Skip to main content

Anak Peneroka Felda Dinobatkan Penerima Anugerah Pelajaran Diraja

Kuantan, 10 November- Kesungguhan kedua-dua ibu bapa Umi Zaidatul Azeera Mohd Nawi, 23   menyediakan pendidikan yang sempurna walaupun mereka sendiri tidak mempunyai pendidikan yang tinggi merupakan satu titik keinsafan buat penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Ke-13 Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk tidak bersikap sambil lewa dalam pengajian jurusan Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer & Rangkaian) dengan Kepujian.

Jerit perih kedua-dua ibu bapanya, Mohd Nawi Abdul Latif, 55 dan  Sabariah Anang, 55, peneroka Felda, membanting tulang empat kerat membesarkan beliau dan adik-beradiknya terus membakar semangat beliau untuk mencorak kehidupan lebih baik berbekalkan satu impian, iaitu mengangkat martabat anak-anak Felda untuk berjaya dalam pelbagai lapangan. Selain ibu bapanya, dorongan dan ilmu daripada pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan juga merupakan  pemangkin terbesar untuknya. 

Anak kelahiran Dungun, Terengganu dan dibesarkan di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya, Terengganu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer & Rangkaian) dengan Kepujian daripada Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP) dengan PNGK 3.75. Selain berjaya memperoleh Anugerah Dekan bagi setiap semester sepanjang pengajian di UMP, anak ketiga daripada empat orang beradik ini juga memperoleh Anugerah Tokoh Fakulti (FSKKP) pada tahun 2017. 

Penglibatan aktif beliau dalam pelbagai program dan persatuan turut membantu mengasah bakat kepimpinannya dan membantu dalam membentuk keperibadian diri agar lebih yakin, berani serta berkepimpinan untuk menjadi mahasiswa lebih berdaya saing. Ini terbukti apabila beliau menjawat pelbagai jawatan penting antaranya, Setiausaha Kelab Alam Sekitar & Lestari (EcoSiswa) – sesi 2016/2017, Timbalan Pengarah Program Earth Week 2017, Setiausaha, Forum ICT Ke Arah Hijau, Setiausaha Program Away From Keyboard 2016, Exco Hiking in Style@Broga Hills 2017, Exco Program Semaian Budi (Pendang, Kedah), dan Exco Kelas Bimbingan ICT Kanak-kanak istimewa 2015. Selain itu, beliau juga menjadi sukarelawan dalam Candy Pencil Project in Sarawak dan peserta bagi Taman Negara Exploration & Environmental Forum with Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET).

 “Silibus pembelajaran UMP yang tidak hanya mengutamakan teori semata-mata, tetapi turut menekankan hands-on telah berjaya mencorak graduan yang lengkap dengan ilmu kemahiran teknikal sejajar dengan kefahaman teori. Kemahiran kebolehkerjaan ini telah membantu para graduan untuk bersaing menempatkan diri dalam sektor-sektor pekerjaan,” katanya yang turut berbangga dengan pencapaian UMP yang berada di tangga ke 188 terbaik Asia.

Beliau yang kini menjawat jawatan sebagai Juruanalisis IT Event Monitoring (Network) di Intel Corporation (M) Snd. Bhd. berterima kasih kepada UMP dengan segala peluang dan tanggungjawab yang pernah diberikan sepanjang pengajian sehingga beliau berjaya menempatkan diri di salah sebuah syarikat ternama di Malaysia. Beliau merasakan skop kerjanya sekarang adalah sesuai dan bertepatan dengan silibus yang telah dipelajarinya. Harapannya, agar dapat menjadi seorang insan yang berguna, mampu berkhidmat untuk masyarakat sekaligus menjadi tauladan khusnya kepada generasi muda.  
 

TAGS / KEYWORDS