Skip to main content
Khairull sedia perkhidmatan kenderaan dalam kampus bantu mahasiswa

Khairull sedia perkhidmatan kenderaan dalam kampus bantu mahasiswa

Kuantan, 24 Januari- Bermula dengan hasrat membantu mahasiswa mendapatkan kemudahan pengangkutan dalam kampus, Khairull Nasruddin Mansor,25 kini merupakan salah seorang pengusaha kereta sewa dalam kampus. Dengan berbekalkan pengalaman pernah bekerja bersama pengusaha kereta sewa menjadikan mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses ini mula berjinak-jinak mengusahakan perniagaan kereta sewa.

Mengimbau kembali penglibatan awal dalam perniagaan, Khairull telah meminjam kenderaan milik keluarganya, kereta jenis Viva sebagai permulaan untuk menjalankan perniagaan walaupun agak perit disebabkan keadaan kereta yang memerlukan banyak penyelenggaran. Dengan berbekalkan pinjaman yang diperolehi serta duit simpanan sewaktu bekerja dahulu, beliau kini boleh berbangga apabila memiliki lima buah kenderaan untuk disewa iaitu Axia, Viva, Kenari dan Myvi yang sesuai digunakan mahasiswa.

Bagi Khairull yang mesra disapa dengan panggilan Kerol, beliau terpanggil untuk membantu mahasiswa bagi memudahkan urusan mereka yang kadang-kadang memerlukan pengangkutan untuk bergerak dengan lebih mudah. Kadar yang dikenakan juga tidaklah semahal kereta sewa di luar yang mengunakan sewaan harian sebaliknya Khairull mengenakan kadar sewaan mengikut jam yang bermula dari RM6 hingga RM10 bergantung kepada jenis kenderaan. Kereta sewa juga diletakkan berhampiran dengan mahasiswa bagi memudahkan mereka mengambil dan turut menyediakan servis penghantaran kereta kepada pelanggan luar. 

“Seorang mahasiswa perlu berani mencuba dan menyediakan perancangan yang bijak untuk membahagikan masa antara pengajian dan perniagaan. Selain itu mencabar diri untuk keluar dari kepompong keselesaan. Biar kita merasa susah dan senang menceburi bidang perniagaan dan pengalaman ini pastinya sangat berharga,” ujarnya yang sangat mengutamakan keselamatan agar kenderaannya berkeadaan baik dan selamat untuk dipandu.

Khairull berkata, tipulah andai tiada cabaran atau kepahitan yang ditempuhinya memandangkan perniagaan kereta sewa kini umpama cendawan tumbuh selepas hujan namun itu bukanlah penghalang buatnya. Tambahnya lagi, kehilangan pelanggan sewaktu cuti semester merupakan antara cabaran yang perlu ditempuhi namun berjaya mengawalnya apabila pihaknya menerima permintaan kereta sewa daripada mahasiswa lain dari institusi pengajian tinggi berdekatan.

Selain itu, universiti juga banyak menyediakan peluang buat  mahasiswa menceburi bidang perniagaan dan menyokong usaha melahirkan mahasiswa yang berjaya dalam keusahawanan.  

Mengulas lanjut mengenai perancangan masa hadapan, Khairull turut berhasrat untuk membuka cawangan kereta sewa di daerah kelahirannya di samping mencari rakan kongsi untuk melebarkan sayap di Kuala Lumpur. Beliau juga memasang impian untuk melebarkan perniagaan ini dengan membuka kedai cuci kereta dan bengkel kereta yang mana mampu menampung kos penyelenggaran dengan lebih murah.

Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana menjadikan Khairull, nekad untuk mengubah nasib keluarganya dengan menceburi bidang perniagaan walaupun masih bergelar mahasiswa.  Anak lelaki tunggal dalam keluarga ini menggunakan duit hasil perniagaan untuk menampung segala perbelanjaan sewaktu di universiti malahan turut dihulurkan buat keluarga di kampung. Tidak hanya memfokuskan kepada satu perniagaan, beliau turut menjual minyak wangi dan perkhidmatan surprise delivery yang diusahakan bersama rakan-rakan lain.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Bahagian Komunikasi Korporat