Skip to main content

Mahasiswa UMP Lestari Pantai Cakna Alam Sekitar

Kuantan, 30 Mac- Peka terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar seramai 40 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada Briged Siswa Section 19G menjalankan aktiviti kesukarelawanan `Stay Clean With UMP’ dengan bergotong-royong membersihkan Pantai Batu Hitam di Beserah, Kuantan. Program mendapat kerjasama daripada Pusat Kokurikulum Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni juga Majlis Perbandaran Kuantan.

Bagi pengarah program, Nur Ailah Taklima Zukri yang merupakan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) berkata, program ini memfokuskan aktiviti membersihkan pantai dan melestarikan kawasan persekitaran pantai supaya lebih bersih, ceria dan kondusif.

“Dengan keadaan pantai yang bersih dan persekitaran yang indah akan dapat menarik minat orang ramai berkunjung bagi menjalankan aktiviti riadah mahupun kekeluargaan. Di samping itu, kawasan pantai ini juga merupakan salah satu destinasi tumpuan pelancong di negeri Pahang,” katanya.

Lebih menarik, pihaknya juga menyediakan tong sampah hasil inovasi mahasiswa  yang diperbuat daripada bahan kitar semula seperti botol, tayar lama dan sebagainya bagi mengalakkan masyarakat tempatan menghargai pantai dan keindahannya.

Bagi Pegawai Psikologi UMP merangkap Pengarah Program, Paridah Mohd Ali,  aktiviti sebegini menyokong hasrat universiti dalam  memupuk semangat kesukarelawan dan bersikap cakna terhadap alam sekitar.

Ujarnya, mahasiswa sentiasa dipupuk dengan budaya tolong-menolong, bantu-membantu antara satu sama lain termasuklah dalam memasyarakatkan kampus dengan komuniti luar. Usaha ini juga dilihat sebagai menyokong pelaksanaan kampus hijau iaitu menangani pencemaran alam sekitar dalam mewujudkan persekitaran yang sihat serta memupuk rasa tanggungjawab serta prihatin dalam kalangan warga UMP terhadap alam sekitar.

Selain itu mengharapkan usaha ini dapat mendidik pengunjung untuk sama-sama menjaga kebersihan pantai agar sentiasa bersih dan indah.

Disediakan oleh Ketua Section 19G Briged Siswa, Amir Haziq Ibrahim dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri