Skip to main content

UMP dan PCMTBE jalin kerjasama strategik

Kuantan, 1 November- Peluang kerjasama strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan PETRONAS Chemicals MTBE Sdn Bhd (PCMTBE) bakal memanfaatkan kedua-dua pihak dalam perkongsian teknologi, modal insan, kepakaran pengetahuan, pembangunan akademik serta pembangunan penyelidikan bagi merangsang produktiviti, inovasi dan terutamanya dalam bidang khususnya berkaitan rawatan sisa air  juga pengkomputeran dinamik bendalir.

Majlis menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) oleh Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff  bersama Ketua Pegawai Eksekutif PCMTBE, Azlimi M. Lazim. Turut sama hadir, Ketua Jabatan Perkhidmatan Teknikal PCMTBE, Hajah Salma M. Kassim dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

“UMP komited untuk bersinergi dengan pihak industri bagi melaksanakan kerja-kerja perundingan, penyelidikan dan pembangunan dalam projek-projek bersama yang telah dan akan dikenalpasti. Melalui kerjasama ini juga, UMP dalam jangka masa panjang berupaya menyumbang kepada kemajuan industri di negara ini dengan membangunkan bakat-bakat profesional dan teknokrat yang memenuhi keperluan industri,” katanya.

Justeru, pihak pengurusan bersedia membuka ruang yang seluas-luasnya kepada tenaga akademik dari disiplin-disiplin ilmu yang berkaitan untuk terlibat langsung dalam program-program latihan bagi memperkaya pengalaman teknikal serta meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang-bidang tersebut termasuklah peluang bagi staf industri menyambung pendidikan tinggi dan mengikuti kursus profesional (jangka pendek) di universiti ini.  

UMP mempunyai tenaga akademik yang hampir 90 peratus daripada 800 staf akademik universiti mempunyai ijazah kedoktoran (PhD) dalam pelbagai bidang kepakaran kejuruteraan dan teknologi seperti mekanikal, pembuatan, kimia, sains komputer termasuklah kejuruteraan Jerman.

UMP kini sedang merealisasikan agenda memindahkan teknologi kepada masyarakat serta meningkatkan latihan teknikal dan vokasional (TVET) aras tinggi bagi mengupaya kebolehan teknikal negara. Kelebihan UMP yang mempunyai Pusat Bahasa Moden dalam menawarkan pelbagai bahasa antarabangsa termasuklah penubuhan Confucius Institut (CI) dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Mandarin merupakan suatu keunikan.

Prof Ir. Dr Wan Azhar berkata, pihaknya juga berpeluang untuk membina kurikulum bersama dengan pihak industri yang dapat memberi nilai tambah kepada staf mereka terhadap pengembangan kerjaya. Selain itu juga berupaya menjalankan penyelidikan bersama dalam menyelesaikan permasalahan berkaitan industri.

Manakala bagi Azlimi, pihaknya mengalu-alukan kerjasama ini terutamanya dalam bidang teknikal khususnya melibatkan kepakaran teknologi dan kejuruteraan berkaitan operasi dan penyelidikan di organisasi tersebut.

Dalam pada itu delegasi UMP turut diberikan taklimat keselamatan yang menjadi keutamaan dalam budaya kerja mereka di samping berpeluang menyaksikan sendiri operasi di loji PCMTBE di Gebeng. Hadir sama Pemangku Ketua Pustakawan, Dzull Zabarrod Ahmad dan Dekan Fakulti Teknologi Kimia dan Proses, Dr. Mohd. Bijarimi Mat Piah.

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri