Skip to main content

Kolokium PPTI bincang Pengurus Profesional Masa Hadapan

Pekan,  27 Mac  - Kira-kira seramai 100 pentadbir Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghadiri Kolokium Transformasi Pentadbir yang bertajuk “Pengurus Profesional masa Hadapan” anjuran  Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) dengan kerjasama Jabatan Pendaftar di  Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak baru-baru ini.

Mereka yang hadir bersempena Mesyuarat Agung Tahunan PPTI ini terdiri daripada pegawai universiti lantikan Gred 41 dan ke atas serta mempunyai latar belakang berbeza jawatan serta lapangan kerja di universiti ini.  

Menurut Presiden PPTI yang juga Pengurus Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN), Mohd Raizalhilmy Mohd Rais berkata, program ini merupakan platform bagi berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam meningkatkan kecekapan urus tadbir.  

Dalam pertemuan ini beliau turut mengumumkan Mesyuarat PPTI bersetuju untuk menjenamakan PPTI dengan mengubah nama Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) kepada Persatuan Pengurus Profesional  Universiti (PUMA) .

Ujarnya, pihak persatuan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua panel yang sudi berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang dapat memberi manfaat buat pentadbir dalam memacu kecemerlangan universiti.

Hadir menjayakan kolokium pada kali ini adalah Ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Md Sharif Shamsuddin yang juga Pengarah Urusan Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd juga mantan Pengurus Besar Jabatan Penyelidikan & Inovasi UMP, Datin Sri Fazia Ali. Program dikendalikan  Pegawai Penerbit Kanan UMP, Muhammad Azli  Shukri sebagai moderator.

Menurut Dato’ Sri Md Sharif, seorang pemimpin adalah khalifah yang mempunyai tanggungjawab dan berprinsip berdasarkan Al-Quran. Pekerja juga perlu amanah dan jangan merosakkan muka bumi yang ertinya menjauhi rasuah, jauhi sikap tikam belakang dan sebagainya.  

“Dalam Al–Quran juga banyak panduan yang telah dinyatakan untuk menjadi pekerja yang baik. UMP sebagai universiti terbaik semestinya mempunyai pentadbir yang boleh mengurus dan meningkatkan hasil yang banyak dan boleh bergerak sendiri seperti universiti swasta yang lain. Kini, ianya menjadi cabaran kepada kita,” katanya berkongsi pengalaman.

Tambahnya lagi, semua yang dilakukan perlu mempunyai objektif dan memerlukan perancangan bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Persatuan dalam sesebuah organisasi memainkan peranan penting untuk mencapai kejayaan.

Tambahnya, sehebat manapun seseorang itu dalam melakukan kerja pastinya memerlukan gandingan orang lain untuk bekerja. Dalam pada itu, kerja yang dilakukan oleh sebuah pasukan tentunya lebih baik berbanding kerja yang dilakukan secara bersendirian dari segi kualiti  dan kuantitinya.

Begitu juga dengan perkongsian menarik daripada Datin Sri Fazia yang mempunyai  pengalaman selama 36 tahun dalam perkhidmatan awam. Beliau yang memulakan perkhidmatannya di Univesiti Sains Malaysia (USM) menimba banyak pengalaman sepanjang berkhidmat di pelbagai  jabatan dan fakulti.

Menurutnya sebagai seorang pentadbir perlu bijak dalam melaksanakan tugas yang diberikan. Antara tugasan yang agak mencabar semasa di UMP apabila diberi tugasan bagi menjayakan inisiatif endowmen dan MyGift UMP.

“MyGift UMP adalah suatu usaha untuk  mengumpul sumbangan endowmen daripada mana-mana pihak bagi tujuan tajaan pelajaran, penyediaan kemudahan prasarana kepada pelajar di samping membudayakan semangat membantu bagi golongan yang memerlukan. Pada pada tahun 2011 universiti mulai sedar keperluan untuk terus mengorak langkah dalam menjayakan aktiviti penjimatan kos dan penjanaan pendapatan UMP. Alhamdulillah kita dapat jimatkan sehingga 10 juta kos tersebut,” ujar beliau. 

Datin Fazia turut memberi nasihat sebagai seorang pengurus perlu berani memberi pendapat dan  kadangkala sebagai seorang ketua juga perlu mempertimbangkan pendapat staf lain supaya lebih maju. Pada masa yang sama beliau turut berkongsi pengalaman dalam pengurusan masa di antara tugasan sebagai ibu dan kerjaya.

Ujarnya wanita berkerjaya semestinya boleh membahagikan masa untuk kerja dan keluarga dengan baik. Baginya bangun awal di waktu pagi dapat akan membuatkan diri lebih proaktif dan dapat menguruskan rumah tangga dengan lebih baik.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

Disediakan Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri