Skip to main content
Israk Mikraj Dan Kepentingan Mengenali Al-Aqsa

Israk Mikraj Dan Kepentingan Mengenali Al-Aqsa

Rajab merupakan bulan yang sinonim dengan peristiwa Israk dan Mikraj. Perjalanan malam Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, sebelum dinaikkan ke langit, dirakamkan dalam al-Quran dan Hadis. 

Terdapat hikmah mengapa Nabi Muhammad SAW ditransitkan ke al-Aqsa terlebih dahulu sebelum dinaikkan ke langit. Walaupun secara logik akal, adalah lebih mudah dan dekat sekiranya Nabi terus diangkat ke langit dari Makkah. Tetapi ditakdirkan Nabi diperjalankan ke Palestin terlebih dahulu, walaupun ketika itu, wilayah tersebut dikuasai kerajaan Rom Timur dengan nama Aelia Capitolina. 

Terdapat beberapa nama lain yang sinonim dengan wilayah Masjidil al-Aqsa. Semasa zaman Nabi, diriwayatkan dalam hadith bahawa Nabi pernah memanggil wilayah tersebut sebagai Baitulmaqdis dan Iliya’. Pada zaman sekarang, wilayah tersebut dikenali sebagai Palestin, al-Quds, Jerusalem dan lain-lain. 

Semasa Nabi diisrakkan ke Baitulmaqdis, tapak Masjidil Aqsa sebenarnya kosong tanpa bangunan. Bangunan masjid telah dirobohkan oleh Raja Titus kerajaan Rom Timur pada tahun 70 M sebelum dijadikan kawasan sampah. Bagaimana Nabi solat di situ, termasuk dalam perkara ghaib yang wajib diimani, sama seperti status bumi Palestin sebagai bumi Mahsyar seperti yang disebut dalam hadith. 

Ramai ulamak tafsir berpandangan bahawa itulah kesan kerosakan besar-besaran kedua ke atas orang Yahudi di Palestin, merujuk kepada ayat 4-7 dalam surah al-Isra’, sehingga orang Yahudi hidup merempat di seluruh dunia atau apa yang dikenali sebagai diaspora. 

Selain itu, semasa Saidina Umar bin al-Khattab membuka Baitulmaqdis pada tahun 637, 5 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, antara tindakan pertama yang beliau lakukan ialah membina bangunan Masjidil Aqsa di tapaknya yang kosong. 

Al-Tabari meriwayatkan, semasa Umar masuk ke tapak al-Aqsa, beliau bertanya kepada Ka’ab al-Ahbar, bekas pendeta Yahudi yang memeluk agama Islam mengenai tapak di mana perlu dibina bangunan Masjidil Al-Aqsa. Asalnya, Ka’ab mencadangkan di tapak Dome of The Rock, kerana di situlah tapak paling suci dalam agama Yahudi. Tetapi akhirnya Umar memutuskan untuk membina bangunan untuk solat di bahagian paling selatan, kerana ia menghadap ke arah yang hampir ke arah Kiblat. Umar turut membersihkan sampah sarap yang bertimbun di kawasan berkenaan sepanjang pemerintahan Rom (The History of al-Tabari, 11:194-195).

Masjidil Aqsa merupakan satu kawasan kompleks berpagar dengan keluasan sekitar 35 ekar. Ia dikenali sebagai al-Haram al-Sharif dalam kalangan orang tempatan, walaupun hakikatnya ia bukanlah salah satu Tanah Haram dalam agama Islam. Menurut kajian Dr Haitham al-Ratrout, plan kompleks Masjidil Aqsa adalah sama dengan plan Ka’bah. 

Dalam kompleks pagar Masjidil Aqsa ini, terdapat banyak masjid-masjid kecil yang lain. Yang paling utama ialah masjid yang menempatkan ruang legar utama untuk solat, dikenali sebagai al-Masjid al-Qibliy. Masjid dengan kubah perak gelap ini sering dikatakan sebagai Masjidil Aqsa yang sebenar, sedangkan ia merupakan salah satu daripada keseluruhan Masjidil Aqsa. 

Bangunan al-Aqsa yang lain termasuklah Masjid Qubbah al-Sakhrah, atau lebih dikenali sebagai Dome of The Rock. Masjid ini dibina oleh Abdul Malik bin Marwan. Kubahnya berwarna emas, menjadi tarikan dari kejauhan untuk orang yang bermusafir ke Palestin sejak berzaman. Dalam masjid ini, terdapat satu gua kecil. Batu di atas gua itulah dikatakan tempat nabi Mikraj ke langit. Tiada batu yang terapung, melainkan bibir gua sahaja yang boleh dilihat dengan jelas dalam masjid ini. Masjid Dome of the Rock ini juga adalah sebahagian daripada Masjidil Aqsa. Tapak inilah yang paling diinginkan oleh Yahudi, kerana mereka percaya itulah tapak paling suci untuk mereka dirikan Temple ketiga mereka. 

Selain itu terdapat juga Masjid Lama al-Aqsa, Masjid Marwan dan Masjid Buraq yang terletak di ruang bawah tanah. Di sebelah Masjid Buraq itulah letaknya Tembok Ratapan, tempat orang Yahudi meratap kerana menangisi kehancuran temple mereka yang terdahulu. 

Di sekitar kawasan lapang al-Aqsa, terdapat banyak lagi binaan dan monumen lain, seperti mihrab, minbar, kubah, muzium, sekolah dan lain-lain. Semuanya dibina oleh pemerintah Islam dari satu khilafah ke khilafah yang lain, sebagai tanda kesan pemerintahan mereka, selain berfungsi sebagai satu kenyataan identiti Islam dan Arab di Masjidil Aqsa. 

Pada tahun ini, sekali lagi sambutan Israk Mikraj di Palestin diraikan ketika Masjid suci ketiga umat Islam ini masih lagi berada di bawah penjajahan Israel. Selain itu, ancaman Covid-19 juga melanda wilayah berkenaan. Sehingga tarikh artikel ini disiarkan, hampir 500 penduduk telah disahkan positif Covid-19. Pihak pengurusan Masjidil Aqsa telah menutup keseluruhan masjid yang berbumbung atau tertutup dalam bangunan bagi mengawal penularan wabak ini. Solat berjemaah masih diteruskan di kawasan dataran di belakang Masjid Qibliy, dan sof juga dijarakkan. 

Semoga Allah memelihara Masjidil Aqsa ini hingga membolehkan kita solat di sana selepas ia dimerdekakan semula di bawah panji Islam. 

Israk Mikraj Dan Kepentingan Mengenali Al-Aqsa

Disediakan oleh : Dr Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, Ketua Program Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP). Emel: irfan@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS