Skip to main content

Hubungan Erat MTUN–Industri Lahirkan Pakar Teknikal

Kuantan, 20 November- Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) digesa untuk terus bekerjasama dengan industri bagi memastikan penyelidikan yang dihasilkan membantu menangani permasalahan berkaitan industri.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (IPTA), Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin, kerjasama universiti terutamanya MTUN dengan industri perlu diperhebat bagi menggalakkan pihak industri menjalankan kajian penyelidikan menggunakan kepakaran dan peralatan di universiti seperti yang dilaksanakan di negara-negara maju.

“Di negara membangun seperti Korea, Taiwan dan Jerman kebanyakan industri menggunakan kepakaran dalam universiti. Sebagai contoh industri teknologi telefon pintar Nokia, Huawei, Samsung, Oppo dan lain-lain..,” katanya yang mengharapkan kerjasama erat universiti-industri ini dapat dilaksanakan agar setiap penyelidikan dapat dimanfaatkan semua pihak.

Selain itu katanya,  fokus pendidikan negara kini ialah kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan universiti juga berhadapan dengan cabaran yang lebih besar akibat daripada ledakan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).  Beliau berbangga dengan usaha pertama UMP bagi mengadaptasi cabaran ini dengan pelaksanaan Kilang Pengajaran (Teaching Factory) bercirikan IR4.0.

Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal hadir merasmikan Persidangan Malaysian Technical Universities Conference on Engineering Technology (MUCET) yang menyaksikan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah dalam penganjuran kali ke-11 yang berlangsung di Bukit Gambang Resort Kuantan baru-baru ini. 

Dengan bertemakan “Communitising Technology in the Context of Industrial Revolution 4.0”  Persidangan MUCET melibatkan penyertaan lebih 300 pelajar, pemain industri dan para akademia daripada UMP, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Hadir merasmikan program yang turut dihadiri ahli Lembaga Pengarah UMP, Prof. Dato Dr. Rosli Mohd. Yunus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin. Majlis turut dihadiri Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UTHM, Prof. Dr. Mohd. Amri Lajis, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi  UTeM, Prof. Ir. Dr. Marizan Sulaiman dan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Dr. Shuhaida Yahud.

Pembentang ucaptama terdiri daripada Profesor Seeram Ramakrishna daripada National University of Singapore (NUS), Adjunct Profesor Zulkifli Abd. Rani, Techno Diverge Link Sdn Bhd dan Mohd Parid Sulaiman, Pengarah Program Malaysia Design Center of Intel Corp.  

Turut berlangsung pertukaran memorandum persefahaman antara Prof. Dr. Kamal Zuhairi Zamli mewakili UMP dengan Pengarah BI Technologies Sdn Bhd, Podzi Mahmud, Chief Chemical Engineer Sime Darby,  Mohammad Saiful Nidzam Ismail dan Pengarah Supercat International Sdn Bhd, Mohd Dzulqarbain Ahmad Suh.

Bagi kerjasama dengan pihak BI Technologies Sdn Bhd melibatkan kerjasama UMP menerusi kajian Prof Ahmad Razlan Yusoff berkaitan penyelidikan “Improvement Of Energy In Production Lines, Heating Vetilation And Air Condition (HVAC) Integration Systems At Electronics Company”  menerusi geran MTUN bernilai RM52,150.

Manakala sebanyak RM 100,000 merupakan geran pemadanan MTUN bagi kajian penyelidikan pensyarah UMP, Prof Madya Dr Saiful Nizam Tajuddin bagi projek “The Development Of Odor Sensor To Monitor The Soybean Extraction Plant For Odor Mitigation Project” dengan pihak  Sime Darby Plantation Research Sdn.Bhd. dalam mencari kaedah penyelesaian mengesan bau kesan akibat akitiviti kilang soya yang mengganggu komuniti setempat di Thailand.

Selain itu dengan pihak Supercat International Sdn Bhd melibatkan Mohd Najib Razali geran MTUN berjumlah RM50,000 bagi kajian “Catfood Formulation From Local Aquaculture Source” bagi menjalankan kajian pengunaan minyak kelapa dara dalam makanan haiwan peliharaan termasuk makanan kucing.