Skip to main content

UMPSA terima Anugerah Bandar Rendah Karbon 2023

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2023 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar sejarah apabila menerima Anugerah Bandar Rendah Karbon 2023 sempena Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon Malaysia 2023 yang mengiktiraf usaha dan komitmen berterusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan organisasi dalam memajukan pembangunan bandar yang mampan dan rendah karbon. 

Pengiktirafan Diamond Kategori Zon bagi UMPSA Kampus Pekan menyaksikan pengurangan sebanyak 38.34 peratus pelepasan Gas Rumah Kaca yang bersamaan 4,705.16 tCO2. 

Manakala UMPSA Kampus Gambang pula berjaya memperoleh Pengiktirafan Diamond Kategori Rakan Kongsi dengan pengurangan sebanyak 20.66 peratus pelepasan Gas Rumah Kaca yang bersamaan 2,465.52 tCO2.

Majlis menyaksikan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Datin Ts. Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim yang hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor  Dato’ Ts. Dr. Yuserrie  Zainuddin menerima anugerah yang disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Yang Berhormat Nik Nazmi Nik Ahmad.

Hadir sama menerima anugerah Pegawai Eksekutif Kumpulan UMP Holdings, Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan. 

UMPSA terima Anugerah Bandar Rendah Karbon 2023

Majlis turut dihadiri Pengarah Kanan Pusat Strategik dan Kualiti  Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin,  Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Inisiatif Bandar Rendah Karbon Bil. 1/2024 yang telah bersidang pada 30 Januari 2024 telah meluluskan penyertaan UMPSA bagi kategori zon di bawah Majlis Perbandaran Pekan dan Majlis Bandaraya Kuantan dalam Program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC 2030 Challenge).

“Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC 2030 Challenge) bermatlamat untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon keseluruhan dari bandar di seluruh negara selaras dengan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030.

“UMPSA mengambil langkah yang proaktif untuk menyertai cabaran ini bagi kedua-dua kampus bagi memastikan universiti ini membangun dan berkembang selari dengan hasrat yang digariskan oleh pihak kerajaan,” katanya. 

Penyediaan dan penghantaran data bagi Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC 2030 Challenge) diselaras dan diuruskan oleh Bahagian Penarafan dan Kelestarian, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK) bagi UMPSA Pekan dan juga Environmental, Social & Governance Unit, UMP Holdings bagi UMPSA Kampus Gambang.

LCC 2030 Challenge merupakan inisiatif baharu dengan sasaran untuk mempercepatkan transformasi bandar-bandar di Malaysia ke arah bandar karbon rendah.  

Selain itu, bagi memastikan program ini memenuhi objektifnya, GreenTech Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mewujudkan Zon Rendah Karbon di setiap ibu negeri dan kawasan bandar utama di seluruh negara. 

Zon-zon Rendah Karbon ini akan mengurangkan pengeluaran daripada penggunaan tenaga dan air bangunan serta kawasan umum, pengurangan emisi daripada penggunaan kenderaan petrol dan diesel dan mengurangkan pelepasan daripada pembentukan sisa yang terkumpul di tapak pelupusan sampah.

Usaha ini juga sebagai menyokong aspirasi negara bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050. 

Disediakan Oleh: Hazlina Faizal, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti 

Reports by:
Admin UMP News