Skip to main content

Bersama mendepani pendigitalan kampus

Pekan, 6 November 2020 - Universiti perlu membuat persediaan secara komprehensif di era revolusi digital untuk terus kekal berdaya saing dan merancakkan kemajuan serta mencorakkan kegemilangan dalam landskap pendidikan negara. 

Penggunaan sistem dan kaedah penyampaian yang berkesan juga perlu diperluaskan di kedua-dua kampus dalam usaha menyokong inisiatif pendigitalan kampus universiti.

Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) kini menuntut perubahan dalam teknologi automasi yang turut memberi kesan terhadap sektor perkhidmatan dan bidang pendidikan yang bakal memberi kesan langsung kepada graduan yang dihasilkan nanti.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, IR 4.0 melahirkan teknologi baharu termasuk digitalisasi dan Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence) yang membawa cabaran baharu termasuklah Internet untuk Segalanya (Internet of Things) dan Analitik Data Raya (Big Data Analytics).

“Teknologi data analitik dan pengkomputeran awan juga sangat signifikan untuk menyokong cara pelajar berinteraksi dengan kandungan pembelajaran yang bersesuaian dengan trend digital terkini melalui gajet dan capaian internet. 

“Selain itu, pendekatan pendidikan yang melangkaui kampus (beyond campuses) dan sempadan (beyond borders) juga membolehkan pengurusan universiti menggunakan fasiliti dan sumber yang ada di universiti ini.

“Malahan, kemahiran menguruskan data dari pelbagai sumber juga amatlah penting bagi memastikan kelestarian sektor kejuruteraan dan teknologi di Malaysia seterusnya menyokong pembangunan negara,” katanya.

Sebagai penjawat awam beliau turut menasihatkan agar pegawai universiti melaksanakan sistem tadbir urus terbaik, mengamalkan budaya kerja berkualiti dan memantapkan nilai integriti bagi menentukan penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti ke arah mencapai sistem penyampaian awam yang lebih cemerlang.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi pertemuan dengan pengurusan universiti dalam kunjungan Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz buat kali pertamanya sejak dilantik sebagai Pengerusi LPU UMP sejak 19 Oktober lalu. 

Hadir menyambut ketibaan beliau adalah Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dalam majlis yang berlangung di Dewan Senat UMP Pekan.  

Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz merupakan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) dan ahli Akauntan Bertauliah Malaysia dari Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) juga ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA).

Dalam majlis itu, Profesor Ts. Dr. Wan Azhar menyampaikan taklimat perkembangan universiti kepada Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz yang sinonim dengan universiti ini apabila beliau pernah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah UMP sejak 2006 sehingga 2014.

Dengan ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman luas dalam syarikat korporat, pertubuhan sukan dan NGO, pentadbiran negeri dan pentadbiran kerajaan bakal merancakkan pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2050 ke arah universiti teknologi terunggul menjelang 2050.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)
 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit