Skip to main content
Perspektif Golongan Antivaksin Bertentangan Dengan Kaedah Fekah Dan Maqasid Syariah

Perspektif Golongan Antivaksin Bertentangan Dengan Kaedah Fekah Dan Maqasid Syariah

Disediakan oleh : PM Dr Hasan Ahmad yang merupakan Dekan Kanan Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang.

pm dr hasan

Vaksin dari sudut perubatan moden dikenali sebagai penebat penyakit terutama yang berjangkit. Ia telah lama diperkenalkan di seluruh dunia termasuk Malaysia dan terbukti dapat menghalang penyebaran penyakit bermula daripada peringkat bayi. Di antara produk vaksin yang sering digunakan ialah MMR (Measles, Mumps and Rubella) bagi mengelakkan jangkitan difteria, demam campak, begok, dan rubella, yang sering meyebabkan keilatan kekal, kematian dan penyakit kronik secara umum.

Golongan antivaksin yang melandaskan hujah mereka kepada isu kehalalan vaksin adalah tidak berasas kerana kandungan vaksin yang digunakan di Malaysia telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mereka sebenarnya tidak berhak untuk mempertikaikannya kerana JAKIM adalah satu badan autoriti tunggal pensijilan halal bagi kerjaan Malaysia. Hujah golongan ini juga boleh ditolak di atas kaedah fekah yang jelas kerana jika sekiranya ada keraguan atau syubhah sekalipun dalam penghasilan atau kandungan vaksin, kaedah usul fekah ada menyebut “al-darurah tubih al-mahzurat” (Kemudaratan mengharuskan apa yang terlarang). Ini bermaksud ia dibolehkan dari sudut syarak. Dari sudut lain, penggunaan vaksin adalah ke atas manusia adalah mengikut dos yang tertentu dan tidak mungkin ia diberikan jumlah dos berlebihan. Ini bertepatan dengan kedah lanjut kategori darurat dalam usul fekah iaitu “al-darurah tuqaddaru bi qadariha” yang bermaksud hanya kadar tertentu diharuskan dalan keadaan darurat.

Golongan antivaksin juga sebenarnya gagal memahami maqasid syariah yang merupakan teras al-din al-Islami. Kecetekan akal dalam memahami kerangka syariat adalah malang bagi umat Islam terutama golongan antivaksin yang mempengaruhi masyarakat supaya menolak pengambilan vaksin sedangkan ia selari dengan maqasid syariah “hifz al-nafs” (menjaga nyawa/kehidupan).Termaklum bahawa penyakit yang dibenteng oleh vaksin adalah bertujuan menjaga nyawa dan mengelakkan sebab yang boleh menyebabkan kematian.

Selain itu, pengambilan vaksin selari dengan Sunnah Rasulullah SAW yang menyarankan manusia menjauhkan dari penyakit berjangkit seperti kusta dan sebagainya seperti yang berlaku pada zaman Nabi.Walau bagaimanapun, pengambilan vaksin tidaklah seharusnya sampai menafikan takdir dan ia tidak pula bertentangan dengan pegangan aqidah Islam yang meletakkan kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

*Gambar adalah sekadar hiasan.