Skip to main content

Sentuhan Kasih Dekati Masyarakat Orang Asli Sebar Luas Sambung Pengajian

Pekan, 22 Ogos- Selaras dengan gagasan Sekolah Untuk Komuniti dan Universiti Untuk Masyarakat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  komited menggunakan pendekatan  KPM Turun Padang untuk menyebar luas maklumat berkaitan peluang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi demi memenuhi tiga nilai dan budaya teras yang ingin kita suburkan iaitu cinta atau kasih sayang (love), kegembiraan atau kebahagiaan (happiness) dan saling menghormati (mutual respect). Pendidikan merupakan wahana penting peningkatan pengetahuan dan juga pemerkasaan keyakinan diri masyarakat Orang Asli bagi menghapuskan pemikiran malu dan rendah diri yang selama ini meminggirkan mereka dari persaingan yang sihat dengan masyarakat kaum lain.

Program Sentuhan Kasih@JPT 2019 Bersama Masyarakat Orang Asli yang diadakan di SMK Lepar Pekan menyaksikan sinergi Jabatan Pendidikan Tinggi bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Universiti Malaysia Pahang (UMP) serta jabatan dan institusi lain di bawah KPM bagi menjayakan program ini membuktikan kecaknaan KPM terhadap usaha berterusan kita bagi meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Malaysia, khususnya di daerah Pekan ini.

Hadir merasmikan program, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff. Hadir sama Pengarah Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin     , Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Hj.Mohd. Razali Mustafar dan Pengetua SMK Lepar, Mohd. Shuha Abdul Karim.  

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, UMP juga secara khususnya komited  dalam usaha murni ini dengan memperuntukkan tempat pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda untuk anak-anak masyarakat Orang Asli yang layak dan yang turut digerakkan dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Katanya, golongan ini akan digilap potensi akademiknya dan seterusnya diberikan peluang pendidikan yang sewajarnya, sama seperti anak-anak masyarakat kaum lain di negara ini. Menerusi Program Sentuhan Kasih yang merupakan penjelajahan kali kelima KPM bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli bagi menjalinkan komunikasi yang lebih akrab dengan para pemimpin masyarakat dan anak-anak Orang Asli.

“Program ini merupakan manifestasi keakraban dan kemesraan tersebut, KPM melalui penyelarasan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA atau UPU menyediakan laluan khas dalam kemasukan ke IPTA dan golongan yang terlibat ialah anak-anak Orang Asli, Orang Kurang Upaya, Atlet dan anak-anak kumpulan berpendapatan B40,” katanya. Justeru, calon UPU Online dalam kumpulan ini tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana, sebaliknya hanya perlu memenuhi syarat am dan khas yang ditetapkan oleh institusi dan akan disaring dalam kelompok masing-masing sahaja.

Menurutnya, pada sesi akademik 2019/2020 bagi lepasan SPM, sebanyak 93.7 peratus iaitu seramai 401 daripada 428 yang layak dalam kalangan anak-anak Orang Asli telah ditawarkan tempat ke universiti awam (UA) seluruh negara, manakala bagi lepasan STPM, matrikulasi dan asasi, kesemuanya seramai 74 anak cemerlang Orang Asli berjaya ditawarkan tempat ke UA, iaitu pencapaian 100 peratus daripada sasaran.  

Dalam majlis yang sama Ir Dr Wan Azhar turut menyampaikan surat tawaran kemasukan ke universiti kepada Roni A/P Chandan Kumar Dhar,20 yang hadir bersama ibunya, Nab A/P Hempar,39 dari Runchang Pekan yang bakal hadir mendaftar mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek di UMP pada 2 September depan.   

Sementara itu, Wahi berkata, selain memberi penerangan mengenai dasar kemasukan, syarat kemasukan, kaedah permohonan dan proses pemilihan pengambilan kepada pelajar, program ini juga bertujuan menyebarluaskan maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baru yang ditawarkan oleh Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan institusi lain bagi Sesi Akademik 2020/2021 dan ambilan bagi pembelajaran jarak jauh, pembelajaran secara separuh masa dan pembelajaran melalui kursus-kursus pendek.

Mereka juga berpeluang mendapatkan maklumat mengenai program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dengan kaedah pembelajaran yang berbeza daripada kaedah pendidikan yang formal seperti calon yang mempunyai pengalaman kerja, dan ingin melanjutkan pelajaran melalui program PSH akan diberi penerangan mengenai Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Dalam pada itu, statistik semasa 2019 bagi Masyarakat Orang Asli di negeri Pahang tahun menunjukkan terdapat seramai 9,688 anak Orang Asli berumur di antara 6 hingga 12 tahun dan 4,906 orang sedang  menuntut di sekolah menengah manakala seramai  35,736 merupakan golongan belia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun.

Sehingga kini terdapat seramai 1,090 pelajar Orang Asli seluruh Malaysia yang sedang menuntut di IPTA dalam pelbagai jurusan. Lebih membanggakan, terdapat pelajar yang telah berjaya melanjutkan pelajaran mereka di universiti-universiti luar negara pada peringkat pengajian ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri