Skip to main content

UMP kini UMPSA

Universiti Malaysia Pahang (UMP) atau dahulu dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) kini telah muncul sebagai salah sebuah Universiti Awam (UA) ke-16 yang terkemuka di Pantai Timur iaitu di negeri Pahang. UMP sebenarnya bermula dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Cawangan Pahang (UTM-KCP) yang beroperasi sebagai sebuah kampus kecil yang terletak di Indera Mahkota, Kuantan sejak tahun 1998. 

Dari segi sejarah, pada 24 Februari 1998, Menteri Pendidikan pada waktu itu, Yang Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Universiti Teknologi Malaysia Kampus Cawangan Pahang (UTM-KCP) sebagai asas bagi penubuhan Universiti Pahang. Dalam hal ini, Profesor Dr. Mortaza Mohamed telah dilantik sebagai Pengarah Kampus UTM-KCP yang mengetuai tenaga penggerak pada 1 Ogos 1998 manakala Wan Abdul Rashid Wan Abdul Rahman dilantik Ketua Pentadbiran Tenaga Penggerak UTM-KCP. Pada 9 November 1998, UTM-KCP mula menerima kohort pelajar pertama yang melaporkan diri di kampus ini dan pada 16 November 1998 Sesi Akademik 1998/1999 bermula. Pada 27 November 1999, Upacara Pengisytiharan Tapak UTM-KCP oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang telah dilakukan. 

Hasil cetusan idea Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak juga, maka pada 26 Jun 2001 Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan sebuah universiti yang berasaskan kemahiran teknikal di negeri Pahang yang dikenali sebagai KUKTEM. Secara amnya, KUKTEM adalah UA yang ke-16 di Malaysia dan ia diwartakan pada 16 Februari 2002 selepas mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Penubuhan KUKTEM juga adalah tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Untuk itu, Kementerian Pendidikan telah mengarahkan kampus UTM-KCP digantikan dengan KUKTEM dan menjadikan kampus UTM-KCP sebagai kampus sementara KUKTEM yang berkuat kuasa pada 1 Mei 2002 bermula dengan sesi akademik 2002/2003 dengan pengambilan pelajar seramai 307.

Pada 26 Jun 2001, Jemaah Menteri telah meluluskan penubuhan KUKTEM di negeri Pahang Darul Makmur. Profesor Dr. Mortaza Mohamed telah dilantik sebagai Timbalan Rektor (Akademik) KUKTEM pada Disember 2001. Pada tahun 2002, iaitu pada 4 Februari 2002, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Tan Sri Musa Mohamed meluluskan kampus UTM-KCP dinaikkan taraf sebagai kampus sementara KUKTEM. Pada 16 Februari 2002, menyaksikan Pemerbadanan KUKTEM oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail melalui gazet Perintah Pemerbadanan P.U (A) 422 di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Pada tahun ini juga turut menyaksikan penubuhan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK). 

Pada 5 April 2002, telah ditubuhkan beberapa buah fakulti iaitu:
•    Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM)
•    Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) 
•    Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE)
•    Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA)
•    Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP)

Selain dari penubuhan fakulti tersebut, terdapat enam program Ijazah Sarjana Muda dan lima program diploma telah diluluskan. Pada 1 Mei 2002, KUKTEM mengambil alih Kampus UTM-KCP di bandar Indera Mahkota secara rasmi sebagai kampus sementara dan pada 2 Jun 2002, pengajian Sesi 1 2002/2003 bermula. Terdapat seramai 303 orang pelajar pertama mendaftar di KUKTEM di Kampus Indera Mahkota, Kuantan. Profesor Dato' Dr. Mortaza Mohamad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Yang Mulia Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti yang pertama.

Pada 2 November 2002 juga telah berlangsung Majlis Upacara Peletakan batu asas di Kuala Pahang, Pekan oleh KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatduddin al-Muadzam Shah.  

Kemasukan pelajar yang terlalu ramai menyebabkan KUKTEM dipindahkan ke kampus sementara yang lebih besar iaitu di bandar MEC Gambang. Ia terletak kira-kira 30 km dari pusat bandar Kuantan. Sememangnya lokasi ini sangat strategik kerana berhampiran dengan lebuh raya Pantai Timur serta terletak dalam zon petrokimia, pembuatan, automotif, dan bioteknologi negeri Pahang. Penyerahan kampus sementara di bandar MEC kepada KUKTEM telah berlaku pada 17 April 2003 oleh Frontier Bond Sdn. Bhd. yang mana majlis tersebut telah diadakan di Pejabat Rektor KUKTEM di Kampus Bandar MEC. Tanggal 24 April 2002, maka berlakulah perpindahan kampus KUKTEM dari Indera Mahkota, Kuantan ke kampus sementara di Bandar MEC Gambang.

KUKTEM terus memperkembangkan perkhidmatannya dengan Penubuhan Pusat Pengajian Berterusan dan Pembangunan Profesional (CENFED) pada 1 September 2004. KUKTEM maju setapak lagi apabila mendapat penghormatan mewakili Malaysia dalam Pertandingan e-Asia Awards 2004 di Taipei, Taiwan dari 20 hingga 26 September 2004. Kejayaan terus menjadi milik KUKTEM pada 18 Oktober 2004 apabila diisytiharkan sebagai Kolej Universiti UA pertama menerima penganugerahan Status MSC daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC).

Dari KUKTEM ke UMP

Setelah lima tahun beroperasi dengan cemerlang, kerajaan Malaysia mengumumkan pertukaran nama KUKTEM kepada UMP yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2007. Pada 1 April 2007 telah diadakan Majkis Pengisytiharan Nama dan Pelancaran Logo UMP oleh KDYMM Sultan Pahang di Hotel Marriot Putrajaya. Ini merupakan suatu usaha penarafan yang tertinggi buat KUKTEM yang telah beraksi cemerlang dalam menyediakan pendidikan teknikal kepada warga Malaysia dalam jangka masa yang singkat serta kemampuan KUKTEM menghasilkan penyelidik bertaraf dunia dalam dunia teknologi dan kejuruteraan. Bermula dari sini, KUKTEM telah dikenali sebagai UMP. Sebagai sebuah UA, UMP masih mengekalkan bidang-bidang yang difokuskan seperti mana yang ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia. 

UMP kini UMPSA

Justeru, pada Januari 2008, telah ditubuhkan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dan pada 1 Februari pula ditubuhkan Pusat Kejuruteraan Automotif (AEC). Manakala pada 1 Mei 2008 menyaksikan penubuhan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dan seramai 23 pelajar UMP dihantar ke Turki dan Jerman buat pertama kali. Usaha pengantarabangsaan UMP diteruskan lagi apabila pada 22 Disember 2010 telah ditubuhkan Pusat Akademik dan Kerjaya German (GACC) secara rasmi. UMP memperkembangkan lagi sayapnya apabila pada 1 September 2011, menyaksikan penubuhan Fakulti Teknologi (FTek) dan FKP serta penubuhan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Aliran Bendalir Termaju (CARIFF). Pada awal tahun 2012, ditubuhkan pula Pusat Kecemerlangan Industri (I-CoE) Teknologi Maklumat (ICT) dan Pusat Kecemerlangan Industri (I-CoE) Automotif. Pada Julai 2014 pula, ditubuhkan pula Fakulti Pengurusan Industri (FIM).

Penubuhan Kampus Tetap di Pekan

Kecemerlangan universiti dan graduan telah meningkatkan citra UMP sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka di Pantai Timur memerlukan sebuah kampus yang berdaya saing, sistematik dan mempunyai aura yang tersendiri. Justeru, pembinaan kampus tetap UMP di Pekan telah dilaksanakan iaitu di Kuala Pahang yang terletak 7 km dari Bandar Pekan dan 40 km dari Kuantan. Ia beroperasi pada 27 Julai 2009. Kedudukannya yang bersebelahan dengan Pantai Legenda Golf & Country Club merupakan lokasi yang sesuai dalam suasana santai di pesisir pantai. Kampus seluas 642 ekar ini boleh menampung sehingga 10,000 orang pelajar dan 2,000 orang staf. 

Pada peringkat awal, ia menempatkan tiga buah fakulti dan sebuah pusat iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) dan Pusat Bahasa Moden (PBM). Pada sesi pembelajaran 2009/2010, dua fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) telah memulakan pembelajarannya di kampus tetap ini. 27 Jun 2009, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan beroperasi buat pertama kali di UMP Pekan. Manakala pada 30 Mei 2012, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) beroperasi buat pertama kali di UMP Pekan. Pada 16 November 2015, bangunan Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) dan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusian (PBMSK) mula beroperasi di UMP Pekan dan Fakulti Komputeran (FK) telah beroperasi pada 1 Oktober 2020.

UMP telah mengorak langkah dengan menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi seperti program pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) beraras tinggi. UMP turut tersenarai sebagai sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan muncul sebagai universiti terbaik bagi Penyelidikan dan Inovasi (Non RU). Ini memperlihatkan UMP begitu komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik di samping menjalinkan kerjasama strategik pada peringkat antarabangsa.

Kejayaan tercipta lagi apabila UMP melaksanakan program kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) Jerman. Ini secara tidak langsung menjadi penanda aras terbaik kepada universiti-universiti di Malaysia. Selain itu, dalam bidang penyelidikan pula, UMP banyak memfokuskan kepada penyelidikan gunaan dan projek-projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.

UMP kini UMPSA

UMP menawarkan program untuk pelajar supaya berjaya dalam bidang yang dipilih dengan menyediakan latihan yang profesional dan peluang pembelajaran dalam kelas. Selain daripada menawarkan program prasiswazah, UMP juga telah memperkenalkan program pascasiswazah yang memberikan peluang kepada seluruh masyarakat untuk melanjutkan pengajian secara sepenuh masa atau separuh masa khususnya bagi mereka yang bekerja. Ini merupakan peluang keemasan khususnya kepada penduduk Pantai Timur kerana mereka tidak perlu pergi jauh untuk menyambung pengajian memandangkan UMP juga menyediakan sistem pendidikan setaraf dengan universiti terkemuka yang lain di samping tenaga pengajar yang pakar dalam bidang masing-masing. Kini UMP semakin berkembang dengan pengenalan beberapa fakulti dan jabatan yang baru iaitu:

Fakulti 
•    Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA)
•    Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE)
•    Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP)
•    Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM)
•    Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA)
•    Fakulti Komputeran (FK)
•    Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)
•    Fakulti Pengurusan Industri (FPI)
•    Pusat Sains Kemanusiaan (PSK)
•    Pusat Bahasa Moden (PBM)

Pusat Kecemerlangan
•    Makmal Berpusat
•    Pusat Kelestarian Ekosistem  dan Sumber Alam (Pusat Alam)
•    Pusat Penyelidikan Bendalir dan Proses Termaju (Pusat Bendalir)
•    Pusat Rekabentuk dan Inovasi Teknologi (PRInT)
•    Pusat Kejuruteraan Automotif (Pusat Automotif)
•    Pusat Pembangunan Perisian dan Perkomputeran Bersepadu (Pusat Perisian)
•    Pusat Penyelidikan Bioaromatik (Pusat Bioaromatik)

Pusat Perkhidmatan Akademik
•    Institut Confucius 
•    Pusat Hubungan Antarabangsa
•    Pusat Jaminan Kualiti Akademik
•    Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik
•    Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran
•    Institut Pengajian Siswazah
•    Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik
•    Pusat Kerjasama Strategik Akademik
•    Pusat Pengurusan Akademik
•    Pusat Usahasama Strategik Akademik

Jabatan
•    Audit Dalam
•    Jabatan Bendahari
•    Jabatan Pendaftar
•    Pejabat Naib Canselor
•    Perpustakaan
•    Unit Perkhidmatan OKU UMP
•    Hal Ehwal Pelajar dan Alumni
•    Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa
•    Jabatan Penyelidikan dan Inovasi 
•    Penerbit UMP
•    Unit Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
•    Unit Perundingan dan Bantuan Staf

Pusat
•    Pusat Diploma dan Asasi
•    Pusat Islam dan Pembangunan Insan 
•    Pusat Kesihatan Universiti
•    Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta
•    Pusat Sukan dan Kebudayaan
•    Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti
•    Pusat Jaringan Industri & Masyarakat
•    Pusat Keusahawanan
•    Pusat Penempatan dan Pembangunan Kerjaya
•    Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi
•    Pusat Komunikasi Koporat

Individu Hebat di Sebalik Tabir UTM-KCP/KUKTEM/UMP 1998-2022

1998
Profesor Dr. Mortaza Mohamed  
Pengarah Kampus UTM-KCP 
1 Ogos 1998

2001
Profesor Dr. Mortaza Mohamed 
Timbalan Rektor (Akademik) KUKTEM 
Disember 2001

2002
Profesor Dato' Dr. Mortaza Mohamad  
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) KUKTEM
1 Disember 2002

YM Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff  
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti yang Pertama
15 Disember 2002

2003
Tuan Haji Mohd. Ghani Salleh  
Pendaftar KUKTEM (pertama) 1 April 2003

2005
Profesor Dr. Mohamed Said Mat Lela 
Rektor kedua KUKTEM
(16 Januari 2005)

Tuan Haji Sau’di Haji Ahmad sebagai Pendaftar KUKTEM (Kedua)
(16 Ogos 2005) 

Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz sebagai Timbalan Rektor (Penyelidikan dan  Inovasi) KUKTEM
(15 Disember 2005)

2006
Pelantikan KDYTM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Canselor KUKTEM yang Pertama.
(1 April 2006)

2007
Pelantikan KDYTM Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Canselor UMP yang Pertama.
(1 Februari 2007)

Profesor Dato' Dr. Sabarudin Mohamad 
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP
(1 Jun 2007)

Zainudin Othman 
Bendahari UMP 
(20 Ogos 2007)

2008
Profesor Dato' Dr. Daing Mohd Nasir Daing Ibrahim
Naib Canselor UMP ketiga
(16 Mei 2008)

Profesor Dato' Dr. Rosli Mohd Yunus 
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)
(21 Julai 2008)

2010
Profesor Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz 
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
(1 Jun 2010)

Haji Ruslan Che Pee 
Ketua Pustakawan
(1 Oktober 2010)

2012
Dato’ Sri Haji Mohd Khamil Jamil 
Pro-Canselor pertama UMP
(13 Oktober 2012)

2013
Profesor Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
(15 April 2013)

Profesor Dr. Mashitah Mohd Yusoff 
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).
(21 Julai 2013)

2014
Profesor Dato' Dr. Mortaza Mohamad 
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
(15 Januari 2014)

2015
Datin Wan Maizurina Wan Othman 
Penasihat Undang-undang
(8 Mei 2015)

Pelantikan semula Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim 
Naib Canselor UMP
(16 Mei 2015)

Profesor Dato' Ts. Dr. Rosli Mohd Yunus 
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
(1 Julai 2015)

2016
Profesor Dato' Dr. Ishak Ismail 
Penolong Naib Canselor
(1 Januari 2016)

Abd. Hamid Majid
 Pendaftar UMP
 (15 Mac 2016)

2017
Profesor Dr. Jamil Ismail 
Penolong Naib Canselor
1 Januari 2017

Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim 
Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam 2017
(22 Januari 2017)

2018
Pelantikan Dato’ Sri Ibrahim Ahmad 
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP selama tiga tahun mulai 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020
(1 Januari 2018)

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff 
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)
(1 Disember 2018)

2019
Dzull Zabarrod Ahmad 
Pemangku Ketua Pustakawan 
(2 Mac 2019)

Profesor Madya Dr. Mohd Ridzuan Darun 
Pendaftar UMP 
(15 Mac 2019)

Profesor Ts. Dr. Kamal  Zuhairi Zamli 
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP 
(15 Mac 2019)

Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff 
Penolong Naib Canselor
(15 April 2019)

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff 
Naib Canselor UMP Keempat
(16 Mei 2019)

Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin 
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)
(1 November 2019)

Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asaari Mohamed Nor 
Pro-Canselor UMP
(16 November 2019)

2020
Azman Abdul Rahim 
Ketua Pustakawan
(6 Mac 2020)

Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Rahman 
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP yang baharu selama tiga tahun berkuat kuasa mulai 19 Oktober 2020 hingga 18 Oktober 2023
(19 Oktober 2020)

2021
Hazmin Aris 
Pendaftar
(15 Mac 2021)

2022
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Penaung Diraja Sukarelawan UMP
(17 Februari 2022)

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin 
Naib Canselor UMP Ke-5
(1 Mac 2022)

Saiful Bahri Ahmad Bakarim 
Pendaftar
(1 April 2022)

Profesor Madya Ts. Dr. Mohd. Rusllim Mohamed 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP
(18 April 2022)

Lakaran Kejayaan dan Pencapaian UMP 2003-2022

2003
Finalis Anugerah Asia Pacific ICT Awards (APICTA) 2003 dalam kategori Pendidikan dan Latihan Terbaik
 (1 Ogos 2003)

UA pertama di Malaysia memenangi Anugerah Perdana Teknologi Maklumat (APTM) bagi kategori sektor awam pada Majlis Penganugerahan Anugerah Kualiti Perdana di Petaling Jaya 
(18 Disember 2003)

2004
Kolej Universiti IPTA pertama menerima penganugerahan Status MSC daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC)
(18 Oktober 2004)

2005
Meraih satu pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa dalam Pameran Bioteknologi Asia 2005 di PWTC, Kuala Lumpur. 
(18 Ogos 2005)

Meraih dua pingat emas, lima pingat perak, empat pingat gangsa dan Best Booth Award (Shell Scheme Category) dalam Pameran R&D IPTA 2005 di PWTC, Kuala Lumpur
(2 Oktober 2005)

Memperoleh Persijilan MS ISO 9001:2000 bagi skop latihan luaran oleh SIRIM QAS International Berhad.
(25 Oktober 2005

2006
Meraih lima pingat perak, satu gangsa dan 3rd Best Booth Award dalam Ekspo Teknologi Malaysia 2006 di PWTC, Kuala Lumpur.
23-25 Febuari 2006

2007
IPTA pertama memperoleh Sijil Piawaian Pelaksanaan Keselamatan & Kesihatan Pekerja OHSAS 18001:1999 di bawah skop Sistem Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan bagi makmal (OSH Management System for Laboratory) daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (NIOSH) di bawah kelolaan Niosh Certification Sdn. Bhd. (NCSB).
(13 Februari 2007)

2008
UMP diumumkan sebagai salah satu Pusat Kecemerlangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)
(14 Jun 2008)
2010

Makmal Kejuruteraan Awam (CELS) di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) diiktiraf dunia dengan pengamalan sistem pengurusan makmal berkualiti
(6 Julai 2010)

2012
Laman web rasmi UMP diiktiraf lima bintang sekali gus meraih tempat ketiga laman web terbaik bagi kategori Institut Pengajian Tinggi Awam di Malaysia.
(26 Januari 2012)

Penarafan lima bintang dalam sistem Peraturan bagi Penyelenggaraan Data untuk Sistem Maklumat Kementerian Pengajian Tinggi berkaitan IPTA (MyMohes)
(8 Oktober 2012)

2015
UMP memperoleh status autonomi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)

2016
Makmal Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, UMP dianugerahkan  Award Gold Class II Award Winner 2015 bagi kategori sektor pendidikan oleh MSOSH OSH.
(5 Ogos 2016)

2017
UMP meraih kedudukan ke-58 terbaik dunia berdasarkan usaha melestarikan kampus dan pengurusan alam sekitar dalam penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2016
(3 Januari 2017)

Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Fakulti Pengurusan Industri menerima sijil akreditasi oleh The Alliance on Business Education and Scholarship For Tomorrow, A 21st Century Organization (ABEST21) di Tokyo, Jepun
(8 Mac 2017)

UMP dilantik Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL)
(8 Ogos 2017)

2018

UMP satu-satunya universiti teknikal yang menerima pengiktirafan antarabangsa dengan pencapaian penarafan lima bintang keseluruhan terbaik 2018 berdasarkan Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating 2018 yang dijalankan pihak QS Intelligence Unit iaitu sebuah organisasi pengauditan universiti melalui QS World Ranking yang berpusat di London
(17 Julai 2018)

Mencatatkan pencapaian terbaik dalam QS University Ranking Asia: 2019 dengan kedudukan 188 terbaik di Asia
(24 Oktober 2018)

2019

UMP tersenarai dalam QS World University Rankings by Subjects 2019 melibatkan subjek Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan; Kejuruteraan Kimia; Kejuruteraan dan Teknologi
(4 Mac 2019)

UMP tersenarai antara universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2020 yang diterbitkan oleh QS Quacquarelli Symonds (QS)
(19 Jun 2019)

UMP menduduki kelompok 101-150 dalam penarafan 50 universiti muda terbaik dunia 2019 yang disenarai dalam QS Top 50 under 50 yang diumumkan oleh agensi penarafan pendidikan tinggi dunia Quacquarelli Symonds (QS)
(2 Julai 2019)

UMP berada pada kedudukan 301-500 universiti terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan 2020 dalam penarafan QS Graduate Employability 2020 (QS GE)
(19 September 2019)

UMP terbaik dalam Penyelidikan dan Inovasi apabila menerima Anugerah Malaysia’s Research Star Award 2019 bagi Research and Innovation Excellence (Institution) untuk  Non-Research University
(6 November 2019)

UMP berada di kedudukan 134 terbaik di Asia dalam penarafan QS University Ranking Asia 2020
(9 Disember 2019)

2020
UMP berada di dalam kelompok 751-800 terbaik dunia selepas tersenarai dalam penilaian QS World University Rankings (QS-WUR) 2021 yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds
(10 Jun 2020)

UMP tersenarai antara 101-150 universiti berusia di bawah 50 tahun terbaik dunia dalam Penarafan QS Top 50 Under 50 yang diumumkan oleh agensi penarafan pendidikan tinggi dunia, QS Quacquarelli Symonds
(24 Jun 2020)

Produk teknologi UMP menang Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia 2020 (MCY 2020)
(17 Disember 2020)

2021

Enam subjek iaitu Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan, Sains Tulen (Kimia), dan Sains Tulen (Sains Bahan) tersenarai dalam penarafan QS World University Rankings by Subject 2021
(4 Mac 2021)

Seramai 12 pensyarah UMP tersenarai antara dua peratus saintis terbaik di dunia dalam pelbagai bidang dan disiplin
(28 Oktober 2021)

UMP melonjak ke tangga ke-129 QS World University Rankings: Asia yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds bagi tahun 2022
(2 November 2021)

2022

UMP tersenarai di kedudukan 301-400 dan ke-8 di Malaysia dalam penarafan kelestarian Global Time Higher Education (THE Global Impact Ranking) 2022
(28 April 2022)

Enam subjek UMP disenaraikan antara terbaik dunia berdasarkan penarafan QS World University Rankings (QSWUR) by Subject 2022
(6 April 2022)

UMP dinobatkan pemenang tempat pertama kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam pertandingan Perbarisan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Daerah Pekan
(31 Ogos 2022)

2023

Seramai 47 pelajar Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiatong University (BJTU) China yang bakal menyambung pengajian di BJTU menerima sumbangan hadiah kecemerlangan Duta Besar China
4 Januari 2023

Seramai 45 orang pelajar Program Ijazah Dual UMP dan Beijing Jiaotong University (BJTU) China ke China bagi menyambung pengajian selama dua tahun.
14 Februari 2023

UMP memiliki penginapan mahasiswa berkonsepkan wakaf yang pertama di Malaysia apabila Kolej Kediaman Mawaddah, UMP Pekan disempurnakan Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail
28 April 2023

UMP terus melestarikan kecemerlangan apabila tersenarai di kedudukan 201-250 dalam Times Higher Education Asia University Rankings 2023 (THE Asia) 
23 Jun 2023

UMP kini dikenali sebagai UMPSA
30 Julai 2023

UMP kini UMPSA

Penubuhan UMP telah melepasi 21 tahun dan telah berjaya menempuh segala cabaran sepanjang tempoh dua dekad untuk menjadi antara institusi pengajian tinggi terbaik di negara ini. UMP telah berjaya melahirkan ribuan graduan yang memenuhi ruang-ruang kerjaya profesional di dalam mahupun luar negara. UMP juga berjaya menghasilkan bahan-bahan penyelidikan peringkat tempatan dan antarabangsa sehingga diiktiraf oleh badan antarabangsa. Ini secara tidak langsung membuktikan pada usia sebegini UMP mampu ke hadapan dan mendahului dari segenap aspek sebaris dengan universiti tertua dan terkemuka di Malaysia. Tidak lupa sumbangan warga kerja UMP juga menjadi tulang belakang kepada kejayaan demi kejayaan yang dilakarkan oleh UMP. Maka usaha menukar nama UMP kepada UMPSA adalah tindakan yang bijak kerana sumbangan dan peranannya sebagai sebuah universiti teknikal terunggul dan terbilang di Pantai Timur sangat menyerlah. 

 

Dr. Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

E-mel: hasnah@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News