Skip to main content

Penerbit UMPSA rai 150 Karyawan Ilmiah

GAMBANG, 19 April 2024 - Bertemakan konsep Melayu Klasik, seramai 150 karyawan dalam penerbitan ilmiah diraikan di dalam Majlis Tinta Hikmah anjuran Penerbit Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini. 

Majlis Tinta Hikmah yang julung kali diadakan itu, menampilkan karyawan yang berbakat besar dan berpotensi  dalam bidang penulisan. 

Malah, beberapa karya mereka juga telah berjaya meraih anugerah di peringkat negara. 

Majlis yang dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor (Pengembangan Akademik), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh  itu dihadiri kira-kira 200 tetamu yang terdiri dalam kalangan pensyarah dalam dan luar UMPSA serta staf. 

Penerbit UMPSA rai 150 Karyawan Ilmiah

Ujarnya, peranan penerbit universiti adalah  sangat penting dan perlu sentiasa relevan dalam usaha mendokumentasi dan menyebarkan ilmu pengetahuan yang telah diterokai  oleh  penyelidik  dan pensyarah.

"Justeru, inisiatif seperti ini merupakan satu langkah yang signifikan dalam kerangka pihak universiti untuk memperkasa dan meningkatkan lagi kualiti penerbitan dalam kalangan pensyarah agar hasil tulisan mereka dapat dimanfaatkan," katanya. 

Pengarah Penerbit UMPSA, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Norazlianie Sazali berkata, tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi meraikan golongan karyawan yang telah berhempas pulas dan memerah idea untuk menyebarkan ilmu pengetahuan mereka kepada anak bangsa.

“Menerusi penerbitan buku, jurnal dan prosiding bersama Penerbit UMPSA, ilmu dan idea yang dimiliki mereka dapat diterjemahkan secara terus kepada pembaca. 

"Selain membantu anak bangsa mencari ilmu, mereka turut meningkatkan jumlah penerbitan ilmiah di dalam negara yang secara tidak langsung turut membantu meningkatkan penarafan negara kita di peringkat antarabangsa. 

“Justeru, majlis pada hari ini bukan sahaja untuk meraikan mereka, malah untuk menyanjungi dan menghargai sumbangan para karyawan," katanya. 
Beliau berharaap dengan penghargaan begini, para pensyarah lebih bermotivasi untuk menghasilkan lebih banyak lagi penulisan yang berkualiti pada masa akan datang. 

Majlis tersebut turut menyaksikan pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Wan Nazrul Helmy Wan Zain telah mengungguli Anugerah Karyawan Tinta Hikmah Adiwarna yang melayakkan beliau membawa pulang trofi, plak dan juga sijil.

Manakala bagi Anugerah Tinta Hikmah Kirana pula dimenangi oleh para penulis buku Etika dan Tadbir Urus Berintegriti: Pengurusan Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran iaitu Ts. Dr. Azizan Ramli, Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil Mohd Idris, Dr. Mohd Khairul Izamil Zolkefly, Dr. Mohd Hanafiah Ahmad, Profesor Madya Dr. Mohd Armi Abu Samah dan Mohamad Aliasman Morshidi. 

Di dalam majlis itu, sebanyak 26 judul buku 2023 turut dilancarkan, 35 hadiah penghargaan, 15 anugerah sanjungan dan dua anugerah karyawan. 

Disediakan Oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMPSA

Reports by:
Admin UMP News