Skip to main content

Mahasiswa Luar Negara Timba Pengalaman dalam Sistem Penanaman Secara Fertigasi

Kuantan, 9 Julai - Seramai 21 orang mahasiswa dari Universiti Andalas, Padang, Indonesia dan sukarelawan UMP bekerjasama menjalankan program khidmat Komuniti di tapak fertigasi terung UMP Technology (UMPT)  selama dua hari sehingga 10 Julai 2019 melibatkan mahasiswa daripada pelbagai fakulti seperti Perubatan, Sains dan Politik, Pertanian dan lain-lain.

Program dimulakan dengan sesi taklimat dan penerangan kerja-kerja yang dilakukan sepanjang program khidmat komuniti tersebut. Antara kerja-kerja yang dijalankan sepanjang dua hari itu adalah membersihkan tapak, membuang daun pokok dan memetik terung. Malah, mereka turut diajar untuk mengasingkan terung mengikut gred. Dalam masa yang sama, peserta program ini berpeluang mempelajari kerja-kerja pembinaan tapak atau rumah semaian.

Menurut Muhammad Fiqi Hermanto yang merupakan mahasiswa dari jurusan Penternakan, program ini bertujuan untuk mengaplikasi ilmu yang diperolehi daripada kuliah dan mempraktikkan secara langsung kepada masyarakat luar.

Tambah Fiqi, beliau dapat lebih memahami ilmu tersebut dan secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada orang lain. Terharu dengan sambutan dari rakan-rakan UMP, pihaknya berhasrat mempelawa mahasiswa UMP untuk bertukar pengalaman dan berkunjung  balas ke Universiti Andalas.

Begitu juga dengan Salsabila Utama, mahasiswa jurusan Sains Komunikasi yang sangat teruja menyertai program kerana dapat berkenal-kenalan dengan rakan baharu daripada UMP. Menerusi program ini juga beliau dapat mengenal UMP dengan lebih dekat dan berasa gembira dapat bertukar pandangan serta menimba pengalaman melalui kunjungan ini. Dalam pada itu, Pengurus Besar UMP Technology Sdn.Bhd, Dr. Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi berkata, mahasiswa teruja merasai sendiri pengalaman bekerja di tapak fertigasi UMP yang menghasilkan sebanyak 15,000 pokok terung mini dan terung bulat yang kini telah mula dituai.

“Program mendapat kerjasama daripada staf Jabatan Jaringan Industri & Masyarakat (ICoN) yang turut sama turun padang membantu mahasiswa menjalankan kerja-kerja khidmat komuniti ini,” katanya. Beliau mengharapkan semoga melalui program seumpama ini, mahasiswa berpeluang menimba pengetahuan dan pengalaman berkenaan sistem penanaman secara fertigasi yang telah berjaya dijalankan di tapak fertigasi di UMP Gambang. Pihaknya juga menerima kunjungan daripada pihak Etiqa dan pihak luar yang berminat untuk mendapatkan kepakaran UMPT dalam teknologi fertigasi. 

Disediakan oleh Rozana Sahadan daripada Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat dan Nur Sa’adatul Afzan Jusoh daripada Bahagian Komunikasi Korporat PNC. Foto oleh Jurufoto UMP, Khairu Aidilnishah Rizan Jalil.