Skip to main content

6 subjek UMP tersenarai dalam Penarafan QS World 21

PEKAN, 4 Mac 2021 - Enam subjek Universiti Malaysia Pahang (UMP) tersenarai dalam penarafan QS World University Rankings by Subject 2021 yang telah diumumkan pada hari ini.

Bidang Kejuruteraan dan Teknologi memperkukuhkan kedudukan apabila melonjak ke tangga 358 terbaik dunia berbanding 386 dalam penarafan tahun lalu menjadikan bidang ini berada di tangga ke-7 terbaik di Malaysia.

Edisi penarafan kali ini juga turut menyaksikan subjek Kejuruteraan Kimia berada di kedudukan 250 terbaik dunia dan ke-7 di Malaysia, Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik di tangga 400 terbaik dunia dan ke-9 di Malaysia manakala subjek Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik & Pembuatan di kedudukan 400 terbaik dunia dan ke-7 di Malaysia.

Dua subjek lain yang tersenarai ialah Sains Tulen (Kimia) di kedudukan 550 terbaik dunia dan ke-6 di Malaysia manakala subjek Sains Tulen (Sains Bahan) di kedudukan 400 terbaik dunia dan ke-6 terbaik di Malaysia.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata bidang Kejuruteraan dan Teknologi merupakan kekuatan UMP.

“Pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di UMP yang sentiasa fokus terhadap pelbagai aspek teknikal dan teknologi bagi melahirkan modal insan yang holistik serta mempunyai kemahiran teknikal beraras tinggi.

“Ia juga seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 dalam menerajui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi dan juga merealisasikan hasrat universiti ke arah universiti teknologi terunggul menjelang 2050,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin berkata, penilaian pada tahun ini turut menunjukkan penambahbaikan dalam semua empat indikator termasuk reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi setiap penerbitan dan H- Indeks.

“Penanda aras ini membolehkan UMP sebagai salah satu universiti teknikal dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) mengkaji pencapaian universiti daripada pelbagai perspektif.

“Universiti akan terus komited menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bagi teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti melalui ekosistem keusahawanan sosial (social enterprise),” katanya.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit