Skip to main content

UMP perkenal 4 insentif bantu mahasiswa

Pekan, 27 Oktober 2020 - Keperluan terhadap peranti dan kebolehcapaian internet penting dalam pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara dalam talian apatah lagi melihat situasi pandemik COVID-19 yang masih belum ada tanda akan pulih sepenuhnya ini dalam masa terdekat.

Bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mahasiswa terutamanya daripada keluarga B40, Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui Yayasan UMP mewujudkan empat inisiatif bersesuaian buat mahasiswa sejak memulakan sesi pengkuliahan awal bulan ini iaitu Insentif Bantuan Kecemasan (ibRes-Q), Insentif Pelan Data UMP (ipd-UMP), Insentif Bantuan Peranti UMP (ibp-UMP) dan Insentif Bantuan Tunai (Zakat/Kebajikan) (ibt-UMP).
Bagi Insentif Bantuan Kecemasan /Res-Q UMP telah diagihkan sejak awal Oktober lalu yang membabitkan peruntukan sebanyak RM133,000  buat mahasiswa yang terkesan akibat daripada penangguhan pendaftaran masuk kampus. 

Manakala bagi Insentif Bantuan Peranti UMP pula adalah khusus buat mahasiswa yang masih tidak memiliki peranti penting seperti komputer riba untuk digunakan ketika sesi PdP.  

Menurut Pengerusi Yayasan UMP, Dato’ Sri Md. Sharif Shamsuddin, dengan adanya inisiatif bantuan peranti dan data internet secara one off yang akan diberikan, segala aktiviti PdP dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. 

“Bagi tujuan ini, Yayasan UMP telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menampung keperluan untuk penyediaan komputer riba buat mahasiswa yang kurang berkemampuan dari golongan B40. 

"Dalam masa yang sama juga, pihak Yayasan UMP turut menerima sumbangan sebanyak 96 buah komputer riba daripada pihak universiti yang bakal diagihkan secara berperingkat buat mahasiswa UMP yang berkeperluan,” katanya dalam program anjuran Yayasan UMP baru-baru ini. 

Majlis turut menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff menyerahkan sebahagian komputer riba untuk dimanfaatkan mahasiswa. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dato’ Dr. Yuserrie Zainudin yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP. 
 
Pihak Yayasan UMP juga bakal memperkenalkan skim pinjaman buat mahasiswa UMP yang bakal mengikuti program kemasukan secara fast track ke program ijazah sarjana di bawah Institut Pengajian Siswazah (IPS). 

Menariknya mereka yang mencapai keputusan cemerlang iaitu mendapat sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.9 dan ke atas pula layak menerima pengecualian bayaran sebanyak 25 peratus daripada jumlah bayaran pinjaman tersebut.
 
Pelbagai usaha dilakukan pihak Yayasan UMP dalam mengumpul dana termasuk hasil sumbangan staf, badan korporat dan pihak luar bagi membantu meringankan beban pelajar. 

Sumbangan bantuan yang disalurkan buat mahasiswa ini adalah selari dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam menyediakan pembelajaran yang kondusif dan seimbang dengan pendekatan pengajian secara dalam talian. 

Pihak KPT juga mengumumkan inisiatif bantuan tunai sebanyak RM50 kepada pelajar baharu dan pelbagai bantuan Pelan Data melibatkan mahasiswa daripada golongan B40  hasil kerjasama strategik dengan rakan telekomunikasi dan pengeluar peranti.
 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit