Skip to main content

Melestarikan Kecemerlangan, UMP kini dikenali sebagai UMPSA

PEKAN, 30 Julai 2023 - Seiring usia 21 tahun kewujudan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menelusuri kegemilangan, universiti ini kini dijenamakan sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah memperkenankan penggunaan logo dan nama UMPSA mengikut Warta Kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa pada 14 April 2023 yang lalu.

Universiti bermula dengan Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM),  iaitu sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ke-16 diwartakan pada 16 Februari 2002. 

Setelah lima tahun beroperasi, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pertukaran nama KUKTEM kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuat kuasa mulai 1 Februari 2007.

Melestarikan Kecemerlangan, UMP kini dikenali sebagai UMPSA

Menurut Naib  Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin,  penjenamaan universiti kepada UMPSA tatkala berada di puncak kejayaan ini  bertepatan dengan visi universiti ke arah sebuah universiti teknologi terunggul. 

“Walaupun telah bertukar nama, bidang fokus utama universiti dan program pengajian serta enrolmen tidak berubah mengikut matlamat tujuan penubuhannya.

“Penjenamaan ini akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik, pengantarabangsaan dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara.

“Kebolehpasaran graduan UMP amat membanggakan apabila  mencapai 98.67 peratus dan antara yang tertinggi di Malaysia,” ujarnya. 

Penjenamaan ini juga akan membina keterlihatan (visibility) reputasi dan keupayaan universiti seiring dengan perkembangan serta pencapaian universiti yang diiktiraf dunia. 


Selain itu, universiti turut  menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang berupaya memperkasa ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi di negara ini. 

Sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA dilihat sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa. 

Program Kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman dilihat sebagai tanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia. 

Melestarikan Kecemerlangan, UMP kini dikenali sebagai UMPSA

Tambah Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, dalam bidang penyelidikan pula, universiti ini memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek-projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan untuk manfaat masyarakat seiring slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’.

“Lebih membanggakan apabila universiti juga berjaya memperkukuh hubungan baik menjangkau usia 13 tahun hasil jalinan kerjasama akademik antara UMPSA dan institusi pendidikan Jerman, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) bagi mengembangkan model pendidikan Kejuruteraan Jerman dalam sistem pendidikan teknikal negara dalam program ijazah dual dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Elektrikal bagi melahirkan lebih ramai graduan yang kompeten yang menyumbang kepada pembangunan negara. 

“Ini termasuklah Program Kejuruteraan Perniagaan akan bersama Mannheim University of Applied Sciences dan lain-lain.

“Selain Jerman dan Kazakh National Agrarian University, program ijazah dual kini diperluas ke China dan pada tahun ini, seramai 46 pelajar mengikuti program di Beijing Jiaotong University (BJTU) China bagi mengikuti Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU yang membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal ini bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara. 

“Universiti turut bekerjasama dengan universiti di China termasuk program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) dan program kerjasama dengan Universiti Ningxia (NXU), LiuZhou Railway Vocational Technology College Guangxi, China (LZRVTC), Baotou Railway Vokasional & Technical College dan lain-lain,” katanya. 

Manakala program baharu melibatkan kerjasama dengan Fakulti Komputeran (FK) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) bakal diterokai institusi di Korea Selatan termasuklah bersama Hanyang University ERICA. 

Tambah beliau lagi, kolaborasi universiti dengan pihak industri sebagai rakan sinergi pastinya  mampu memperkasa bidang TVET dalam memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan teknologi dan inovasi.

“Pastinya penjenamaan UMPSA ini akan terus melestarikan kegemilangan universiti ke arah universiti teknologi terunggul di persada dunia.

“Dalam masa yang sama, UMPSA sentiasa berusaha untuk memperkenalkan teknologi dan amalan kelestarian kepada masyarakat, mendidik serta yang lebih utama menjadi suri teladan (role model) mengenai prinsip-prinsip kelestarian.

“Hasil komitmen warga UMPSA yang sebelum ini dikenali sebagai UMP berjaya mencapai kedudukan sebaris dengan universiti terbaik dunia apabila tersenarai di kedudukan 201-250 di dunia dalam Times Higher Education Young University Rankings 2023 (THE Young) yang menyenaraikan universiti terbaik dunia bagi universiti berumur 50 tahun atau lebih muda baru-baru ini,” ujar beliau. 

Lain-lain universiti juga turut tersenarai di kedudukan 801-1000 bagi penarafan Times Higher Education World University Rankings (THE WUR) 2023 dan tangga ke-201-250 dalam 2023 Times Higher Education (THE) World University Rankings Asia. 

Universiti ini turut  melakar kejayaan pada tahun lalu apabila tersenarai di kedudukan 301-400 dalam 2023 Times Higher Education Impact Rankings (THE Impact). 

Penarafan THE Impact merupakan sistem penarafan global yang menilai usaha universiti terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Universiti tersenarai pada kedudukan ke-103 terbaik di dunia dan lima terbaik di Malaysia berdasarkan usaha kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2022. 

Kelestarian kampus UMPSA terus diiktiraf apabila berada di tangga ke 401-450 di dunia dan keenam di Malaysia bagi QS World University Rankings Sustainability. 

Sebagai universiti terbaik dalam rangkaian universiti teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA akan terus memperlihatkan komitmen universiti di dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).  

Disedikan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat. 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit