Skip to main content

UMPSA iktiraf kejayaan staf akademik dan siswazah cemerlang

KUANTAN, 14 Februari 2024 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memberi pengiktirafan terhadap kejayaan serta pencapaian cemerlang yang ditonjolkan oleh staf akademik dan pelajar pasca siswazah dalam Majlis Apresiasi Pasca Siswazah UMPSA 2023 yang berlangsung di Swiss-Belhotel Kuantan hari ini.

Acara tahunan universiti yang dianjurkan melalui Institut Pengajian Siswazah (IPS) ini bertujuan meraikan pencapaian pelajar pasca siswazah UMPSA yang telah bergraduat di samping meraikan penghargaan staf akademik yang membantu dan menyumbang dalam pencapaian pelbagai urusan akademik pasca siswazah di UMPSA.

Komitmen berterusan dari semua pihak juga telah memainkan peranan penting dalam tonggak kejayaan yang telah diraih oleh UMPSA hari ini sama ada di peringkat nasional mahupun global.

Antara faktor terhadap pencapaian kejayaan UMPSA ini adalah kualiti staf akademik yang dapat menghasilkan penyelidikan yang berkualiti, penerbitan yang berimpak tinggi dan akhirnya berupaya melahirkan para graduan yang cemerlang, mampan serta berdaya saing.

Di dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Dekan IPS, Prof. Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya, Naib Canselor UMPSA, Prof. Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menyeru ahli akademik dan penyelidik di UMPSA agar terus memainkan peranan penting dalam memajukan dan mengangkat kecemerlangan penyelidikan di UMPSA selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi iaitu Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
 

pengiktirafan terhadap kejayaan dan pencapaian cemerlang

“Saya menyeru kepada ahli akademik dan penyelidik di UMPSA agar tidak hanya menghasilkan jurnal berimpak tinggi malah dapat melaksanakan program turun padang bertemu dengan masyarakat bagi berkongsi ilmu, kepakaran serta teknologi penyelidikan yang dapat memberi impak dan manfaat kepada komuniti.

“Pendekatan ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada komuniti untuk melihat dan merasai teknologi terkini serta seterusnya menimbulkan minat untuk melanjutkan pengajian terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” ujar beliau.

Tambahnya, usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif universiti dalam memastikan ilmu pengetahuan dan inovasi berperanan dalam pembangunan masyarakat secara holistik.

Sementara itu, Dekan IPS, Prof. Ts. Dr. Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan dan pencapaian pelajar pasca siswazah UMPSA serta berharap agar jalinan hubungan dan kerjasama di antara UMPSA dan alumni dikekalkan agar ianya dapat melahirkan manfaat yang boleh dilaksanakan secara bersama.
 

pengiktirafan terhadap kejayaan dan pencapaian cemerlang

"Alumni UMPSA di seluruh Malaysia dan di luar negara adalah merupakan Duta Kecil dan merupakan wakil UMPSA kepada masyarakat di luar sana. UMPSA berharap agar Alumni Siswazah UMPSA khususnya akan terus menghulurkan sumbangan dan bakti kepada UMPSA dalam apa juga bidang dan bentuk sumbangan yang dapat membantu memajukan UMPSA seterusnya melonjakkan jenama universiti ke persada nasional dan antarabangsa.

"Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepada pihak fakulti dan juga kepada semua pusat tanggungjawab akademik atas bantuan, komitmen dan usaha yang berterusan bagi memacu kecemerlangan akademik Siswazah di UMPSA. Semoga usaha dan komitmen ini dapat diteruskan di masa akan datang," kata beliau.

Majlis Apresiasi Pasca Siswazah UMPSA 2023 menyaksikan seramai 10 pelajar UMPSA menerima anugerah merangkumi kategori Anugerah Pelajar Terbaik (Kerja Kursus) (2 penerima), Anugerah Penulisan Tesis Terbaik (4 penerima), Anugerah Penerbitan Terbaik (2 penerima) dan Anugerah Pelajar Cemerlang Khidmat Sosial (2 penerima).

Majlis juga menyediakan anugerah kepada para pensyarah bagi kategori Anugerah Penyelia Terbaik (2 penerima).

Pada tahun 2023, UMPSA telah berjaya melahirkan seramai 252 graduan siswazah meliputi graduan Doktor Falsafah seramai 80 orang, Sarjana Sains (Penyelidikan) seramai 85 orang, Sarjana Kerja Kursus seramai 76 orang pelajar dan Sarjana Mod Campuran seramai 11 orang pelajar.

Disediakan Oleh: Nur Aaina Adherena Mohd Shukri, Institut Pengajian Siswazah

Reports by:
ainaa adhreena