Skip to main content

UMPSA raikan 4,854 graduan konvokesyen mulai Sabtu ini

GAMBANG, 20 Oktober 2023 - Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini menyaksikan seramai 4,854 graduan bagi tahun 2023 yang terdiri daripada graduan doktor falsafah (70), sarjana (161), graduan sarjana muda (2,181), ijazah dual (34) dan diploma (961) serta graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced (1,447) yang menerima ijazah dan diploma masing-masing yang berlangsung pada 21 hingga 24 Oktober di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang. 

Daripada jumlah tersebut, seramai 81 orang adalah graduan antarabangsa yang terdiri daripada 14 buah negara. 

Hadir mempengerusikan sidang media memperkenalkan graduan penerima anugerah, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Turut sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Pengarah Pusat Pengurusan Akademik, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani. 

UMPSA raikan 4,854 graduan konvokesyen mulai Sabtu ini

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainudin yang mempengerusikan sidang media memperkenalkan graduan UMPSA berkata, Canselor UMPSA, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bakal berangkat dalam majlis pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Pro-Canselor UMPSA. 

Baginda akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Dato’ Ts. Dr. Mortaza Mohamed yang merupakan penganugerahan tertinggi akademik atas pelbagai sumbangan yang telah dicurahkan kepada universiti dan pendidikan tinggi negara.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada seramai 79 penerima ijazah sarjana dan kedoktoran termasuk sembilan anugerah kecemerlangan bersempena Majlis Konvokesyen yang akan berlangsung pada sesi 1.

“Manakala pada sesi kedua pula akan menyaksikan seramai 711 graduan termasuk 20 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan pada hari pertama (21 Oktober 2023). 

“Daripada jumlah tersebut, seramai 34 orang graduan menerima dua ijazah dalam program Ijazah Dual UMPSA-HKA hasil kerjasama UMPSA dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) Jerman yang kini memasuki tahun ke-13 dengan memfokuskan bidang Kejuruteraan Automatif dan Kejuruteraan Mekatronik,” ujarnya. 

Manakala dengan Hochschule Reutlingen (HsRT) bagi bidang Kejuruteraan Perniagaan. 

Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor akan menyampaikan penganugerahan Sarjana Penyelidikan, Sarjana Mod Campuran dan Sarjana Kerja Khusus serta penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Program Ijazah Dual, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma pada sesi kedua. 

Dalam pada itu, pada hari kedua pula menyaksikan penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan pada sesi 3 dengan seramai  991 graduan termasuk 31 penerima anugerah dan hadiah. 

Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa akan menyampaikan penganugerahan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Pusat Sains Matematik (PSM).

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin akan menyampaikan penganugerahan ijazah sarjana muda daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) dan Ijazah Sarjana Muda Fakulti Pengurusan Industri (FPI) yang melibatkan seramai 824 graduan termasuk 33 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan pada sesi 4 menjadikan seramai 1,815 graduan pada hari kedua (22 Oktober 2023) majlis konvokesyen. 

Pada hari ketiga (24 Oktober 2023), Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin juga akan menyampaikan ijazah kepada graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) seramai 811. 

Manakala seramai 1,447 graduan UMPSA Advanced bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, kebolehpasaran graduan UMPSA berjaya melepasi 98 peratus iaitu 98.67 peratus mendapat pekerjaan. 

“Pihak universiti juga berbangga dengan pencapaian penyelidik apabila seramai 21 penyelidik UMPSA tersenarai sebagai World’s Top 2% Scientist (released by Elsevier BV, Stanford University),” katanya yang mengucapkan tahniah atas kejayaan para graduan. 

Malahan, seramai empat penyelidik UMPSA turut dianugerahkan sebagai Top Researchers Scientists Malaysia (TRSM) 2023 oleh Akademi Sains Malaysia. 

Mereka adalah Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim dan Profesor Dr. Chong Kwok Feng daripada FSTI, Profesor Ts. Dr. Jolius Gimbun daripada FTKKP dan Profesor Ir. Ts. Dr. Kumaran a/l Kadirgama daripada FTKMA. 

Sesi penganugerahan 2023 Conferment of ASM Fellowship & Recognition of Top Research Scientists Malaysia (TRSM) telah berlangsung di Resort & Hotel Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Sejak majlis konvokesyen yang pertama pada tahun 2006, UMPSA telah melahirkan seramai 39,664 graduan dalam pelbagai lapangan pengajian sama ada di peringkat prasiswazah mahupun pascasiswazah. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit