Skip to main content

UMPSA tuan rumah Pertandingan MoonsooSIM Enterprise Resource Management (MERMC) 2023

GAMBANG,  23 September 2023 -  Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) buat pertama kalinya menjadi tuan rumah bagi Pertandingan MoonsooSIM Enterprise Resource Management (MERMC) 2023 Final Malaysia yang dianjurkan oleh Infusion Information Technology Sdn. Bhd. dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Industri (FIM). 

Pertandingan yang berkonsepkan pembelajaran alam maya itu bertujuan untuk merevolusikan pembelajaran melalui gamifikasi yang melibatkan peserta dalam kalangan pelajar IPTA/IPTS meneroka lebih 200 konsep Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) secara interaktif dan menyeronokkan. 

UMPSA tuan rumah Pertandingan MoonsooSIM Enterprise Resource Management (MERMC) 2023

Malah, simulasi tersebut juga direka bentuk untuk menyediakan peserta dengan pengalaman dinamik dunia perniagaan. 

Ucapan perasmian telah disampaikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin secara maya yang berlangsung di Dewan Astaka UMPSA Kampus Gambang. 

Menurut Profesor Ts. Dato’ Dr. Yuserrie, pertandingan sebegini memberi peluang dan pendedahan baharu kepada peserta agar mereka dapat memperkasakan kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, membuat keputusan dan kerja berkumpulan. 

Pertandingan menyaksikan sebanyak 12 kumpulan daripada enam IPTA/IPTS telah terpilih untuk bersaing di peringkat akhir Malaysia yang setiap kumpulan dianggotai oleh empat hingga lima orang peserta. 

Kemenangan diraih pasukan Universiti Tunku Abdul Rahman yang digelar Syncs (UTAR) diikuti pasukan Lost In Unknown (UTAR) dan APU Team 1 (APU). 

Manakala dua kumpulan dari UMPSA, MVP dan SS Enterprise berjaya meraih kedudukan tempat ke-4 dan ke-5 sekali gus melayakkan mereka bersaing ke peringkat akhir antarabangsa yang akan berlangsung di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) pada 25 hingga 29 Oktober 2023. 

Disediakan oleh: Nur Ainaa Adhreena Muhammad Syukri, Pusat Komunikasi Korporat 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
ainaa adhreena