Skip to main content
HEADER CREATE

Jalinan Kerjasama

Kolaborasi strategik UMP dan Agrico dalam pembangunan produk pertanian rumah hijau di Qatar

BIL. 63 JAN 2020

Universiti Malaysia Pahang (UMP) bekerjasama dengan Syarikat Agrico for Agricultural Development, Qatar (Agrico) dalam bidang penyelidikan, pembangunan produk, pengkomersialan dan pertukaran kepakaran bagi kegunaan pertanian di rumah hijau milik Agrico.

Agrico  merupakan sebuah syarikat pembekal sistem dan hasil tanaman dari kaedah Rumah Hijau (Green House) di Doha, Qatar. 

Kejayaan dua penyelidik UMP, Dr. Noormazlinah Ahmad dan Dr. Siti Hajar Noor Shaarani daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) telah berjaya menyakinkan pihak Agrico apabila produk cecair baja organik dengan prebiotik yang dinamakan Pre-Pecto diguna pakai oleh Agrico dan berjaya menghasilkan pengeluaran tanaman yang sangat baik. 

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengerusi Pembangunan Projek Antarabangsa Agrico Agricultural Development, Qatar, Ahmed Hussain Al-Khalaf menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 20 Januari 2020 yang lalu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. 

MoU tersebut turut disaksikan oleh Duta Negara Qatar di Malaysia, H.E Fahad Mohammed Kafoud, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional di bawah Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato’ Haji Ishak Mohd. Napis yang mewakili kerajaan negeri Pahang. 

BIL. 63 JAN 2020

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, pihaknya mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pihak Agrico dan berharap agar kerjasama ini dapat memanfaatkan UMP dalam berkongsi kepakaran bagi menepati keperluan industri pada masa hadapan, bukan hanya di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa. 

“Jalinan kerjasama ini juga pastinya akan meningkatkan kredibiliti UMP dalam menerajui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.

“UMP bakal bekerjasama dengan pihak Agrico dalam bidang penyelidikan, pembangunan produk, pengkomersialan serta pertukaran kepakaran bagi kegunaan pertanian yang akan diguna pakai di rumah hijau milik Agrico di Doha Qatar. 

“Selain dari formulasi baharu yang akan dibangunkan, kolaborasi ini akan turut melibatkan penerokaan peluang pengkomersialan produk cecair baja organik dengan prebiotik yang dinamakan Pre-Pecto pada skala besar. 

"Saya amat berbangga dengan hasil dan usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh kedua-dua penyelidik UMP yang terlibat dalam kerjasama ini dan semoga lebih ramai penyelidik di UMP berusaha untuk menerokai peluang kerjasama di peringkat antarabangsa terutamanya di negara-negara Islam seluruh dunia," katanya.

Manakala bagi Ahmad Hussain pula, pihaknya berbangga dengan kejayaan penyelidik UMP yang berjaya dalam penyelidikan ini dan mengharapkan kerjasama ini dapat menghasilkan pengeluaran makanan buah-buahan dan sayur-sayuran organik yang  yang mampan, konsisten dan berkualiti yang bukan sahaja dilaksanakan di negara Qatar malahan di Malaysia serta lain-lain negara. 

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Dekan Pengkomersialan, Dr. Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi manakala Pengurus Projek, Dr. Fahad Saleh dan Pengurus Pengeluaran, Khairil Gibran Yahaya daripada Agrico.


Info Sekitar Kampus

Manfaatkan kehidupan dan gembirakan insan lain sangat dituntut

BIL. 63 JAN 2020

Sentiasa hiasi kehidupan dengan berbuat kebaikan dan memberi manfaat kepada insan lain. 

Manfaat ini tidak sahaja terhad dengan memberikan sesuatu seperti harta atau barangan malahan cukup sekadar memberikan pertolongan juga dapat membantu meringankan beban orang di sekeliling kita. Komitmen untuk menolong tidak mengira jawatan dan sesiapa sahaja yang penting niat untuk menolong. 

Menurut Imam Besar Masjid Negeri Pahang, Ustaz Dato’ Haji Badli Shah Haji Alauddin dalam kehidupan seharian, amalan mengucapkan tahniah atas kejayaan untuk berkongsi kegembiraan dengan orang lain juga merupakan sifat yang terpuji. 

“Begitu juga apabila berinteraksi, sebaiknya kita bercakap dengan bahasa yang elok dan menggunakan laras bahasa yang sesuai mengikut situasi apabila berkomunikasi memandangkan kita hidup bermasyarakat.  

“Perasaan berbaik sangka sesama insan sangat dituntut bagi menjamin hubungan persahabatan serta persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas daripada sangka buruk, maka yang ada dalam hati adalah sangkaan yang baik-baik saja. 

“Pada masa sama, kelebihan berbaik sangka adalah dapat mengelakkan masyarakat daripada berpecah-belah yang hanya akan merugikan persatuan dan organisasi.

“Buang sifat dengki, bermuafakat dan berada dalam persatuan menjadikan ahlinya saling membantu, menyatukan hati dan kebaikannya boleh dimanfaatkan kepada insan lain. Misalnya, menyediakan saluran bantuan sumbangan makanan percuma untuk anak-anak sedang belajar dan juga buat staf boleh menggembirakan mereka,” katanya pada 21 Januari 2020 yang lalu di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan.  

Tambahnya, terdapat empat amalan yang mana Allah SWT akan meninggikan darjat sesorang iaitu ilmu yang dimanfaatkan, jangan bersikap sombong, suka menolong orang dan berbudi pekerti yang mulia.

BIL. 63 JAN 2020

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan warga UMP untuk terus berganding bahu dan memberi sokongan terhadap penubuhan SEJAHTERA dengan matlamat untuk menyemai sikap tolong- menolong dan saling bantu-membantu.  

Ustaz Dato’ Haji Badli Shah hadir menyampaikan ceramah bertajuk 'Sejahtera UMP - Muafakat Membawa Berkat' bersempena Siri Keenam: Bicara Cendekiawan Mulia bersempena Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Pertama Persatuan Kebajikan & Kesejahteraan Staf UMP (SEJAHTERA).

BIL. 63 JAN 2020

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie 

Zainuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Penaja SEJAHTERA, Dr. Muhammed Nafis Osman Zahid. 

SEJAHTERA merupakan satu platform yang dapat menghimpunkan seluruh entiti staf dari pebagai peringkat sebagai sebuah keluarga besar UMP yang akan terus memperkasakan nilai teras UMP. 

Ia juga dilihat sebagai pemangkin dalam mewujudkan komuniti UMP yang mempunyai persefahaman, memperkukuhkan ukhwah, harmoni dan saling hormat-menghormati untuk terus `Bergerak Bersama’ UMP mencapai kegemilangan.