Skip to main content
Tasik UMP Tumpuan Peminat Bot Laju Kawalan Jauh

Tasik UMP Tumpuan Peminat Bot Laju Kawalan Jauh

Pekan, 4 Disember- Lanskap Universiti Malaysia Pahang (UMP) sering menjadi tarikan dengan panorama yang boleh dinikmati di sekitarnya yang cukup mendamaikan. Terdapat empat buah tasik di sekitar kampus dan salah satunya berhadapan perpustakaan yang berkeluasan 44.26 ekar. Tasik ini juga dilengkapi dengan trek jogging sepanjang 1,614 meter turut dilengkapi dengan laluan basikal sepanjang 1,524 meter.

Baru-baru ini tasik ini kembali menjadi tumpuan buat peminat sukan Bot Laju Kawalan Jauh atau 'Remote Control' (RC) dalam Pertandingan UMP RC Powerboat Fun Race 2018 anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP (PSK) buat julung kalinya di Pusat Rekreasi Air UMP Pekan.

Bagi Pengarah PSK, Abd. Rahman Hj. Safie, pertandingan ini memberi peluang orang ramai menyaksikan keindahan kampus hijau di samping menjalinkan hubungan baik dengan komuniti setempat.

“Penganjuran ini juga sebagai menyahut seruan universiti menjadikan UMP Pekan sebagai salah satu pusat pendidikan pelancongan (EDU-Tourism) di Pekan Pahang. Ianya berjaya melibatkan penyertaan bukan sahaja dari negeri Pahang malahan sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Kuala Terengganu,” katanya. Ketika ini pihaknya sedang bekerjasama dengan Kelab RC Boat Race Pahang untuk membentuk pasukan dari UMP dan berhasrat untuk menarik lebih banyak penyertaan termasuk dari luar negara pada penganjuran akan datang.

Pertandingan menyaksikan Lim Hai Meng menang tiga kategori iaitu Tunnel/Catamaran Hull Local Modified Engine, Mono Hull Local Engine dan Mono Hull Open Modified Engine manakala bagi kategori Tunnel/Catamaran Hull Open Import Engine dimenangi Nor Hisham Muhammad.

Usaha menaik taraf kemudahan sekitar tasik dan pusat ini akan dilaksanakan terutama daripada aspek keperluan asas bagi membolehkan lebih banyak sukan air dapat dilaksanakan, ujarnya. Beliau mengharapkan kemudahan itu juga dapat mencungkil bakat baharu bagi permainan alat kawalan jauh yang mampu mewakili negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, pihaknya amat menitik beratkan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam memastikan persekitaran tasik ini bersih agar tidak menggangggu ekosistem hidupan di tasik ini. Tasik ini juga sesuai buat orang ramai untuk menjalankan aktiviti bersukan dan amalan gaya hidup sihat. Lebih menarik berhampiran tasik ini terdapat Rimbunan Cendekia yang ditanam pohon-pohon hijau sekitar kampus serta Taman Aromatik dengan lebih 20 jenis pokok yang mempunyai aroma seperti Gaharu, Buah Keras,  Cempaka, Kenanga, Tembusu, Kulim dan lain-lain.