Skip to main content

Perpaduan hadiah tidak ternilai dan perlu dipelihara

Kuantan, 18 September–Perpaduan adalah hadiah tidak ternilai dan perlu dipelihara serta dihargai semua rakyat yang hidup berbilang kaum seperti di negara yang kita cintai ini. Perpaduan terhasil apabila rakyat daripada pelbagai etnik dan agama saling hormat- menghormati antara satu sama lain dan sentiasa berhati-hati serta menyedari sensitiviti dan agama serta budaya masing-masing demi keharmonian antara kaum.

Menurut Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri daripada Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri berkata, tema `Malaysia Bersih’ begitu sesuai untuk dihayati rakyat Malaysia dalam bersama-sama dengan kerajaan dalam berusaha membenteras rasuah dan ke arah negara yang bersih.

“Bila kita mempunyai perasaan kebersamaan  maka perbezaan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum ini boleh diatasi dengan mudah kerana yang paling penting kita perlu fahami dalam dunia moden ini ialah kita tidak boleh hidup secara bersendirian dan kita saling memerlukan antara satu sama lain. 

Jika kita tidak mempunyai semangat kekitaan, maka ancaman keselamatan Negara pada masa hadapan ialah disebabkan perpecahan kaum,” katanya dalam program Bicara Merdeka sempena Majlis Penutup Fiesta  Sayangi Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat UMP 2019 anjuran Jabatan Pendaftar. 

Ujarnya lagi, sekiranya perpecahan kaum berlaku pada masa akan datang ianya bukan daripada generasi akan datang tetapi generasi kita pada hari ini yang tidak menyemai bibit-bibit perpaduan dengan baik.

“Kalau kita masih lagi membuat perkara yang memecah belahkan perpaduan, maka akan memupuk budaya negatif kepada generasi yang akan datang. Paling penting pemimpin pada hari ini perlu mempromosikan nilai-nilai Malaysia yang baik serta mengenang jasa pemimpin terutamanya dalam mencapai kemerdekaan,” tambahnya lagi.

Beliau turut menasihati agar golongan mahasiswa dan generasi baharu kini terus mengenang perjuangan orang terdahulu agar perasaan kasih sayang dan cintakan Negara tidak terhakis dan akan kekal selamanya.  

Hadir sama dalam program Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMP), Prof. Dato Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ahli Lembaga Pengarah UMP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Rosli Mohd Yunus.

Bagi Prof. Dato Dr. Yuserrie, saban tahun UMP menganjurkan pelbagai program bagi memeriahkan sambutan bulan Kebangsaan bagi menerapkan semangat patriotisme terhadap tanahair. 

Ianya berupaya menampilkan perspektif patriotisme yang unik dalam konteks peranan UMP sebagai sebagai sebuah menara gading dan gedung ilmu pengetahuan terutamanya buat generasi muda untuk menghayati erti dan nilai kemerdekaan dengan penuh keinsafan juga kesyukuran.

Disediakan Nor Salwana Mohamad Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri