Skip to main content

Dr. Hari Narayanan kongsi pengalaman industri

Kuantan, 1 April - Menyedari kepentingan pembentukan modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara, Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN) dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Industri (FIM) menganjurkan Profesional Talk Series bersama Pengarah USAINS Holding Sdn. Bhd. yang juga mantan CEO@Faculty Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Hari Narayan baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman industri program kali ini beliau menfokuskan pengetahuan yang menjurus kepada kehendak semasa Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan tajuk “Biz Development: Successful Commercialization” dan “Performance Management: Driving The Innovative & Productive Team”  yang berlangsung di kedua-dua kampus UMP.

Menurut Pengurus ICoN,  Mohd Raizalhilmy Mohd Rais berkata, penganjuran Profesional Talk Series telah bermula sejak tahun 2015 yang mana sesi perkongsian ini dilihat suatu usaha berterusan antara pihak universiti dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan Ketua Pegawai Eksekutif (CeO) atau tokoh industri terkemuka daripada pelbagai latar belakang.

“Misi penglibatan industri dalam sebuah universiti adalah untuk memastikan hubungan yang berkesan dan memberi impak yang tinggi antara universiti dan industri melalui pembinaan hubungan yang strategik di samping merealisasikan integrasi dan sinergi antara pakar industri dengan pelajar supaya lebih bermakna dalam meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar,” ujarnya.

Dr. Hari Narayanan merupakan individu yang telah banyak berjasa kepada UMP terutamanya buat para pelajar dan tenaga pengajar sejak tahun 2015. Beliau mula berkecimpung dalam program CEO@Faculty yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Beliau kini dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Sains Malaysia (USM) setelah bersara daripada Motorola Solutions (M) Sdn Bhd sebagai Pengarah Urusan sejak tahun 2018.

Seramai 1000 orang pelajar telah terlibat sepanjang program berlangsung yang melibatkan pelajar daripada program Managing Human Capital di bawah Fakulti Pengurusan Industri dan program Entrepreneurship di bawah Pusat Keusahawanan.

 

Disediakan Siti Nurfarmy dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim