Skip to main content

700 mahasiswa UMP terima makanan sihat secara percuma

Kuantan, 15 April– Sebanyak 700 bungkus makanan sihat yang mengandungi sandwich, minuman dan buah epal diagihkan kepada mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai menyokong amalan gaya hidup sihat anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dengan kerjasama Institusi Kefeloan UMP (IKUMP) dalam Program CSR : We Love We Share: Take a Break with Healthy Food baru-baru ini.

Program dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin dengan disertai delegasi Majlis Perumahan Universiti-Universiti Awam Malaysia (MAPUM) yang hadir bersempena Mesyuarat MAPUM Bil 2/2019 kali ke – 74 yang menyaksikan UMP sebagai tuan rumah penganjuran. Turut sama hadir, Timbalan Pengerusi MAPUM, Prof. Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menurut Prof. Dato' Dr. Yuserrie, kesedaran terhadap pentingnya pemakanan sihat ini, mendorong pihaknya menyediakan makanan percuma ‘Healthy Food’ dengan memberi keutamaan kepada mahasiswa golongan B40 dalam program yang berlangsung di hadapan pejabat JHEPA UMP Gambang.

“Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti khidmat sosial (CSR) yang diadakan pihak MAPUM pada setiap kali berlangsungnya mesyuarat. Pada kali ini lebih bermakna apabila berlangsungnya pembukaan rasmi UMP Campus Pantry untuk memberi peluang mahasiswa mendapatkan makanan dan keperluan secara percuma,” katanya semasa dalam program yang berlangsung di pejabat JHEPA. Ianya juga selaras dengan pelaksanaan program Food Bank Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mensasarkan golongan B40 untuk menerima manfaat ini.

Ujar beliau, program ini juga menunjukkan keperihatinan pihak kerajaan dan universiti dalam membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan bekalan makanan dan barang keperluan lain. Secara tidak langsung, dapat mendidik warga kampus dan masyarakat setempat untuk berkongsi rezeki dengan golongan tersebut.

Pihaknya juga mengalu-alukan sumbangan daripada staf UMP dan orang ramai dalam memastikan bekalan sentiasa tersedia. UMP Campus Pantry ini beroperasi bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan pada petangnya beroperasi mulai jam 2.00 petang hingga 4.30 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Sementara itu, Mohammad Aiman Mohd Amran yang juga merupakan Presiden Kelab Penyayang UMP berkata, sebagai sukarelawan beliau bersama pihak Majlis Perwakilan Pelajar (UMP) lain bertanggungjawab dalam mengurus dan merekodkan keluar masuk makanan dan menyusun makanan di ruang yang telah disediakan.

Manakala bagi mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA),  Izzah Safiah Abdul Razak,  melahirkan perasaan bersyukur dan berterima kasih kepada pihak universiti yang banyak mengambil berat tentang keadaan mahasiswa pada masa kini selain berharap mahasiswa UMP menghargai dan mendapat manfaat dari usaha murni ini.

Disediakan oleh Nur Sa'adatul Afzan Jusoh daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri