Skip to main content

Willian Mah Wey Lian Anugerah Dekan 8 Semester terima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

PAYA BESAR, 5 November 2022 - Usaha keras Willian Mah Wey Lian yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian sehingga berjaya menerima Anugerah Dekan selama lapan semester dengan PNGK 3.95 (kelas pertama) berbaloi apabila diumum sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dalam Sesi 1 di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-17 baru-baru ini. 

Wiliam yang berusia 24 tahun merupakan anak kedua daripada tiga orang adik-beradik dan dilahirkan di Kuala Lumpur pada 21 Oktober 1998. 

Bapanya berkerja dalam bidang perkhidmatan bahagian jentera manakala ibunya merupakan seorang suri rumah. 

Pencapaian akademiknya di peringkat sekolah sangat  cemerlang dengan pencapaian 9A 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan CGPA 3.00 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Willian Mah Wey Lian Anugerah Dekan 8 Semester terima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

 
Beliau juga merupakan seorang mahasiswa yang sangat aktif dalam kegiatan kokurikulum. 

William pernah memegang jawatan sebagai Naib Setiausaha Kelab Orator, bergiat aktif dalam kelab fakulti dan Karnival Kerjaya serta sukan badminton. 

Beliau juga berpendapat sebagai mahasiswa harus menghargai setiap saat di universiti kerana pengalaman sebagai pelajar merupakan kenangan yang terindah dalam kehidupan.
 
Kecemerlangan akademik William juga dapat dilihat apabila beliau berjaya menerbitkan Projek Tahun Akhir di Taylor & Francis Group dalam Chemical Engineering Communications, memenangi pingat perak dalam Pertandingan Kimia Invensi dan Inovasi Malaysia, KI2M, hadiah sagu hati dalam Pertandingan IEM Plant Design Ke-10 2021/2022 dan menerima anugerah Akademik Persatuan Mah Clan.
 
Beliau memulakan kerjaya sebagai pembantu farmasi di Park@City Pharmacy dan permah menjalani latihan industri di Top Glove Sdn. Bhd. 

Kini, beliau bertugas sebagai Eksekutif Junior Protégé-GEES di Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Beliau telah dipertanggungjawabkan sebagai pakar strategi dan penyelesaian taktikal sehenti untuk menyahkarbon produk huluan bagi mencapai keamatan karbon rendah serta mencari peluang untuk memaksimumkan nilai hidrokarbon seperti LPG, kondensat dan gas bernilai tinggi. 

Willian Mah Wey Lian Anugerah Dekan 8 Semester terima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang)

Katanya, skop kerja sekarang adalah sangat bertepatan dengan ilmu yang dipelajari sewaktu di UMP khususnya daripada subjek Plant Design sepanjang dua semester yang memahirkan pelajar dengan pengetahuan kejuruteraan proses pembuatan pengetahuan terutamanya cara membaca rajah paip dan instrumentasi (P&ID).
 
“UMP mempunyai ramai pensyarah yang berdedikasi dan bersemangat tinggi dengan pengetahuan yang luas serta kepakaran dalam bidang masing-masing. 

“Saya amat berterima kasih kepada semua pensyarah yang telah mengajarnya sejak tahun pertama sehingga tahun akhir di dalam UMP. 

“Tidak lupa juga keluarganya atas segala sokongan mental dan kewangan sepanjang empat tahun pengajian di UMP dan rakan-rakan yang sering membimbingnya dalam bidang akademik,” katanya. 
 
Pada masa depan, Wiliam berharap dapat mencapai kebebasan kewangan dan memberikan kehidupan yang selesa kepada ibu bapanya untuk membalas segala jasa dan sumbangan mereka yang tidak pernah jemu dan penat lelah mencari rezeki buat kehidupan sekeluarga. 

Selain itu, beliau juga berhasrat untuk meneroka dunia supaya dapat meluaskan pengalaman dan menjadi seorang insan yang lebih baik.

Disediakan oleh: Halizan Mohmood, Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News