Skip to main content
UMP buka peluang sambung pengajian ijazah sarjana muda  

UMP buka peluang sambung pengajian ijazah sarjana muda  

Kuantan, 31 Oktober- Musim konvokesyen di beberapa buah universiti awam dan swasta telahpun bermula dan momen kegembiraan mengenggam segulung ijazah pastinya menyuntik inspirasi buat pelajar di luar sana untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Begitu juga dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang akan meraikan seramai 2773 bakal graduan termasuk 515 daripadanya merupakan Sarjana Eksekutif, Bacelor Eksekutif dan Diploma Eksekutif dalam majlis yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Oktober ini di Kompleks Sukan UMP Gambang.  

Bersempena dengan itu, UMP mempelawa pelajar di luar sana untuk turut sama mencapai impian bergelar mahasiswa universiti dengan menyambung pengajian program ijazah sarjana muda sepenuh masa bagi kemasukan khas bagi ambilan Februari tahun depan. Peluang ini terbuka kepada pelajar lepasan diploma dan setaraf yang baharu tamat pengajian mereka untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda melalui UMP Advanced Education (UMP Advanced).

Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran UMP Advanced, Rosilavi Mat Jusoh berkata, pihaknya juga mensasarkan mereka yang terdiri daripada lepasan diploma atau setaraf dari universiti awam atau swasta, politeknik, Institusi Latihan Kemahiran Awam / Swasta dan Institusi Pendidikan MARA (IPMa) untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

“Sebanyak 17 program pengajian yang ditawarkan bagi kemasukan khas ini berteraskan bidang kejuruteraan, sains komputer dan sains gunaan. Program ini mengambil tempoh lapan semester iaitu selama empat tahun namun ianya boleh dipendekkan tempoh namun ianya tertakluk kepada pengecualian kredit program yang diperolehi,” katanya.

Namun mereka yang berminat untuk menyambung pengajian ini perlulah memenuhi syarat minimum kemasukan yang ditetapkan oleh pihak UMP dan memperoleh sekurang-kurangnya tahap 2 dalam Malaysian University English Test (MUET). 

Lebih menarik di samping pelajar menggenggam ijazah sarjana muda dalam bidang masing-masing apabila tamat pengajian nanti mereka juga berpeluang memperoleh kompetensi melalui sijil profesional yang relevan dengan keperluan industri sebagai nilai tambah apabila bergraduasi nanti. Ianya bertepatan dengan hasrat universiti terhadap kebolehpasaran graduan dan keunggulan akademik yang menyokong  terhadap agenda Pelan Strategik UMP 2016-2020.

TAGS / KEYWORDS