Skip to main content

UMPSA Gemilang: Merentas Masa dengan Semangat Cipta, Cinta, dan Citra

Melangkah ke ambang keunggulan pendidikan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyinarkan kegemilangannya di setiap pelusuk mata dunia. Dengan komitmen yang kukuh untuk membina kejayaan, UMPSA telah merangka program-programnya sebagai landasan pelancar bagi kecemerlangan pelajar dalam bidang yang mereka pilih. 

UMPSA bukan sahaja menyediakan pembelajaran di dalam bilik darjah, bahkan juga memberikan latihan praktikal untuk diaplikasikan dalam penyelesaian sesuatu masalah. Ini membantu para graduan untuk bersiap sedia memasuki dunia pekerjaan dan mampu untuk memberikan impak positif dalam kerjaya mereka di masa hadapan.

Dengan kampus yang berfasiliti tinggi dan penuh dengan penyediaan program-program yang menarik, UMPSA telah membuka peluang kepada lebih daripada 17,000 pelajar untuk mencipta pengalaman pendidikan yang bermakna buat diri mereka. Bermula dengan program-program teknikal dan kejuruteraan hingga kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf tinggi, setiap pelajar telah diberi peluang untuk menonjolkan diri dalam bidang pilihan mereka.

Kejayaan graduan UMPSA adalah cerminan kepada komitmen universiti terhadap penyediaan latihan profesional yang praktikal dan relevan. Melalui kerjasama yang erat dengan industri, para pelajar telah diberikan pendedahan kepada cabaran sebenar yang akan mereka hadapi dalam dunia pekerjaan. Ini terbukti dengan kecemerlangan kadar kebolehpasaran graduan UMPSA yang mencecah 98.67 peratus, berdasarkan Pusat Pengurusan Akademik (PPA), Institut Pengajian Siswazah (IPS), dan UMP Advanced pada Julai 2023.

Kejayaan UMPSA tidak hanya terhenti setakat di bilik darjah sahaja. Inisiatif universiti dalam menggabungkan pengajaran dan penyelidikan yang efektif telah mendapat pengiktirafan melalui ranking universiti yang cemerlang. Dalam QS Stars University Ratings, UMPSA telah dianugerahkan lima bintang dari aspek pengajaran, antarabangsa, kemudahan, inovasi, kebolehpasaran, dan penyelidikan. Kejayaan ini memberi impak yang signifikan melalui pelbagai penarafan global, termasuk penarafan di peringkat dunia dan Asia yang menempatkannya sebagai universiti terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Pengiktirafan dari pihak luar merupakan tunjang semangat yang membara buat UMPSA. Sempena sambutan ulang tahun ke-21, UMPSA telah mencipta sejarah dalam perjalanan transformasinya dengan memperkenalkan identiti dan aspirasi yang baharu seiring dengan matlamat yang sedia ada. 

Usaha penjenamaan semula ini mencerminkan komitmen UMPSA terhadap kemajuan, inovasi, dan keterlibatan dalam era globalisasi. Di bawah pimpinan Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, yang juga merupakan Canselor UMPSA, telah memberi impak dalam mengorak langkah ke arah merealisasikan aspirasi kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

Semangat ‘Cipta, Cinta, Citra’ yang terpancar di kampus UMPSA memberi penekanan bahawa setiap pencapaian merupakan hasil usaha yang berterusan dan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. UMPSA juga turut memberi tumpuan kepada bidang penyelidikan dan inovasi.  Universiti sentiasa menggalakkan para pelajar dan pensyarahnya untuk meneroka dan menghasilkan idea-idea dalam penghasilan produk baharu dan aktiviti pengkomersialan. 

Baru-baru ini, pencapaian seorang pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Ir. Ts. Dr. Norazlianie Sazali telah menjadi sorotan berita iaitu beliau telah menghasilkan mentega tulen dalam teknologi makanan yang sekali gus dapat menambah baik pembangunan produk tenusu di Malaysia. UMPSA percaya bahawa kreativiti adalah asas yang penting untuk mencipta sesuatu kecemerlangan. Pemupukan sikap berani dalam mengambil risiko, berfikiran inovatif, dan berdisplin dalam menimba ilmu, mampu menggerakkan komunitinya untuk merevolusi batasan-batasan ilmu. 

Dalam etos UMPSA, tersemat prinsip 'cinta' yang memaparkan komitmen universiti terhadap pencerahan akademik dan peningkatan hidup masyarakat. Selain menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat, UMPSA juga tidak melepaskan peluang dalam pemupukan sifat empati dan kasih sayang dalam kalangan pelajar. Inisiatif seperti mengadakan program komuniti, sosial dan aktiviti sukarelawan banyak mewujudkan elemen cinta ini, di mana ia dapat membentuk graduan yang tidak hanya mahir dalam kerjaya tetapi juga insan yang peka terhadap keperluan masyarakat.

Bukan itu saja, falsafah pendidikan UMPSA melibatkan lebih dari sekadar kecemerlangan akademik. Melalui pengalaman pembelajaran praktikal dan kerjasama dengan komuniti, nilai ‘cinta’ dalam diri graduan dapat dipupuk. Usaha pemasaran yang berfokus dan kerjasama antarabangsa telah membantu UMPSA menjadi antara peserta proaktif dan diminati dalam arena pendidikan antarabangsa. Di era digital, UMPSA bijak mencipta ‘content’ dan bahan-bahan untuk dikongsikan kepada pengikutnya di sosial media sehingga mereka dikenali di seluruh pelusuk dunia. 

Elemen ‘Cipta, Cinta, Citra' ini berfungsi sebagai kompas panduan bagi perjalanan UMPSA pada masa hadapan, memberi inspirasi kepada generasi muda, dan melahirkan pemimpin yang akan menyinari dunia dengan kegemilangan mereka. Dengan pengaruh positif yang merentasi dari dalam kampus hingga ke dunia luar, UMPSA akan terus menjadi daya pemacu perubahan dan sumber kebanggaan bukan hanya bagi komuniti universiti, tetapi juga bagi negara dan dunia.

Guna

Gunavaathy A/P Saravanan 

Penulis adalah pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP),
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 
E-mel: gunavaathysaravanan@gmail.com

 

Reports by:
Admin UMP News