands On mengakibatkan kekurangan kemahiran dalam menggunakan kemudahan di makmal UMPSA,” ujarnya.  

Malah katanya, inisiatif pensyarah sentiasa kreatif dalam menghasilkan Pengajaran dan Pembelajaran juga banyak membantu para pelajar. 

“Terima kasih kepada semua pensyarah yang banyak membantu sepanjang sesi pembelajaran,” katanya.  

Disediakan oleh Nor Salwana Hj, Mohammad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris