Skip to main content

Robotic Bootcamp 2023 tarik minat pelajar eksplorasi bidang STEM

PEKAN, 21 Ogos 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Assunta Convent buat julung kalinya menganjurkan Program Profesor Turun Padang berkonsepkan Robotic Bootcamp 2023 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Program ini turut melibatkan penyertaan sebanyak lima buah sekolah di daerah Kuantan iaitu SK Assunta Convent, SK St Thomas, SK Sungai Karang, SK Pelindung dan SK Teruntum.

Program yang disertai seramai 120 orang murid dari tahun empat hingga enam itu bertujuan untuk memberikan pendedahan dan memperkenalkan kepada mereka mengenai teknologi robotik dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Dalam program ini, para pelajar berpeluang melawat dan meninjau fasiliti makmal di Fakulti Komputeran UMPSA. 

Robotic Bootcamp 2023 tarik minat pelajar eksplorasi bidang STEM

Selain itu, mereka juga dapat belajar mengenai konsep asas dan cara pengendalian robot dengan bimbingan pakar serta penyelidik di dalam universiti.

Menurut Dekan Pusat Sains Matematik (PSM), Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh, pelajar berpeluang menimba pengalaman secara praktikal dalam menyiapkan tugasan secara berkumpulan bagi projek ‘Park Your Robot’ dan ‘Create A Companion’.

“Inisiatif sebegini merupakan langkah proaktif bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan di dalam negara dan dapat dijadikan sebagai platform kompetitif untuk melahirkan pakar robotik dan TVET bermula daripada peringkat murid sekolah rendah.

“Menerusi program ini juga ia dapat memberikan kefahaman tentang teknologi masa hadapan yang perlu dikuasai oleh generasi muda di samping memberikan motivasi kepada mereka terhadap apa yang boleh dilakukan sekiranya mereka berjaya dalam bidang akademik nanti," ujarnya.

Turut berlangsung majlis menandatangani sijil jalinan kerjasama strategik bersama empat buah sekolah daerah Kuantan sebagai langkah penting dalam mewujudkan hubungan yang lebih mendalam bagi memperkasa sektor pendidikan serta memperkukuh elemen STEM dalam kurikulum mereka.

Robotic Bootcamp 2023 tarik minat pelajar eksplorasi bidang STEM

Hadir sama dalam majlis perasmian adalah Guru Besar SK Assunta Convent, Siti Hajar Hashim dan Yang di-Pertua PIBG SK Assunta Convent, Mohd Akmal Kong Abdullah. 

Turut hadir  Dekan Fakulti Komputeran (FK), Profesor Madya Dr. Ts. Adzhar Kamaludin, Timbalan Dekan FK, Dr. Junaida Sulaiman, Timbalan Dekan PSM, Profesor Madya Dr. Mohd Sham Mohamad dan Profesor Dr. Wan Azmi Wan Hamzah yang merupakan salah seorang penyelidik UMPSA yang tersenarai dalam kategori 2 peratus saintis terbaik dunia.

Disediakan oleh: Nur Aina Adhreena Mohd Shukri, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
ainaa adhreena